Wednesday, March 18, 2015

SEHINGGA BILA


Waktu mengepung kita
dengan kirai-kirai kelam
termangu terdesak
ke birai resah
mentari lagi pucat
air langit menitis
bertunas pelangi
melengkung
sebam warnanya,
separa bulat itu
merungkup hasrat.

15.2.2011
Jalan JPJ,Panji.


BEREHATLAH DIRIKU


Berehatlah diriku kau kelihatan lesu
perlahankan suara bagi melega nafas

tiada perkara kekal lama di sini
sebahagian rambut berubah warna
saraf lemah hasrat kian kendur
pohon berangan itu buahnya makin gugur

Berehatlah diriku kau kelihatan lesu
asuhlah perasaan usah menongkah arus

hujan semalaman menghanyut kisah
desah angin terdengar kian lelah
gobar siang rupanya pokok mendung
menafikan suam matahari berselubung

Berehatlah diriku kau kelihatan lesu
kenangkan milik bekalan belum terhisab

masyghul lama itu masih memukat hati
baiknya kautegur peribadi lalai dan lali
hati-hatilah usia penghujung mudah sut
jangan nama-Nya tidak sempat kausebut

Berehatlah diriku kau kelihatan lesu
penjara kedua ini amat memukaumu

bumi kerap di kaki, lupa tempat kembali
desa telah bertukar menjadi kota
wilayah keruh sukar kaukotakan janji
ia sarat tipuan, penuh hasad dengki.

Tapanji,                       

3 April 2010 

LIANG SEMPIT ITU


 Liang sempit tersedia
menanti sosok dan bekal
sepanjang hayat kita
setelah taklif selaku hamba

Sekujur jasad berkafan
berbalut bau atar atau
kapur barus, namun
harumnya nanti
tidaklah ke barzakh

Alam tanah
bakal menerima tamu
memasuki sepi
kamar maqbirah
kandungan ditimbus
semakin bertambah.

Pohonan kemboja
pohonan doa sama subur
menaungi rumput lalang
terukir nama di nesan
atau ukiran belindan

Liang sempit di bawah
petak perseginya semuat
bungkusan memikul kesal;
bersempadan kini
menyingkir mimpi.

25 Ogos 2011,

Kg Tapang.