Wednesday, June 17, 2009

Anniversary 31st Kami: Anak Berbelanja Makan Di Restoran Syam.

Pernikahan ialah ikatan kasih sayang di antara lelaki dan perempuan melalui akad yang sah. Itu definisi ringkas bagi kalimat 'nikah'. Hukum asalnya sunat.

Setelah menamatkan pengajian di Bangi 31 tahun silam, kami juga menamatkan alam ggewe. Asalnya kuluahkan 'kemahuan' bernikah itu kepada arwah ayah di rumah sewanya di Berek 12. Aku tidak tahu dia terkejut atau tidak setelah mendengar luahan 'berani'ku itu. Sungguh aku rasa terpaksa menyebutnya agar 'menjadi' demi membawa 'si dia' bersama memasuki Dewan Canselor Tun AbdulRazak UKM... menemani dan melihat aku ke pentas dewan menerima segulung ijazah. Syukur kepada Allah, tarikh 15 Jun 1978 menjadi tarikh keramat bagi kami.

Kini anak-anak hendak meraikan cinta-kasih ulang tahun pernikahan mak ayah mereka. Kami ikut saja ke Restoran Syam di Berek 12, makan malam. Kali pertama anak-anak berbelanja makan sempena tarikh itu; kecuali abang long yang lebih awal kembali ke UPSInya, yang lain semua ada menjamu makan di samping mengawal karenah budak-budak halus masing-masing. Terima kasih, semoga kita semua dirahmati Allah.

Saturday, June 13, 2009

PENGKALAN KUBOR: Market Bebas Cukai Di Sempadan

Lama sudah tidak ke Pengkalan Kubor daerah sempadan Kelantan-Thailand. Kami bertolak jam 10.00pagi melalui Cabang 4 Tumpat terus Kg Bunohan. Patung Buddha di Kuil Siam Kg Jong Bakar masih duduk teguh menghala mentari naik. Ia bersila dengan ketinggian melepasi pokok kelapa.Berwarna keemasan jelas kelihatan di pagi bersuluh mentari itu......

Kami tiba masuk dengan kereta di kawasan market bebas cukai mula-mula menemui Pn Yah balu kepada arwah En Din peniaga memiliki 5 ruang kedai serbanika di kawasan dagang tersebut. Arwah adalah penghuni Wad Temenggung HRPZ2 yang juga pernah kuhuni semasa mendapat rawatan hampir 6 bulan dulu (15/9/2007-7/3/2008)......... Di ruang niaganya, Pn Yah melayan mesra kedatangan kami. Dia kelihatan ceria sekali.

Aku tidak banyak bergerak meninjau barangan sedang orang lain berpusuan membeli itu ini.

Pengunjung dari luar Kelantan agak ramai 'nyoping' hari ini. Sabtu. Seorang pembeli berdialek Kedah cuba berkecek Kelantan ketika tawar menawar harga. Barangkali itu taktiknya bertawar menawar agar mendapat harga lebih murah. Namun anehnya penjual asal Kelantan itu pula berkecek luar dengan pelanggan tersebut. Jadi terbalik kot. Setahu aku barangan tersebut kalau dibeli di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu lebih murah harganya!......

Apa pun di musim cuti sekolah, para pengunjung dari luar Kelantan semacam memenuhi Bandar Kota Bharu bersama anak-anak Kelantan sendiri yang balik bercuti. Bandar jadi sendat dengan kereta. Jammed! Manakala destinasi membeli tetap di Wakaf Che Yeh, Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga.

SAHABAT DATANG 4: Baharuddin, Amri, Tar dan Bashir.


Lebih kurang 8.30 pagi rabu 10 Jun 2009M saya menerima panggilan telefon seseorang. Bila saya tanyakan "sapa ni?", katanya: "Ana Baharuddin, Baharuddin Abdullah kawan di KIK dulu. Apa kabar anta sihat? " Suara dan gaya berbahasanya masih saya ingat. Saya menjawab mesra dan bertanya dia berada di mana waktu itu. Beliau menjawab dan mempelawa bertemu di kedai kopi 'cangkung' dekat Masjid Kg Sireh. Ajak bersarapan dan di sana ada Sdr Amri dan Tar, Bashir juga akan tiba. Ya saya akan ke sana sekejap nanti. Saya akan bertemu dengan beliau yang terputus hubungan / tidak bersua sejak 30 tahun lebih!

Sdr Baharuddin memang rakan rapat sewaktu di Kolej Islam Kelang awal 70an. Walau tidak rapat di Maahad Muhammadi kerana berlainan darjah, beliau adalah rakan berempat menaiki keretapi dari Wakaf Baru ke Kelang setelah mendapat tawaran memasuki tingkatan 4 KIK (sekarang Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang Selangor DE).

Saya, Tar (Mohd Fuzi Mohd Nor dari Sek. Arab Beris Indera Putera Bachok), Mohammad Hassan dari Cabang 3 Pengkalan Chepa dan Baharuddin Abdullah dari Lorong Gajah Mati (keduanya dari Maahad Muhammadi Kota Bharu) mula menjadi teman akrab selama hampir 24 jam dalam keretapi itu. Pagi di station keretapi Wakaf Baru, ibu bapa kami juga mula berkenal rapat.

Di KIK kami ditempatkan di Asrama Koboi (asrama berdinding papan beratap nipah!) selama setahun sebelum ke asrama baru. Saya dan Tar diletakkan di Ting 4 Sastera, manakala Baharuddin dan Mohammad di Ting 4 Sains Tambahan. Setelah SPM 1972, saya dan Tar ke Tingkatan 6 KIK juga, Baharuddin ke Institut Teknologi Kebangsaan (UTM sekarang) manakala Mohammad ke Pusat Latihan Perubatan Seremban untuk jawatan Pembantu Hospital / H.A). Sejak itu kami berpisah. Cuma sdr Mohammad Hassan rapat semula dengan saya ketika sama-sama bertugas di Kuantan. Saya di SMVokasional, Alor Akar; Mohammad di Hospital Besar Kuantan. Kami sering bertemu. Tentang sdr Baharuddin, kami kehilangan kisah... barangkali beliau sambung belajar ke luar negara.

Dengan anak sulungku Ahmad Zulfiqar, aku berhasrat dan bergembira benar bertemu sahabat-sahabat begini. Kami bertolak dengan kereta Honda Citynya menuju destinasi yang tidak terancang ini. Lokasinya cukup tipikal, kedai ppati / cangkung di Kg. Sireh!

Pagi rabu itu kami bersua kembali. Masing-masing sudah jadi warga emas. Rambut putih dah ada dan masing-masing dah berpangkat 'datuk'! Percakapan pagi itu lebih berkisar kepada kisah-kisah nostalgia kami selama 2-4 tahun di KIK. Tar @ Fauzi @ Pengetua SMK Kubang Kerian 2 di sebelah aku yang paling banyak bercerita. Memang dia 'penglipur lara' kami sejak dulu-dulu. Habis setiap ceritanya, berderailah ketawa juga macam dulu-dulu. Tar memang pakar memecah perut dengan kisah-kisah entah dari mana di'quoted'nya cerita-cerita itu.

Sejam lebih juga kami berjumpa, bernostalgia, ketawa-ketawa mesra dan saling bertanya kabar. itu. Sempat sdr Bashir memberi majalah Perkimnya dan aku menghulur kepada sdr Baharuddin dan Amri buku kumpulan sajak 'Negeri Di Bawah Bulan'. Makan minum pagi sdr Baharuddin bayar dan Tar pula membayar beberapa kelongsong nasi dan kueh untuk aku bawa pulang. Terima kasih. Kami berpisah dan harapan bertemu lagi di suatu masa yang Allah jua yang pastikan. Insya Allah.

Tuesday, June 2, 2009

Majlis Walimatul-urus/Bekwah/Makan Gulai 2

Musim cuti sekolah tengah tahun selalunya dipenuhi dengan majlis kenduri kahwin. Kesibukan bandaraya Kota Bharu dengan lalu-lintas dan orang-orang membeli-belah menghingar lagi bandar itu. Para pengunjung dari luar Kelantan masuk berombong-rombong menambah kesibukan. Kita orang tempatan sini berasa malas untuk ke bandar melunaskan keperluan. Kalau berkereta sudah tentu akan makan 'jem' dengan 'nenas'. Jalanraya sudah tentu menyumbang pergerakan kereta yang amat lembab dan cuaca meruap panas.

Walaupun saya tidak berupaya melunas jemputan semua kenduri, ada hampir 10 kad jemputan diterima. Ada kad mencatat jemputan kenduri walimatul-urus, ada juga jemputan kenduri kesyukuran. Jemputan itu sudah tentu datangnya dari saudara mara, jiran, sahabat atau kenalan.

Keluarga kami menerima kad jemputan sebagaimana berikut:
- 29/5 Mohd Faizal b Mohd Hasbi Tan Kg Tapang -jiran dan rakan sebaya anak kami
- 31/5 Tn Hj Ariffin Md Amin Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Moral Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Hjh Senaini Long Pengetua Sek Men Agama Tengku 'Amalin Puteri. Kedua mereka adalah sahabat baik sekolej KIK dan UKM. Dapat menantu pulak dah!
- 4/6 Majlis kesyukuran menyambut cucu di rumah En Zahari, anak saudara saya.
- 5/6 Mat Sin Mat Jusoh jiran dan jemaah di madrasah berhampiran rumah kami.
- 6/6 Tn Hj Mohamad Yussop Ishak pengarah DBP Wil. Timur. Mulanya saya tidak tahu siapa gerangan. Setelah menelefon, Tn Hj beritahu diri dan kabarkan yang beberpa oang penulis besar dari KL juga akan hadir pada majlis kenduri beliau eg. Datuk SN Tn Hj A Samad Said, panglima anti-PPSMI!
- 6/6 Abd Azizul Hakim di Kg Chicha, cucu saudara saya, anak Tn Hj Abd Rahim Mohammad Pejabat BPR Kota Bharu, Kelantan.
- 6/6 Pak Ngah Cherang, saudara mara,
- 7/6 Sdr Tn Hj Abd Aziz Bachok, pensyarah Politeknik Kok Lanas. Dia sahabat baik sejak Kolej Islam Kelang dan rakan serumah di Pantai Dalam KL dulu.
- 8/6 Majlis kesyukuran perkahwinan Ust Abd Aziz Pak Soh Kg Cherang.
- 12/6 Majlis kesyukuran Menyambut Menantu adik saya Hjh Norani dan Hj Abd Rahim di Kg Guchil / Demit. Anak mereka. Pak Dean semoga bahagia!

Kalau zaman ritu-ritu masyarakat Islam Kelantan suka membuat 'kerja kahwin' alias walimatul-urus ni pada bulan maulud (?)/maulid, bulan Rabiul-awal. Memilih hari baik pada bulan baik sempena kelahiran Nabi s.a.w. Zaman sekarang hari 'baik' itu adalah pada musim cuti sekolah. Anak beranak balik dan berkumpul dari jauh dan dekat. Musim bekwah (big work/back work..?), makan gulai/ makan pulut dalam masyarakat Kelantan ni meriah sengoti walau pun tidak ada joget lambak atau karaoke yang separa-maksiat tu!!

Semoga majlis yang diadakan berjalan dengan sejahtera, cuaca baik dan selamat terhindar dari perkara-perkara tidak baik/dosa.


Monday, June 1, 2009

Minggu Walimatul-Urus /Bekwah/ Makan Gulai.

Cuti sekolah tengah tahun agak lama. Dua minggu. Bagi orang-orang berhasrat ibadah dan berpitis, mereka akan ke Tanah Suci mengerjakan ibadat Umrah. Menjadi tetamu Allah. Semasih berupaya tahun 2006 dulu saya juga ber'umrah. Semoga amalan ibadat kita dimakbul Allah, jadi 'umrah mabrurah.

Sebelum tiba hari-hari cuti ini, kita menerima banyak kad jemputan ke kenduri perkahwinan sama ada dinamakan jemputan ke majlis walimatul-urus atau majlis kesyukuran. Setahu saya dalam masyarakat orang-orang Kelantan makna kad jemputan kedua-dua majlis itu ada kelainannya.

Kad yang mencatat 'majlis walimatul-urus' selalunya kena beri 'ngele' berupa wang sagu hati/cenderama dengan kadar RM5, RM10, RM 20 atau lebih kepada 'tuan kerja'/tuan rumah kenduri. Wang diberi sama ada ketika bersalam atau masukkan ke dalam sampul diberikan kepada bapa pengantin perempuan yang selalunya berbaju Melayu berpoket besar untuk isikan wang 'ngele' itu. Selalunya seorang tetamu lelaki atau kadang-kadang membawa isterinya sahaja menghadiri majlis itu. Berjimat... jika tidak kena bayar(?) lebih! Ibadat dah jadi adat dan budaya.

WALIMATUL-URUS bererti majlis jamuan/kenduri sempena pernikahan anak perempuan diadakan bertujuan mengisytiharkan bahawa anak gadisnya telah berumahtangga. Majlis juga bertujuan mengeratkan silaturrahim dan bersedekah makan meraikan kerja fitrah, syariat dan sunnah itu. Hukum mengadakannya sunat muakkad dan menghadirinya adalah wajib (sekiranya majlis diadakan menurut syarak, menjemput semua orang tanpa membeza status; sebaiknya orang-orang miskin dan tiada maksiat di majlis tersebut).

Kad yang bercatat 'majlis/ jemputan kesyukuran' memberi erti jamuan makan diadakan tanpa mengharapkan wang 'ngele'. Tuan rumah lebih ikhlas mahu menjamu tetamu sempena 'raja sehari'nya. Suatu hal pula akan berlaku ialah tidak cukupnya bahan makanan untuk tetamu apabila jemputan tanpa 'ngele' ; mereka datang lebih ramai hingga membawa anak-anak. Namun kini bila kebanyakan persediaan makanan dibuat melalui pakej catering, maka bila saja cukup time tamatnya maka kemah makan pun diturunkan dan majlis telah tutup. Makanan habis!

Apa pun semoga semua majlis yang diadakan akan beroleh berkat dan rahmat Allah. Pernikahan lebih mustahak. Hubungan antara sesama manusia lelaki dan perempuan khasnya sesama orang yang beriman, sahih lebih sejahtera melalui proses pernikahan menurut syarak dan keredhaan kedua pihak. Sesiapa yang tidak suka akan pernikahan maka Nabi s.a.w mendakwa 'laisa minna' tidak mengaku dari golongan orang-orang yang beriman!

Sajak-sajak Silam ke 10-11: Debar Hilang Atas Restu & Tentang Manusia Kita


debar hilang atas restu

degup-degup
dalam menunggu bintang luruh
hanya sebutir

dalam sama-sama kembara
kembaramu tidak menoleh lagi
tinggal aku patah, tapi...
syabas

kelanamu membawa tuah hari muka
bagai biduk sekujur jasadmu
jaya ke pulau bintang-bintang
(dalam restu ikhlasku)
demi sebutir bintang
jadi milik kepunyaan
dan menghambat debar-debar.

bangku usang
ivB-Kolej Islam Kelang.
12/3/1971

tentang manusia kita

papar bicarakan atas dada-dada putih
lunak-lunak tentang alam manusia kita
di liur pena cerminkan bagai raung rasa
ganti kelunya mereka di sana
tentang merahnya api
birunya bulan
putihnya salji

merah biru putih ialah kerlipan tasik manusia kita
yang menggelupur di laut bersama elang memintas hidup
yang menerjah batang-batang pagi meredah ranjau
yang menyimbah lumpur mentari resah bersama urat merah

pada hidup yang sesama punya
merah biru putih ialah kerlipan tasik manusia kita
yang tidak pernah dibicara ranjau meranjau hati
yang runtuh batu di dada...sebak tiada kata
yang luruh air masin dan anak-anak menyedutnya
yang dimandi lemas pada lumpur dan peluh tanpa rela
papar bicarakan tentang mereka
pada bapak-bapak dalam kereta mewah kaya
yang masih tak tahu atau lupa tentang:
merahnya urat-urat mereka
birunya hati mereka di kuala
putihnya mata sudah ketara
padahal alas hidup yang sesama punya
berbelas tahun nikmat merdeka.

30 Mei 1971
asrama koboi KIK.
-hadiah pertama sajak peraduan BBPKIK 1970.