Monday, April 20, 2009

Singgah Di Tapah Perkatakan Perjuangan


Bertolak meninggalkan Proton City pagi sebelum jam 9.00. Perjalanan hala balik dari Tanjung Malim ini berhajat mahu singgah di Pekan Tapah mengunjungi sobat, Hj Abdul Jalil. Beliau ialah ayahanda kepada AbdulKhair seorang bekas penuntut Ma'ahad Tahfiz wal-Qiraat Pulai Chondong, Kelantan angkatan terawal maahad.

AbdulKhair adalah salah seorang penuntut dari luar Kelantan yang diambil belajar di maahad selain Abdulhafiz bin Mokhtar dari Kuantan Pahang. Mereka berdua merupakan sobat anakku Ahmad Zulfiqar sewaktu belajar di sana, sedari kecil usia 13 menjadi rakan dan sering menginap di rumah kami.

Tidak susah untuk kami ke rumah Tn Hj Abd jalil, namun dia menanti kedatangan di satu stesen minyak di Pekan Tapah yang tidak jauh dari rumahnya....oh lama tidak berjumpa, dia kelihatan sihat berserban menunggang motosikal. Di rumahnya, beliau tinggal hanya berdua dengan isteri walaupun ketika itu ada anak bongsunya yang sedang bercuti. Selepas menghidangkan minuman, beliau meminta supaya kami duduk lebih lama sehingga makan tengahari. Beliau rajin bercakap tentang perjuanagn jemaah, tentang ketokohan dan kemenangan Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin Menteri Besar PR Perak pada PRK kawasan Parlimen Bukit Gantang tempoha hari. Kami bercakap tentang pendidikan anak2 dan kerjaya masing2. Tentang cucu2 dan harapan masa depan mereka.

Jam 12.30 tengahari kami meninggalkan rumah Tn Hj Abd Jalil dengan harapan dapat bertemu lagi pada lain kesempatan. Insya Allah semoga hubungan silaturrahim kami berterusan, semoga beliau terus sihat dan tegar dengan perjuangan memartabatkan Islam di negeri Perak, semoga PR akan bertapak kembali kuat di negeri itu dan salam ta'azimku buat DS Ir Nizar akan disampaikan oleh Tn Hj Abd Jalil. Dari Tapah melalui Simpang Pulai terus menyusuri jalan ke Cameron Highland dan masuk ke Kelantan melintasi Lojing, Gua Musang. Kami tiba di rumah jam 7.05 petang/senja. Alhamdulillah.

******************************************************************************

Makam Siti Fatimah al-Zahra


Makam fatimah al-Zahra

Makam Ibu Nabi Siti Aminah
Makam Ibu Nabi Siti Aminah

Rumah Rasulullah s.a.w di Mekah
Rumah Rasulullah s.a.w di Mekah
Gua Hira' Mulanya Wahyu
Gua Hira\

Rumah Kelahiran Rasulullah s.a.w
Rumah Kelahiran Rasulullah s.a.w

Foto2 selingan buat tatapan dan ingatan bahawa tempat dan maqam yang dihuni oleh sosok2 yang mulia. Tempat persemadian tokoh2 yang mengisi sejarah kebangkitan Islam dan memberi jasa sumbangan yang besar kepada tamadun manusia. Semoga mereka dirahmati Allah selama2nya.

Bertemu Penyajak RIZI S.S Di Restoran Nasi Kandar

Petang jumaat jam 5.00 petang (17.4.2009) kami berada di Restoran Nasi Kandar...Menunggu untuk bertemu Prof Dr Muhammad Bukhari Lubis pensyarah di Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Temu janji dibuat sempena datangku ke Tanjung Malim. Beliau adalah seniorku ketika menuntut di Kolej Islam Kelang (KIK) dulu. Aku di Ting 4, beliau di Tingkatan Enam Bawah. Kami sama berada di Universiti Kebangsaan Malaysia, tamat di UKM, beliau terus menyambung pengajian ke Indonesia, Amerika Syarikat, Iran dan Turki.

Berjumpa beliau petang itu selepas salam dakapan mesra, kami berhitung mengembalikan nostalgia semasa menuntut di tanah wakafan di Kelang itu. 'Istana Cinta' itu adalah istana ilmu. Aku menuntut di situ selama 4 tahun kemudian diikuti adikku Norani, Asmawi, Muhammad Dani, Ahmad Kailani dan Siti Junaidah; semuanya dalam tahun2 70an dan 80an. Dua orang anakku Siti Farhana dan Ahamad Farhan Shah juga sempat menuntut (tahun2 2002-2005) di Kolej Islam Sulan Alam Shah @ KISAS, dulunya KIK.

Prof Dr Muhammad Bukhari Lubis banyak mengarang dan menyusun buku2 ilmiah dan kesusasteraan. Dengan nama Rizi S.S, beliau juga adalah seorang penyajak dan deklamator yang baik.Beliau telah berusaha menyelenggara buku Antologi Puisi penyajak2 Lepasan Tiga Kolej Islam ' Oh Penuntut', Darul Fikir KL, 2005. Antologi itu diterbitkan Sempena Sambutan Jubli Emas Kolej Islam (1955-2005).

Pertemuan berlangsung 2 jam lebih itu memberi kesan ukhwah yang mendalam bagi kami. Kami sempat berbicara hal2 agama, kesusasteraan, kabar tentang rakan2 seangkatan, karenah dalam tugas/jawatan serta hal anak2 sambil mengharapkan Allah Taala merahmati kehidupan kita semua. Kami berpisah hampr waktu maghrib dengan harapan bertemu lagi. Beliau sempat menghulurkan sebuah lagi buku susunannya juga sempena Jubli Emas Kolej Islam berjodol Dari Sejadah Ke Kalam (Darul Fikir KL 2005) himpunan esei kesusasteraan Islam karya lepasan Kolej Islam serta sumbangan saguhati atas kumpulan puisiku Negeri Di Bawah Bulan, PDP 2008).







...Prof Dr Ahmad @ Muhammad Bukhari Lubis

Dari Tapang Ke Tanjung Malim: Perjalanan Jauh 1


Khamis 16.4.2008 kami sekeluarga berlepas dengan Hyundai Trajet menuju ke Tanjung Malim melalui Rantau Panjang, Bukit Bunga, merentasi banjaran Titiwangsa, Gerik menyusur lebuh raya-tol terus ke Tanjung Malim bersempadan Selangor Darul-Ehsan. Kami tiba jam 12.005tengah malam/pagi di rumah anak di Proton City, kawasan perumahan baru yang tersusun indah.

Alhamdulillah suasana negeri Perak Darul-Ridhuan zahirnya ternyata aman, walaupun dikatakan demam politiknya masih belum kebah. DUN negeri Perak masih belum stabil. Kecoh 'rampasan kuasa kerajaan di bawah Dr Zambry/BN' dan kejayaan Pas menambah undi pada PRK 7 April masih belum reda.

Aku tiba di Proton City meninggalkan daerah sendiri setelah lama tidak 'berjalan jauh' pasca discaj dari hospital setahun sebulan yang lalu. Syukur perjalanan berlangsung baik dan afiat. Perjalanan sebegini boleh meredakan tekanan (jika ada). Anak sulungku dah lama menjemput kami ke rumah barunya di Proton City. Syukur...akhirnya kami tiba juga. Ahmad Zulfiqar Shah, anak sulungku itu bertugas di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim sejak setahun lalu. Beliau bertugas di jabatan Pendidikan Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UPSI.

pameran alam selepas bukit bunga

melaksana asar di rantau panjang lalu
menyisir perkebunan, desa dan redup petang
cemas selekoh sebelum tiba di bukit bunga

terhidang aneka senyum dan barangan
bukan termurah bagai harga sempadan
melainkan teka muslihat menjolok harga

pameran semesta di kiri kanan pandang
titiwangsa membanjar penat dan kantuk
samar pohonan doa di cecelah kabut
ada senja ada kelam tiba menghadang

lebuhraya menaik dan menjunam sayup
belum tentu meninggalkan sebu dan gugup.

20 rabiul-akhir 1430


Wednesday, April 15, 2009

SAHABAT DATANG 2


ahad 16 rabiul-akhir 1430 = 12 april 2009,pemilik laman blog 'perjalanan salik', penyair rahimidin zahari yang menekan loceng pintu rumahku! dia tiba dengan salam setelah pintu terbuka. sebenarnya sebelum dia tiba, pagi itu aku ada teringatkan beliau dan sebuah buku yang dia pernah berikan kepadaku dulu. beliau benar2 datang menjengahku....selepas berjabat mesra silaturrahim, duduk dan bertanya kabar; kami menjalin bualan seputar keluarga serta kegiatan mutakhir masing2.

kami berbicara tentang teater dinsman, tentang perhimpunan / perarakan isu ppsmi ke istana negara bernafas dalam gas, tentang teman2 penyair di ibukota, tentang kegiatan2 sastera mutakhir termasuk mengenai buku tuan tabal 'jalal-qulub'. setelah mengingati rudi mahmood, kami berbicara tentang dia yang senyap sedu. adakah dia berada di 'alam lain'. kusebut juga sedikit 'bari' pengalaman bersama 'tok ayah man bukit panau', ayah ku dan abdulghafur yang kutemukan di masjid al-muhammadi dan majid india kl sekitar 20 tahun silam. di mana mereka sekarang?

sdr rahimidin zahari dan sdr2 penulis lain beruntung hidup di ibukota buat pertajami kreativiti dan minat. anda akan segar disuburi kegiatan di sana kerana kl adalah 'pusat' juga bagi aktiviti bahasa, kesusasteraan dan seni. ada pena, gapena, dewan bahasa dan pustaka di samping banyak rakan2 seperjuangan. kami pernah di sana dulu! cuma harapan agar kegiatan2 akan menjurus kepada hal2 lebih baik, bertamadun dan beroleh pahala bukan dosa!

Tuesday, April 14, 2009

Sajak Buat Mahyuddin

PERINGATAN: BEBASKAN BAHASA BONDA
( keramat bahasa bonda, basmikan ppsmi)


Sejak mantan perdana menteri itu
enam tahun lalu sebelum beralih kuasa
mencipta khilaf, bahasa bonda menjadi duka

Ilmu hisab dan sains tidak akan di tulis baca kira
dalam Bahasa Melayu, menusuk mata dan telinga
anak-anak meraba, guru puas menterjemah makna

Sia-sialah segala istilah dibentuk cendikiawan
sia-sialah buku-buku di pustaka dan pasaran
sia-sialah suara pertahan bahasa kebangsaan

Hampir sedekad diperkata diperjuangkan
bahasa penjajah tetap menyukar anak sekolah
dasar pimpinan penguasa tetap bias berolah

Tenaga mata nafas dan akal berhimpun
rakyat jelata yang sedar mengusung usaha,
keranda 152 menyata sentuh hati kasih bahasa

Sejarah mengukir degil penguasa menutup pandang
bertelinga satu, berlidah dua meracun keturunan
bahasa bonda diherdik disula melembab kemajuan

Beralih penguasa adakah akan kekal huruf, bunyi
kata dan makna menjana ilmu sebatikan kurnia atau
berulang gas pemedih mata menyurai para pejuang

Sejarah menggilir jasa penguasa berkeris telanjang
memundur kekuatan diri, penjajah mengangkat suara
ayam dikepuk mati kelaparan itik di air mati dahaga.

19 Rabiul-akhir 1430.
Kelantan Darul-Naim.

Sunday, April 12, 2009

Segala-gaanya Di sini!



. Pictures, Images and Photos
Photobucket;


PELUKLAH DAKU


Akukah denak yang terkinja

Dan teruja sebagai pelupa

Tidak mengenang untung diri

Di dalam sarang buatan ini

Rabbi, syukur Kau curahkan kurnia

Sujud di birai mimbar, kugarap hajat

Pohonan doa memenuh ruang sukma

Memohon kudrat menghadang maksiat

Meminta rahmat-Mu mudahkan ibadat

Di Raudhah Nabi ini

Fana akuku dalam Azim-Mu

Terpintas sekujur nafas

Terpahat jalur-jalur insaf

Rabbi, peluklah daku jangan lepas-lepas.

3 Ramadhan 1422

Madinah.

Saturday, April 11, 2009

SAHABAT DATANG



sabtu lepas penyair sdr nawawee mohammed tiba berziarahan. macam biasa beliau suka borak2 tentang sajak dan bidang penulisan. ligat kami berdiskusi mengisi masa hampir 2 jam itu. katanya dia ada ulas ringkas sajak2ku dalam 'negeri di bawah bulan'. terima kasihlah atas kredit dalam ulasan itu.

banyak program boleh menjadi perisian masa jadi yb nih. 'yang bersara' katakan. kami bercadang akan berkreatif dalam bidang penulisan rencana dan buku2 berunsur islam. tujuan memberi sedikit jasa buat masyarakat. itu pun kalau jadi, kalau mungkin. aku menunjuk kepada beliau sebuah buku yang dah lama kususun, baru tahun lepas kuserahkan kepada penerbitan dan edaran oleh syarikat mustread kl..." 25 seruan buat orang beriman"(2009). aku gunakan nama pengarang / samaran 'abu farhan'.

sahabat datang tiada kusut yang berpintal
sepi hilang ada manis yang tertinggal.




Saturday, April 4, 2009

MAC: Kebetulan Bertemu Orang-orang Terkenal.


sabtu 21.3.2009 kami ke lapangan terbang sultan ismail petra pengkalan chepa menghantar anakanda siti farhana, suami dan anaknya yang akan ke sabah. setelah mereka ke kamar berlepas, kami berjalan keluar dan terpandang ust nik abduh bin nik abd aziz, anak tuan guru menteri besar kelantan. ku beri salam dan memandang beberapa lelaki yang sedang bercakap2 dengan beliau. dengan muka manis beliau selamba sambil menegurku ringkas. aku sering ke blognya 'masanya memilih jalan yang lurus' bagus dan berfaedah untuk menambah ilmu. terasa mahu juga memberitahu add blogku, tapi tak jadi.

di belakang tiang kakilima bangunan terminal itu aku terpandang datuk pa menteri asas tani kita, kesian tidak ada orang yang melayan dan berada di sisinya ketika itu. kami heran mengapa sorang menteri sepertinya tidak disambut hormat oleh orang2 yang ada sekitar itu. agak malang seorang menteri umno tidak berapa 'dipandang' oleh rakyat. masing2 menuju ke kereta 'make don't know' je.

malam 30.3.2009 kami sekeluarga ke medan makan tepi pantai irama bachok untuk makan malam. ada gerai makan menghidang bau semerbak asap sate dan wangi ikan bakar. kebetulan kami lalui berhampiran kelompok pelanggan lelaki yang sedang berbual sambil makan2. dua tiga orang yang memandangku telah memberi salam, salah seorangnya adalah bekas timbalan menteri merangkap 'mantan bakal menteri besar kelantan' datuk AA. kami menjawab salam tapi tidaklah menghulur tangan untuk bersalam.

kami mengambil tempat agak jauh dari mereka. termasuk datuk yang memakai sut purple, semua mereka 10 orang lebih itu berkopiah, barangkali selepas solat isya'. mereka memandang2 kepadaku barangkali tertanya2 kenapa kami tidak hormati mereka dengan menghulur tangan.
Barangkali datuk tengah sukacita dan berbelanja besar makan2 dengan anak buah /penyokong2 yang memilih beliau hingga menang MT dalam PAU tempohari. tahniahlah.

semasa kami siap makan2, sekali lagi kami kena lalui jalan berdekatan mereka tadi. mereka sekali lagi memandang2 arah kami semacam ada sesuatu. sorilah, kami tidak pernah berhutang dengan anda dan kami tidak pernah mengharapkan budi puak2 anda. kami bukan penyokong anda.

Thursday, April 2, 2009

PUJIAN BUATMU YA ALLAH.

siang malam yang saling bergilir
singgah sekejap bermuhasabah
demikian telah setahun lebih
kurniaMu untuk kusinggah
kembali menemui diri
menangguk resah
berlemas juga
mengharap
redha.