Wednesday, January 22, 2014

SEHINGGA BILA














 
Waktu mengepung kita
dengan kirai-kirai kelam
termangu terdesak
ke birai resah
mentari lagi pucat
air langit menitis
bertunas pelangi
melengkung
sebam warnanya,
separa bulat itu
merungkup hasrat.

15.2.2011
                                                                                    Jalan JPJ,Panji.

POHON KEAMPUNAN



 











Membenih dari titih pesaka
Temurun menyambung zuriat
Adam buangan dari syurga,
Sulur akarnya merata bumi
Punya umbi punya jalar
Dibajai diairi subur
Mengisi hayat
Hingga kubur
Penamat.
Akar
Banirnya
Mengukuh
Perdu batang
Hingga berdosa
Sebelum dewasa
Banyak lagha dan khilaf
Segak berdahan beranting
Sombong lupakan kejadian lalu
Dhaif di kehinaan jasad serta budi.
Mahunya di perjalanan singkat ini
Daun-daun kelabu yang luruh itu
Buahannya berputik, meranum
Dan kuntum bunga mewangi
Menggenap sosok pohon
Menerus hidup kurnia
Dihinggap lagi dosa
Parasit sang nafsu.
Diri mahu pulang
Kembali  balik
Ke Allah Satu.
Keampunan
Kupohon
Ya Rabbi,
Amiin.
 
27 Rabiul-awal 32                               

Thursday, January 9, 2014

ZIARAH 4

Hujung tahun menawarkan 
percutian, istirehat atau ziarah
membawa bekalan kurniaan Allah

Penerbangan rentas Asia
Kota Bharu-Kota Kinabalu 
bagai tali dan ikatan
warna bangsa terhubung
kukuhkan pautan silaturrahmi  

Kehijauan sepanjang masuk
pintas rel masih kejap
menuju Beufort atau Tenom
wangi pahit kopinya
memerangkap cinta kita

Di situ dewan pengasingan, 
tiada lagi rengkek kuda,
hilang galak keli dan
tanpa keruh kolam di pinggiran
bot usang terdampar sepi

Dia Jaafar  pesara DO
yang mengharap keadilan
bertapak di tanah ini.

Malawaring Villa
Sabtu 30 Nov 2013