Wednesday, December 31, 2008

Salam Tahun Baru 1430H = 2009M: Sedikit Renungan.

1. Benarkah bermulanya awal tahun masehi alias tahun Anno Domini itu sempena kelahiran Nabi Isa Al-Masih bin Maryam 'alahisalam dua ribu sembilan tahun yang lampau? Benarkah jarak masa kelahiran Nabi Isa dengan kelahiran Rasulullah lebih kurang 570 tahun? Atau berjarak 622 tahun dengan peristiwa 'hijratur-rasul' dari Kota Makkatul-Mukarramah ke Yathrib (Madinah alMunawwarah)?

2. Renungan: Firman Allah bermaksud, " dan Maryam puteri 'Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membesarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan Kitab-kitab-Nya, dan adalah dia termasuk orang-orang yanag ta'at." Surah At-Tahrim:12.

3. Renungan: Firman Allah yang bermaksud," Dan (ingatlah) ketika 'Isa putera Maryam berkata "Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu membenarkan kitab (yang turun) sebelumku iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)" Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata mereka berkata, " Ini adalah sihir yang nyata". Surah As-Saff:6.

Selamat Tahun Baru Hijriah 1430M dan Tahun Masehi 2009. Semoga kita sentiasa mendapat perlindungan, keampuanan dan rahmat Allah. Membangun Bersama Islam.

Wednesday, December 24, 2008

AKU, PYAN HABIB DAN NOSTALGIA

ini minggu terakhir bagi bulan terakhir tahun 1429H bersamaan tahun 2008M. zulhijjah dan disember letak penghujung masing-masing tahun. syukur kita berada dalam afiat dan sejahtera. sepuluh bulan lalu aku diziarahi pyan habib dan moechtar awang di katil 15 wad teratai HRPZ2 kota bharu. waktu itu aku masih dirawat rapi di situ. kunjungan mereka ku amat hormati dan tentunya ikut memberiku kegembiraan bagai suntikan semangat hayat. aku masih belum boleh berkata-kata kerana di bawah leherku bertebuk menggunakan tracheistomy, ia mengganggu peti suara. kominikasiku dengan orang lain hanya melalui tulisan. aku boleh menulis dan mendengar dengan baik tetapi tidak boleh bersuara. aku tahu bro pyan pula boleh bercakap tetapi tiada upaya mendengar! namun sambil itu spontannya kucatatkan sajak ini:

PYAN, AKU BAHAGIA

pyan, aku bahagia kau datang
teringat anak alam di pinggir bukit
lama dulu. Medan selera, kamar sempit
padang merbuk. Zaihasra sudah pergi
sebuah puisiku pada Ruang Dalam
aku ikut mengintai suara untukmu
aku pula hilang suara, ketika kautiba

pyan,
kita bertemu kerana lama tak berjumpa
puisi lamaku itu, kenangan ingatan
bahawa antara kita pernah
bercerita mengenai alam.

17 februari 2008

membanggakan aku bila bro pyan habib menunai permintaanku agar membaca sajak itu di pinggir katil tempat aku berbaring. terima kasih pyan. ini kali pertama barangkali bagi pyan membaca sajak di wad hospital. penontonnya selain aku dan isteri; ikut bersama sudah tentu beberapa jururawat serta pesakit-pesakit sekeliling. suara istimewa pyan berselang antara bunyi nada mesin alarm dan keluh pesakit sekitar.

memang bila bertemu pyan aku teringat rumah anak alam pinggir bukit (?) dan padang tekukur tepi jalan ke tugu negara dan bangunan parlimen, kuala lumpur. aku bersama penyair moechtar awang pernah menginap di kamar bro pyan di situ. kami boleh melihat dan membaca karya lukisan @ catan yang dipamerkan di dinding-dinding bilik rumah tersebut. ada hasil karya a.latif mohidin, a.gafar ibrahim (AGI) , a ghafar bahari, ali rahmad @ ali mabuha, syed ahmad jamal, ibrahim husein dan lelain yang kulupa namanya. deru trafik bandaraya diselang decitan margasatwa berdekatan turut mendamping telinga kami.

malam kami berkumpul di medan selera berhampiran restoran rakyat dan bangunan bank negara. sempat berborak ramai-ramai bersama almarhumah penyair zaihasra, zaiton ajamain, sdr hanafiah samad dan beberapa individu seangkatan. bicaranya sudah tentu berkisar sajak, kepenyairan, teater kontemporari, kritikan sastera dan persoalan sewaktu dengannya. gelagat bro pyan cukup melucukan kami. keletahnya cukup menghambat kerisauan.

paginya, kami akan bersarapan nasi lemak pedas dan kopi panas di kantin atas bukit (?) itu , kekadang bersama meor hashim manaf dan isterinya azaidah khairan (tidak berdramakah mereka kini) serta beberapa penggiat teater lain di panggung bandaraya berhampiran. itu kenangan. itu nostalgia.

ikut mengisi antologi pertamaku ruang dalam (terbitan PENYAIR @ Perkumpulan Penyair Mutakhir Malaysia, 1986) sebuah sajakku khusus buat beliau:

PINTU
- buat pyan habib

kauajakku masuk sebelum kuketuk
selak menyekang gema, suara tergari
sapa terkunci bergugur senja di perbukitan
kecil. datang malam menebar gebar
kita bersepi di pinggir pintu

angin parau terjulur dari rangkung

menghembus asap
dan hilai bahasa. kureguk pekik tertendang
itu bagai jaring labah penuh salut pelekat
gagal merungkai saraf dukamu
berpintal

terjerat kita di bawah gebar dan jaring
meraba rasa dan makna. tiada desir pohon
tiada nyanyi burung. gegendang bertahun
mengundang sunyi rindukan merdu
suara Daud yang disorokkan
belakang pintu.

Mac 1986.

selepas bro pyan habib mengunjungiku di wad bulan februari lalu, kami sering berutus sms bertanya kabar, berucapan selamat sambil menggambarkan wajah masing-masing di kotak ingatan. kuingat rambut gondrongnya, suaranya (berdengung tak suara sendiri di gegendang telinganya, wallahu a'lam) dan mata mesranya. aku masih menyimpan antologi sajak suara bro pyan. bercetak kertas yang agak tebal berwarna kebiruan. kata pyan rakan-rakan membantu-terbitkan buku bersejarah itu. aku tidak mudah melupai bro pyan selaku sahabat yang baik. begitu juga barangkali beliau sebab itu dismsnya begini kepadaku:

(ops! Antologi terbaru enta. negeri di bawah bulan.ongkosnya masih lupa ana kirimkan) sdr abdulhadi, selamat hari raya haji maaf zahir batin. * tiap kali ana bertamu ke pulau melaka, ana keluar gitu2 saja tanpa diketahui enta selaku tuan rumah, maaf ya. * ana juga dak lupa untuk ongkosi akan racun abadi tetapi ana TIDAK LUPA! * semoga enta sihat2 dan tidak sakit2. salam buat enta sekeluarga. itu pesanan ringkas bro pyan bertarikh 9 disember 2008.

aku sering ke blog beliau ini gua ini blog gua. gembira aku menatap komen bersajak beliau terhadap iklim sosio-politik di malaysia kini. iklim yang merimaskan. cuaca hangat. banjir kilat. politik gawat. masyarakat pucat. tanah runtuh atau kepimpinan tanah air yang makin geruh.

bro pyan habib bijak memberi nilai dan menawarkan persoalan! ringkas tapi mengesankan minda! hahha.. dia juga bertamu ke blogku tamu pulau melaka. ini barangkali kerana aku ikut memberi komen di blog 'igibg'nya itu. dengan cara begini pun kami boleh berbicara. berhubungan silaturrahim. bro pyan boleh juga ke blog ini keroncong dari ana. kita berutusan suara minda dan bersajak di sini. selamat datang dan selamat tahun baru ma'alhijrah 1430H dan 2009M moga datang tahun hadap ini membahagia kita dan moga Allah merahmati kita. jangan lupakan DIA.

PUCAT BAHASAKU

bahasaku pucat sejak merdeka
lima pulah tahun lidah masih gagap
menyebut hasrat dan ayat bermadah

pucat bahasaku kehilangan madu
persada khalayak menyimpan malu
juling memandang gelagat sendiri
telor bicara tentang tamadun
menyembunyi seri
sejarah bonda pertiwi

Lingua-franca meliputi nusantara
malar hijau selesa khatulistiwa
lembut berpuput angin sederhana
melaksana sejahtera
pusaka jiwa bangsa

Pendeta akan lagi tercabar
kemana munsyi
menggarap ilmunya, ada
pengalaman dari terjah sejarah
penjajah menggeliatkan lidah
agama, budaya membeliak
mata hati putera

keturunan kita berkesalkah nanti
ada moyang hanya bercakar
memintas kera di hutan
putera di pangkuan ditinggalkan
moyang pesakakan kelemahan
ada kalah disorakkan
juara asing menang di gelanggang
ada kapal menyongsang arus
kita tertinggal berpeluk tubuh.

Tapanji, Kota Bharu.
26 Zulhijjah 1429H.

Sunday, December 21, 2008

MENATAP LAUT YANG JAUH

samudera yang tidak pernah terukur
berapa luas betapa saujananya
melainkan laut mati di tengah benua

bahtera Nuhku yang sejahtera
kota Atlantis entah di dasar mana
titanic yang ditelannya tersekang
di rengkung gelombang

kutatap laut yang jauh
dari rumah api pantai dasar
kenangan suara silam daunan ru
terbenam di mana kubu hasratku

pantaiku cinta berahi
sering berubah bila dilanda bah
tetapi tidak iman kita kepada Allah

pantai cintaku berahi
setelah kautemui makrifat Yang Satu
terus zikirkan Dia jangan jemu-jemu

pantai cinta berahiku
nikmat kasih Tuhan tercurah seumur
walau derhaka manusia melupai-Nya.


30 rabiul-akhir 1429.

SERGAH SEPASANG KASUT

seakan laju jet pejuang
tujuh tahun merejam baghdad
sekonyong kasut tertanggal
dari kaki muntadhar al-zaidi
menerjah kepala bush
pada sidang media
terakhirnya, 14 disember

lontaran terpuji itu
ucapan selamat jalan buatnya
kenangan sehayat durjana
itu hewan pemangsa amerika

kasut tertinggal
bukan milik cinderela
lagenda tagihan cinta,
ia al-zaidi punya
walau tertepis hala
mahu dia
melepas kesumat
ke muka si laknat
tidak punya maruah.
hanya tahu balah;
sebenar iraq tidak bersalah.

18 disember 2008.

Saturday, December 20, 2008

Tiga Puisi Sdr Mujahid Adil*

Rebing

gunung rebing
di celahan dadamu kami bercerita
kau pasti merdeka

gunung rebing
di kakimu kami berikrar
tetap berjihad

sampai setiap inci bumi ini berdaulat
dan setiap huruf dalam al-Quran itu ditegak.

suatu kenangan ,
7.7.1984M


Kami Bersumpah

di suatu malam
di sebuah desa
kami satria mulia
bersumpah

" demi Allah
kami satria bumi bertuah Fatani
dengan ini kami berikrar sepenuh hati
bahawa kami akan terus berjihad
sehingga Fatani ini berdaulat
sehingga agama Allah tinggi ditegak
kami tidak akan menyerah
kami akan terus menjaga maruah
kami sedia berjihad sampai mati
ya Allah
jadilah saksi
berilah taufik dan berilah
hidayah kepada kami...amiin.

9/12/1984

Nyanyian Dari Gunung

bila sawah sudah jadi neraka
rumah-ruma dibakar
diranap rata
kebun dipenuhi teratak tentera durjana
sayuran dipagar dirampas
dara-dara suci kami diperkosa
diri kami dicari kemana-mana
rumah kami adalah gunung-gunung
meninggi di angkasa

di bawah seraya tinggi
kami membawa cita-cita
kami menyusun ilham

eriang gua
mendendangkan lugunya
kami membuat strategik
dan tektik baru
iman waja di dada
senjata moden di bahu
berjihad
merebut peluang
merempuh kota
membuat petualang
menghapus penjajah

gesekan seraya memanggil kami
kami ke gunung lagi
sebentar berehat
kami turun semula
menghapuskan durjana
murai cerang merayu pulang
kebawah bayang seraya
mengambil nyawa
kemudian bertempur lagi
dan membunuh lagi
beramai-ramai di gunung mengawan
kesusahan menjadi kelazatan
keriangan menjadi bosan
inilah perjuangan

hati penuh cita-cita dan iman menyala
besi datang membela
agama Allah mesti ditegak
di bumi tercinta.

2/1/1978.

* Sdr Mujahid Adil alias Ya Hamid: penyair Islam asal Fatani. Mendapat didikan di Mekah dan Mesir. Pernah mengajar beberapa buah sekolah di Kota Bharu, Kelantan.





Friday, December 19, 2008

bismika rabbi.
sempat kuhidang di sini sebuah laman di hujung tahun. kita berlagu di sini.
muqaddimah pada siteku 'keroncong dari ana' sebuah puisi 'sajak meneliti arah'. sengaja mengimbas. bahawa manusia sejak ditaqdir menghuni bumi ini memburu nikmat semata. inginkan kesenangan, bebas dan selamat. mengejar kekayaan tapi lalai akan matalamat hidup kurniaan Allah. hingga ke mati, kebanyakan manusia tidak bersyukur, malah lupa Allah Maha Esa. Jangan kita! kunukil jua lirik 'keroncong untuk ana' m. nasir yang agak syahdu tu untuk kita cuba hayati. ok.

Sajak Dr Maza Dijadikan Lirik Lagu Tapi Digam RTM.


Reply with quote



Sajak Dr Maza dijadikan lirik lagu oleh Kumpulan Kopratasa diterbitkan
oleh M.Nasir tapi telah digam siaran oleh RTM. Kenapa? Bimbangkan
pedasnya oleh pemakan-pemakan lada? Siapa pemakan lada tu.
Lirik itu bukanlah pedas sangat, namun bagi sesiapa yang memang sakit
mulut akan terasalah pedihnya. Menteri RTMelalutkah yang kepedasan
atau dia nak bela orang-orang lain yang memang sakit mulut?
Apo nak dikato kan?

Thursday, December 18, 2008

m. nasir: keroncong untuk ana

benarkah tiada bagiku
ruang di hatimu
untuk ku bertapak
walaupun sejengkal jari
agar dapat ku berdiri
di ambang pintumu

ke mana
hilangnya keroncong
oh cinta yang kita
nyanyikan bersama

ataupun
aku yang bersalah
hanya menepuk tangan
sebelah saja

ana...ana...
ana...ana...

tiada ku sangka
kau tutup semua
pintu cinta untukku
hinggaku
termanggu tiada
arah nak kutuju
membawa hatiku.

- di sini kita bertemu-

Bismillaahirrahmaanirrahiim

dengan namaNya Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
segala pujian untuk Pengasuh seluruh alam
selawat dan salam khas buat Rasul junjungan.
taman maya indah kubuka pintunya. ada keroncong
kita lagukan hujung tahun. keroncong biasa dariku
lirih dan mengharap sesuatu.



sajak meneliti arah

kita bayi yang jatuh bergeletak tangis
tatkala diterima menghuni maya

kini semahunya menjadi pemburu tawa
ingin kelegaan hati bebas mendepa sejahtera

memperolehi serba cukup
kita lupa meneliti arah itu
hingga ke penghujung hidup
terpisah jarak meninggalkan SATU.

kelantan DN.