Monday, November 29, 2010

Ziarah Rehlah Rawatan dan Lawatan: Alhamdulillah


Alhamdulillah. Kami selamat tiba kembali di Kota Bharu. Penerbangan FireFly tertunda hingga 9.30 malam menyebabkan kami tiba di LTSIP Pengkaln Chepa hampir 11. 00 malam. Hampir seminggu 'keluar' ke Tanjung Malim menerusi Rantau Panjang, Puncak Titiwangsa, Gerik, singgah di kuaters Ahmad Farhan di Kuala Kangsar. Bertolak ba'dal-'asr selepas 'Ain balik dari kerja.
Bertemu anak-cucu di Proton City. Rehlah ke Teratak River View, jeram yang masih segar dan menarik. Ke Kota Kemuning, ambil rawatan. Menginap di rumah AsrulNizam di Pucong. Ke rumah penyair Azmi Yusoff, lama tak kujumpa. Dia agak uzur sekembali dari lawatan kerja ke Rusia. Bermalam pula di Kamar Musafir Masjid Al Ghafirun TTDI KL Sarapan dijamu Datuk Abd Rahim Ismail (karib sejak KIK dan UKM) di restoran 'org Johor' makan lontong. Ke Putra Jaya dan menginap malam di Rumah dinda Ahmad Kailani di Shah Alam 24/22 Jalan Umbut. 29/11/2010 Ahmad Kailani ke pejabat di KLCC dan petang akan ke JB. Petang 6.30 semalam adinda Dr Juraindah isteri Ahmad Kailani menghantar kami ke LTSAS Subang.
Ada nostalgia di lapangan ini 20 tahun silam bersama ayoh, mah, abang, kakak dan isteri ke Ibadat Haji / Tanah Suci tahun 1989. Kemudian ke Umrah 1996 bersama Kak Dah, Hamidahku, Azimah dan anak-anak berjumlah 11 orang. LTSAS Subang kini mengecil hanya buat FireFly domestik dan Singapura sahaja.
.. اللهم ارزقني عزا وشرفا واجعلني مؤمنا صالحا محبوبا عندك وعند الناس جميعا
usmiwka - Picture for Me

Sunday, November 14, 2010

NICK VOJICIC : Manusia OKU Yang Serba Boleh.



Subahanallah.
Allah Maha Berkuasa. Maha Bijaksana.
Maha Pengasih. Maha Penyayang.

Tuesday, November 2, 2010

DUA SAJAK SAHABAT: ROSLI K. MATARI

Maaf sdr Rosli K. Matari, aku masukkan dua sajakmu di sini.

Sajak-sajak yang baik tidak sepatutnya kau sepah-sepahkan merata. Sang anai-anai tidak pernah ambil tahu apakah RM, sajak-sajak atau sarapan harian mereka.

kenali dan kunjungi pandeglang pantai tanjung lesung

ROSLI K. MATARI

AKU

Tidak ada manusia lain

di pantai ini,

kecuali diriku.


Kususur pasir panjang

sambil kubayangkan

aku ini Adam.

Hari inilah aku tercipta

dan pertama kali melihat

laut, langit, dan pohon.

Kelmarin aku belum ada

tidak terdengar olehku

bunyi ombak itu.

Tidak terasa olehku

sentuhan angin ini,

bertiup di mana-mana.

Bahkan aku tidak tahu

kulit kerang dan rhu

pernah wujud di sini.

Tuhan,

aku percaya Kau Pencipta

kerana aku baru ada.

31 Dis 1997

ROSLI K. MATARI

KUNANG-KUNANG

(Buat anakku Sharihah)

Dahulu, di sini ada belukar

Menghijaukan usia

Seakan-akan hidup ini

Masih panjang

Dan akan selalu indah.

Daun-daun kuning, perang

Merah, dan coklat

Sesekali hijau

Luruh selepas tengah hari,

Menambah cantik pada alam.

Sesekali angin menderu,

Membawa bujuk dan janji

Agar aku tidak pergi.

Girang di sini, sebebas sungai,

Sehingga jauh ke hujung tanjung.

Sayup sedikit, hutan bukit

Juga sesekali melambai-lambai

Memanggil aku datang

Mengisi malam, mengerdip cahaya

Agar sunyi juga berhak menjadi indah.

Kini, tidak ada lagi si pokok berembang

Cengkerik menangis

Belukar rata, bukit dikikis

Papan tanda berderet-deret, megah tercegat

Burung hantu itu, tiada pulang lagi.

Ke manakah aku harus pergi?

3 Okt 09

(belum pernah tersiar)