Sunday, September 14, 2014

KABAR DARI SEBERANG



Kata mereka pertempuran akan  bermula
Sedikit masa lagi. Ketika siang mula menyusup
Ke dalam malam. Tiada kaitan dengan kemewahanmu
Sejak lama perkara iman kami kaucemburu
Hampir tiga dekad yang kami mau
Adalah merdeka

Ada janji-janji yang gagal dikota,
Nepotisme, kekejaman dan berbeza impian
Kami mahu urus sendiri tanah dan harta
Kami mahu atur sendiri pendidikan generasi
Punya kerja dan usaha berpendapatan kecil pun
Tidak mengapa, asal jiwa merdeka
Anak-anak sendiri terbela

Operasimu memusuhi gerak suara kami
Kami memilih rimba untuk bersuaka
Bulan yang lama suram di atas kepala
Bintang-bintang berselang daunan hutan
Siulan unggas teman seloka  harian
Nikmat tersendiri anugerah Ilahi

Datang tsunami hujung tahun lalu
Kami berada puluhan km di tenggara
Itu raung, bau mayat kami acuh dengan sendu
Bersyukur Baitur-Rahman dalil kebesaran Tuhan
Iklim longgar berikutnya menukar peradaban
Masing menghitung kehilangan waris dan rakan

Pulang mengintai kampung dan bantuan
Ada kem-kem penempatan ada pula sekatan
Marhein disita kerja harian, tiada perusahaan
Atasan masih tetap menghulur retorik
Kami tidak mungkin berpatah balik

Gerutu dan peluru itu punya adukan dendam
Jikalah maut berkunjung, ada rela mengiringnya
Itulah kabar dari seberang
Itulah perjuangan  mengharap doa.

01 Februari 2005                                 
- dari antologi ATAR SERIBU BUNGA, DBP (2012) m.s 121                              

EPISOD DI TELUK 2001





Sukarnya mengisytiharkan
Kemenangan mutlak, selagi tidak diketahui
Adakah dia sudah mati, lemah tidak berupaya
atau parah dalam persembunyian

Saddam menghalangnya mencapai kepuasan
Hilang, tidak kelihatan di daratan mana
Bahawa seperti Osama ben Laden
Atau Mullah Omar berada di ruang mana
Sesudah episod September 11, 2001
via penyerangan ke atas Kabul
tetapi masih wujud dalam hati kita

Empat bom 900kg meledak restoran
Di Al Mansur, Baghdad meghaibkan Saddam
Atau sekadar penduanya
Sama ada berjaya mengguling tugu beliau
Atau kenal pasti DNA-nya, lelaki itu
Sudah melaksanakan tugas penuh bijaksana,
Seakan misteri ada Osama, gagal ditemui
Musuh menghantui George W Bush,
Pemilik sejati senjata pemusnah manusia
Made In America.

Kita tunggu khabar berita
Kita nanti punca suasana
Siapa pembela siapa
Siapa memusnah siapa.

Disember 2001,                 
Qasrul-dhahabi, Mekah.



- dari antologi ATAR SERIBU BUNGA, DBP (2012) m.s 104


Saturday, September 13, 2014

DARI CATATAN NOTAKAKI




“ …..dinihari ini sempat kucatat segugus
sajak polos setelah guruh mengetuk kepala.
Kembang teratai melucut wangi

Ketika jenak-jenak bayu munafik
Menyepoi bumi musim bunga pertama
Tidak sentosa berteleku di tubir kolam ini.

Mengungkai tambatan pagi muda
Di ladang embun, seorang darwis terkejut
Dan berungut, sewaktu mentari menerpa

Awan memanas zawiahnya
Iklim damai terhingar di pasar hari
Miraj tidak kelihatan mengaca jalanan

Cuaca pula meneran ribut berikutnya
Ada debu di muka buana, ngilu menyiat rasa
Kelam mengerat usia senja bagai cantas amuk

Luka tersembunyi duka ikut berlari
Memisah khalayak orang-orang mulhamah
Bagai tajam seligi merempuh singkat waktu;

Dosa salahkukah ingin tertanggal laksana jelumu,
Ularnya menyelinap ke semak-samun terbaru
Adukan suram alpa dan ghurur duniawi

Hujung jari sempat mengait jela cahaya
Tercicir dirangkul zulmat malam,
Suam airmata meniti pipi dan dagu

Menitik dingin ke lubuk diri tetapi piatu
Menyempit sebak kalbu tetapi terbuka
Telus buat doa terkecil, amat mengharap:

Serahan redha tidak sekhusyuk mana ini
Mengirim bisik sanubari,  Kau terimalah...”

Rabiulawwal 21.