Sunday, May 8, 2016

Segugus Puisi Penyair HARON A.H

MALAM TAK TERAGAK

Antara beribu
malam memilihmu
bermain di pentas gatiku.

Tanpa lampu warna
tanpa hiasan latar
engkau ambil sudut mempesona.

Hanya engkau pelakon
hanya aku penonton
jangan khianati janji.

Antara beribu
malam mengundangku
menilai lakonanmu.

Jika angkaku tersalah titik
jika langkahmu tersalah tapak
malam tak teragak.

HARON A.H.
Kota Bharu.

KEKASIH

Telah kutukarkan kedukaan malammu
yang terhimpun dari kelukaan siang
biar menjadi bulan keriangan
pendorong langkah ke hadapan.

Telah kutukarkan kecaian kelmarinmu
dari setiap leburan silam
biar menjadi bintang kemerlapan
pedoman arah kehidupan.

Telah kutukarkan gelombang lautanmu
pada setiap gangguan taufan
biar menjadi pulau keyakinan
penambat diri dalam keimanan.

Kekasih
sebelum mimpi bertukar realiti
kita seharusnya sudah lama
terbangun daripada lena.

HARON A.H.,
Kota Bharu.

MALAM KELAPARAN

Malam kelaparan
sehabis sumber kegelapan.

Malam kelaparan
setelah rimba tertawan.

Malam kelaparan
sejak kita berjauhan.

HARON A.H.
Kota Bharu.



BAYI 31 OGOS


Di ufuk timur malam ini bintang ummi menyinar 
sempena datang seorang lelaki 
bersama pedang milik pahlawan silam 
kau bagai berkuda membukti ketangkasan 
tanganmu keimanan kakimu keperkasaan 
langit garing yang menguji ketahananmu 
tunduk menetes embun kedamaian 
menjadikan jiwa ummi semerbak harum 
mengirim nasibmu ke hari hadapan. 

Kau pantas mendekat impian ummi 
setelah menyembuhkan musim kelukaannya 
tidak peduli bilur-bilur kepedihan 
kau siramlah dan pupuklah kebun kehidupan 
menghijaukan ketandusan berlarutan 
meranumkan putik-putik tertangguh 
menyuburkan seluruh ladang milik keluarga 
mendekatkan lagi dirimu 
pada puncak kebenaran 
menjadi telaga ummi bening kedinginan. 

Hari ini adalah perjalanan singkat 
mencari gedung khazanah di tengah benua baru 
awas jalan lurus dan lebar ini 
mungkin berliku dan curam di hadapan 
menganggu kakimu bermain gelanggang 
tanpa kesempurnaan ilmu hulubalang 
meskipun atas hamparan waktu 
tidak henti doa tulus iringan air mata ummi: 
Tuhan, restuilah 
perjalanan pahlawan kami. 

HARON A.H. 
Kota Bharu. 


Biodata HARON A.H.

HARON A.H adalah nama pena Haron Awang Hamat, penyair yang mula mendapat tempat mulai pertengahan 70-an. Karya beliau pada awal pengkaryaannya tersiar dalam Mingguan TimurBerita MingguMingguan MalaysiaUtusan Zaman, MastikaJelita dll. ruangan sastera di akhbar dan majalah utama tanah air; selain diterbitkan dalam PERISA (Jurnal Puisi Malaysia) 1996 dan 1997, Gema Membelah GemaSumpah Setia BahasaBunda Tanah Kandung dll antologi puisi bersama.. 

Pada tahun 1995, 1996, 1997 dan 1998 beliau memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank. Sajaknya“Rumah Baru” turut termuat dalam antologi Anak Bumi Tercinta iaitu buku teks Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu untuk pelajar PMR. 

Haron A.H kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini mendapat pendidikan awal di SRK Gunung dan National Type English School, Bachok, Kelantan; sebelum mengembara tanpa tajaan; terlantar dalam kedaifan, insaf dan bangkit meneruskan pengajiannya di UKM. 

Isteri beliau Maimon Ab. Latif juga meminati puisi, dan pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank tahun 1992 dengan puisinya Pantai Iman. Mempunyai dua puteri dan dua putera.

Haron A.H lebih cenderung sebagai aktivis sastera. Semasa di kampus UKM (1976/80), bersama teman-teman penyair beliau mengasaskan penubuhan Grup Pemuisi UKM dan Haron A.H ialah Setiausaha I bagi penggal 77/78(tahun penubuhan) dan Ketua I bagi penggal 1978/79. 
Graduan Ekonomi UKM yang meminati genre puisi ini, pernah mengikuti pengajian formal / kertas elektif penulisan Kreatif (puisi) bimbingan Prof. Dr Muhammad Haji Salleh. Beliau berpegang kemas kepada falasafahnya dalam litar kesusasteraan: iaitu untuk mengimbangi antara pembangunan meterial dan spiritual, “Pembangunan fizikal (khususnya ekonomi dan prasarana) dalam negara yang begitu drastik perlu sentiasa seimbang dengan pembangunan bidang lain termasuk seni kesusasteraan bagi membantu tahap pembangunan negara secara total." 

Sunday, May 1, 2016

AKAR UMBI


Akar berselirat
mahu membelit umbi
batang jadi gelisah

Humas yang menyubur
pohon kehilangan doa
parau suara angin
mendesah ranting gugur

Sekawan margasatwa
malu hinggap di dahan rapuh
harapan baru merapu rusuh
celika musang berbulu ayam
menuduh buah semua masam

Resah seputar waktu
serak nafas beratur
lembut dan sesekali sesak
tiada apa selain kesal

Berselirat  akar
makin sukar menjalar
bayang basah dihalau kemarau.

21 Ogos 2015

Kota Bharu.