Monday, September 30, 2013

Dari Tanggapan Sdr NAZMI YAAKUB



KUMPULAN Puisi
Negeri di Bawah Bulan
karya Abdulhadi Muhamad

BERITA HARIAN-Aug 04, 2010 Mohd Nazmi Yaakub rated it 2 of 5 stars
Shelves: sastera, malaysia
KUMPULAN Puisi Negeri di Bawah Bulan karya Abdulhadi Muhamad, menghimpunkan 75 puisi segar bernafas Islam dengan memanfaatkan latar agama, metafora tajam, renungan alam dan iktibar sirah serta sejarah sebagai teladan, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai penyair mapan tanah air.

Abdulhadi memang dikenali penyair yang akrab dengan nafas Islam sehingga tidak hairan Negeri di Bawah Bulan itu mewah dengan aroma din seperti Sajak Sesudah Purnama yang menyusuri perjalanan pendek, tetapi bererti dari Ramadan ke satu Syawal kerana ia sarat dengan pengabdian kepada Allah yang mengizinkan pengembara melaluinya.

Perjalanan hidup manusia sama ada dalam alam yang sama atau perpindahan ke alam abadi sering mendapat perhatian penyair seperti yang diperlihatkan dalam puisi, Tunggu Sekejap dengan pemilihan diksi yang indah, Berbicara selok jalan kelok pulang / kita tanya penghuni alam. Arah man / mata angin ke daratan atau / kita rancang pelayaran baru / berbekal santun beralas rindu.

Puisi Kepada Bomoh Hujan yang dimulakan dengan baris Per: Menangguhkan Hujan meminjam format surat rasmi, membuka dan menutup puisi dengan gaya humor, tetapi falsafah di tengah-tengahnya sarat dengan unsur alamiah serta kemanusiaan.

Unsur alamiah dan kemanusiaan itu sudah tentu bertolak daripada pemerhatian penyair terhadap alam yang sangat halus seperti yang diperlihatkan dalam puisi, Dua Puisi Tentang Kemarau dan Sajak Kaki Bukit yang menggunakan metafora tajam.

Ketajaman pemerhatian penyair dalam menggambarkan alam bukanlah satusatu kekuatannya, sebaliknya deria sama dimanfaatkan terhadap sirah umat terdahulu khususnya kisah nabi dan rasul seperti puisi Jalan Bersimpang yang menyuguhkan pertembungan manusia Qabil dan Habil, puisi Ulul Azmi yang mengangkat mukjizat Nabi Ibrahim serta puisi Ashabul- Kahfi.

Sejarah bangsanya turut menguasai rasa puitisnya apabila beliau mempersoalkan pertarungan Jebat Tuah dalam Sajak Paduka kepada Jebat.

Abdulhadi juga cenderung memanfaatkan format tulisan yang secara zahirnya tampak kaku, tetapi dihidupkan dengan pemilihan diksi dan penerapan falsafah hidup seperti pada puisi Telegram.

Rasa cinta pada negerinya itu diangkat sebagai tajuk buku, Negeri di Bawah Bulan, bahkan tumpah pada puisi, Ziarahilah Kelantan yang menggunakan gaya `propaganda' dan boleh dipindahkan ke bentuk brosur pelancongan, sekiranya Kelantan membuka mata terhadap dunia sastera di Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Meskipun penyair itu selesa di negerinya di Pantai Timur, rasa sensitiviti kepenyairannya terhadap gejala sosial dan telatah manusia kota dapat dilihat dalam Nostalgia Ke XXXIV, Di Pipi Kiosk Ibukota dan Sajak Banjir Kilat.

Kadangkala Abdulhadi sedikit nakal dalam berpuisi, tetapi ia masih dibatasi rasa manusia yang pemalu seperti puisinya, Sajak Pulau Seratus yang bermula dengan baris Tempat kita gugurkan cinta dan sperma itu/perlahan-lahan subur memisah daratan, air kian/marak dan berhempas dengan pulau-pulau.

Sesekali penyair turut merentasi sempadan keselesaan sehingga puisinya seolah-olah menerawang untuk meninjau-ninjau kemanusiaan di dunia luar seperti dalam puisi, Dari Dengus Dendam Berpukau dengan Bayang-bayang, Pretoria, Asap Aparteid dan Kota Bam.

Rasa kemanusiaan di dunia luar itu sangat dalam terasa apabila penyair mengungkapkan puisi, Terima Kasih, Tuhan, sekali gus menyelak makna ketuhanan di sebalik malapetaka tsunami.

Dalam Kembara Abid ke Tanah Suci, Abdulhadi turut merakam pengabdian dalam bentuk puitis seperti puisi Sepohon Doa di Jabal Rahmah, Tidak Kelihatan Lagi dan Di Masjid Ji'ranah.

Anak didik Maahad Muhammadi Lelaki

ABDULHADI Muhamad anak kelahiran Kampung Humalanas Takbai, Narathiwat, Selatan Thailand, pada 1954, menuntut di Maahad Muhammadi Lelaki (MML), Kota Bharu sebelum meneruskan pengajian ke Kolej Islam Klang (KIK) dan melanjutkan pengajian dalam bidang Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bakat kepenyairannya mula diasah di MML melalui wadah Badan Bahasa dan Persuratan Melayu (BBPM) yang turut melahirkan penyair Kelantan seperti Abham TR, Mazli Husma, M Yarisman Kelantan dan Abdul Hadi Yusof, manakala bakat itu semakin tajam di KIK apabila puisinya diulas di Utusan Zaman.

Di UKM, Abdulhadi menubuhkan Grup Pemuisi UKM (GPUKM) pada 1977 bersama-sama Azmi Yusoff, Nawawee Muhammad, Haron AH, Maswan Salleh dan A Rahman Ali, iaitu setahun selepas karya sulungnya, Terbaring Kehormatan, disiarkan di Mingguan Timur.

Latar belakang pendidikan yang akrab dengan pendidikan Islam dan bahasa Arab mendedahkannya kepada karya kesusasteraan Arab dan Islam, sehingga nuansa Islam tertumpah ke karya Abdulhadi sendiri.

Sebelum Negeri di Bawah Bulan, beliau sudah pun menerbitkan dua kumpulan puisinya, iaitu Ruang Dalam pada 1986 dan Racun Abadi (2001), selain puisinya turut tersiar di antologi puisi seperti Puisi-puisi Bangi pada 1978; Perubahan (1988); Sayang Ottawa Airnya Sejuk (1989); Mengenang-Mu (1989); Di Atas Mimbar Merdeka (1989); Kamar Kecil (1991); Taman Bahasa Ibunda (1993); Nyanyian Kembara (1999) dan Sebening Sinar (2005).

Abdulhadi turut menyertai Ratib 1,000 Syair yang diterbitkan pada 2005, manakala puisinya turut termuat dalam Paluh yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Russia pada 1996.

Beliau yang turut menganggotai Penyajak Mutakhir Malaysia (Penyair); Pertubuhan Angkatan Penyair Kelantan (PAPK); Persatuan Penulis-penulis Kelantan (PPK) itu, pernah memenangi hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1985; Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 dan 1986/87 serta Sayembara Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena 1989.

PIRAMID MALAYSIA


BN
Barang Naik
cuma nafsu turun
semenjak dua menjak
ini buah mulut berceloparan
menjadi-jadi september 3,2013
petisyen yang tak jadi-jadi
maka bermuktamadlah
pasca pru13 hingga
ogos 31 kemarin
mulut berbuih
hari ini -
kami miliki
PM yang bagus
mentadbir rakyat
rakyat diperbodohkan 
siapa lagi kalau bukan dia
lalu ron 95 dan diesel disyaki
mengancam poket marhein
untuk kali ke entah, kami
membeli barangan lain
harga baru & mahal.
dendam apakah
terhambur itu
dimulutmu,
hatimu?
PM.

3/9/13

Sunday, September 29, 2013

NELAYAN KITA TAKUT KE LAUT




Tengah ombak angin kasar itulah tiba hujan disembar lebat-lebat. Kucah mengalah gelombang menang. Ikan, sotong, udang, ketam merawat hidup berbenih dan menambah zuriat. Lagi terlepas ancaman. Tapi nelayan dikongkong iklim terlepas rezeki.

Tengkujuh monsun menambah sukar warga Terengganu kita ke laut luas. Bungkam terkurung bersama akal hujung tahun. Buka tahun nanti anak-anak mahu belanja lebih ke kelas baru. Karenah pelbagai yuran menggerun warga negeri kaya minyak tetapi sesak miskin menghitung butir beras dan titik-titik atap bocor. Retorika rakyat didahulukan pencapaian diutamakan tersangkut pada perahu dan layar Piala Monsun ini tahun!

Tengkujuh monsun disember warisan orang-orang tinggi harapan tetapi gagal ta'kulan. Tengkujuh tahun ini Terengganu kita menyedia hadiah juta-juta kepada orang-orang mewah berlumba sedang rakyat sendiri terpinggir, 'mewah' dengan kemiskinan kedua Negara 1Malaysia.

Disember 2009.

ABDULHADI MUHAMAD PENYAIR GRUP PEMUISI UKM BERBAKAT



BBB, 24 Rajab 1434 = 03 Jun 2013 (Isnin):



 
Ada beberapa sebab Penulis memilih untuk memperkatakan tentang penyair Abdul Hadi Muhamad.

1)      Abdul Hadi adalah Pemenang Pertama di dalam peraduan menulis puisi sempena Pengisytiharaan Bangi Bandar Ilmu (22 Jun 2008) yang puisinya diterbitkan di dalam buku Gagasan Bangi (2012). Himpunan esei dan puisi yang memenangi peraduan tersebut.
2)      Abdul Hadi adalah Penyair yang lahir dari Grup Pemuisi UKM yang ditubuh pada tahun 1977 di UKM. Penulis pernah menjadi Penasihat bagi Grupemuisi semasa baru menjadi pensyarah di UKM. Abdul Hadi adalah salah seorang penyair muda yang terserlah pada masa itu. Ternyata kemudiannya beliau menjadi salah seorang penyair tanahair yang memenangi Hadiah Sastera beberapa kali.
3)      Abdul Hadi terus menghantar kepada Penulis buku-buku puisinya yang dihasilkan. Semasa datang menerima Hadiah Peraduan Penulisan Puisi Bangi Bandar Ilmu beliau menghadiahkan kepada Penulis buku puisi antologi (Bersama) yang berjudul Al-Abrar (2011) dan terbaru beliau menghantar Kumpulan Puisi terbarunya yang berjudul Gobar Wilayah Kami (2013) yang tiba ke tangan Penulis pada 27.2.2013,.
Melihat kepada penerbitan kumpulan puisi perseorangannya berjumlah 4 buah kumpulan puisi iaitu Ruang Dalam (1986),  Racun Abadi (2001), Negeri Di Bawah Bulan (2008) dan Gobar Wilayah Kami (2013) menunjukkan Abdul Hadi seorang yang serius berpuisi. Selain dari itu beliau banyak menghasilkan puisi secara antologi berpuluh buah antologi seperti Abrar (2011), Gema Membelah Gema 4 - 8, Puisi-Puisi Bangi (1978), Koleksi Perhimpunan Penyair Muda Malaysia (1988), Danau Dan Tifa II, Perubahan (DBP 1988), Sayang Ottawa Airnya Sejuk (DBP 1989), Mengenangimu (DBP 1989), Di Atas Mimber Merdeka (DBP 1989), Puisi Baharu Melayu 1961-86 (DBP 1990), Kamar Kecil (PAK 1991), Taman Bahasa Ibunda (DBP 1993), Cetera 94 (Kelab Sastera Dewan 1994), Puisi-Puisi Kunjungan (DBP 1995), Paluh - Dalam bahasa Rusia Terbitan Krasnaya Gora Moscow (1996), Nyanyian Kembara (GEMA 1999), Ratib Seribu Syair (GAPENA 2005), Oh Penuntut Darul Fikr KL 2005), Sebening Sinar DBP 2005)  dan lain-lain.
Beliau juga memenangi banyak hadiah seperti Hadiah Sastera-Public Bank (1985), Hadiah Sastera Malaysia (1984/85 dan 1986/87), Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena (1989) dan Hadiah Peraduan Menulis Sempena Ulang Tahun Pelancaran Bangi Bandar Ilmu (2012).

Apabila Grup Pemuisi UKM ditubuhkan (1977) Grup Pemuisi banyak mengadakan kegiatan berpuisi, berdiskusi dan berkreasi. Satu kegiatan menonjol ialah menghasilkan kumpulan puisi. Selama lebih setahun bergiat sebanyak 5 buah antologi puisi secara stensilan dihasilkan.

Menulis kata-kata aluan bagi Antologi Puisi Kuntum Rasa selaku Penasihat Grupemuisi Penulis menyatakan:

``Umur Setahun jagung kelahiran Grup Pemuisi di UKM relatifnya amat pendek, tetapi semuda usia ini Grup Pemuisi telah menempa nama dalam kegiatan bersastera di tanahair, khususnya di UKM. Kejayaan ini banyak bergantung pada pengemudian Grup Pemuisi yang dipimpin oleh saudara Nawawee Mohammad, Azmi Yusoff dan rakan-rakan. Dengan lahirnya antologi ini sudah lima buah antologi yang dikaitkan dengan Grup Pemuisi dihasilkan, di samping kegiatan yang lain (Nawawee Mohammad & Abdul Aziz Ahmad, Kuntum Rasa, Grup Pemuisi UKM, 1979: hlm. I.

Abdul Hadi Muhamad dilahirkan di Kg. Humalanas Takbai, Wilayah Narathiwat, Thailand Selatan pada tahun 1954. Menerima pendidikan awal di Ma`had Muhammadi Kota Bharu, di Kolej Islam (1971-74) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1975-1979). Bersama beberapa teman penyair di Kampus UKM Abdul Hadi memimpin Grup Pemuisi UKM. Abdul Hadi sebenarnya mempunyai persediaan bakat terserlah di dalam berpuisi. Kegiatannya di dalam Grup Pemuisi UKM mempercepatkan kelahiran dan penonjolan bakatnya. Ini terbukti dari tiga puisi awal beliau yang dimuatkan di dalam Antologi Kuntum Rasa. Baca dan hayati  kekuatan imaginasi dan pemilihan kata beliau yang menyimpang dari ungkapan biasa:

Perpindahan: Tiada Lagu Dari Seorang Voyeur

Dan sesudah itu ?
Mendung pun kaupunggah-punggah ke dermaga
Laut yang lagi tenteram, akulah layang-layang
Sesekali menjunam atau bungkam
Memerhati kesibukan pengkalan
Dengan bungkus-bungkusan berat
Kata selamat yang tak terucap.

(Kuntum Rasa, Grup Pemuisi UKM, 1979: 4)

Demikian sebahagian dari puisinya yang menggambarkan kesibukan dialami penyair di Dermaga Butterworth, Pulau Pinang. Lihat pada pemilihan katanya secara imaginative dan puitis, Mendung pun kaupunggah-punggah ke dermaga, Laut yang tenteram akulah layang-layang, sesekali menjunam atau bungkam dan Kata selamat yang tak terucap. Ungkapan-ungkapan ini menggamit rasa yang menyentuh naluri ingin tahu apa yang diungkap dan mahu disampaikan yang sesungguhnya amat berkesan.

Hayati lagi gaya pengucapan Abdul Hadi ketika bertolak dan mengucap Selamat Tinggal  kepada kampung halamannya. Kata Abdul Hadi:

Swaddi Kap Buat Tanah Kelahiran

Swaddi kap,
Sekarang aku melintasi sempadan
Tanpa ingatan ke belakang
Atau menangis
Bot ini memunggah kesaratan rasa
Kembara, penemuan dan kembali
Bakal penghabisan hari.

Swaddi kap orang-orang Pulau Nibung !
Swaddi kap orang-orang Humalanas

Angin kelmarin mengapa masih sepi
Anak-anak keli lagi menggigit umbi padi
Ah, gagakkah yang pulang ke benua
Mengetuk daun pintu tanah kelahiran
Atau berlari-lari mengejar belalang
Hinggap di daun kerian
Pinggir kubang,

(Kuntum Rasa, UKM, hlm. 4 & 6).

Perhatikan petikan kata-katanya bagi mewakili imaginasi dan perutusannya, Swaddi kap (bahasa Thai = Selamat Tinggal), Bot ini memunggah kesaratan rasa, Angin kelmarin mengapa masih sepi, Anak-anak keli lagi menggigit umbi padi, Gagakkah yang pulang ke benua, Mengetuk daun pintu tanah kelahiran, Berlari-lari mengejar belalang, Hinggap di daun kerian, Pinggir Kubang. Abdul Hadi mengungkapkan pengalaman alamiah yang dilalui dan dihayati dan berjaya menterjemahkannya ke dalam bahasa puisi.

Dua petikan (sebahagian) menggambarkan situasi dialami penyair dalam perjalanan yang ditanggapi secara imaginative kreatif, begitu indah ungkapan dan itulah bahasa puisi. Dengan bakat terserlah ini ianya menjadi asas bagi Abdul Hadi menginjak dan melebarkan sayap puisinya menerawang ke pelbagai kemungkinan mendepani masa depan.

(Bersambung …)

Sekian.
ditulis oleh Dr Shafie Abu Bakar at 7:50 AM