Sunday, October 25, 2009

PUSPA Lancarkan Buku Antologi BISIKAN 7


Saya menerima SMS dari sdr Abham TR Ketua 1 Persatuan Seniman & Penulis Kelantan (PUSPA) mencatatkan: Assalamualaikum, tuan dijemput ke majlis pelancaran BISIKAN 7 jam 9.00 pagi 24 Okt di Institut Dakwah Islamiah PERKIM Pengkalan Chepa bersebelahan Institut Latihan Perindustrian (ILP). Abham. Sudah tentu sdr Abham TR, sahabat saya Dr Hj AbdulAziz Hj Mahmood itu menjemput saya ke majlis tersebut.

Memang saya tidak keberatan untuk hadir, lama benar saya tidak ceburi majlis sebegini; tambah lagi pada buku kumpulan sajak 'Bisikan 7' ada sajak saya dan sajak anak saudara saya Ahmad Faris Naqiuddin yang ikut berjinak dengan sajak. Pagi itu jam 9.00 saya ke Dewan Perkim Kelantan menyertai majlis itu dan memang ramai ketemui teman-teman penulis Kelantan antaranya Norhisham Mustafa, Nawawee Mohammed, AbdulHadi Yusoff, Wadi Leta S.A, Leo AWS, Merah Azmi, Mazli Husma, AbdulRazak @ Razeki Othman, Mariam Awang Lah, Zulkifli Md Zin Ketua 2, Rogayah Abbas s/u PUSPA, Kartunis Rossem, Nassury Ibrahim (selaku pengulas antologi Bisikan 7) dan lain-lain.

Banyak pesertanya adalah para penuntut Perkim sudah tentu para muallaf muda dari pelbagai bangsa. Majlis pelancaran buku Bisikan 7 PUSPA selamat disempurnakan oleh YBerbahagia Timbalan Pengarah Perkim Negeri. Setelah pelancaran, beberapa 2-3 orang membaca sajak di pentas dan sdr Nassury Ibrahim kemudiannya mengulas buku itu. Tetapi sayang, hampir 3/4 masa itu, sdr Nasurry berceramah ' ciri-ciri puisi, cara menulis sajak dan galakan menulis sajak'. Beliau tidak banyak fokuskan kepada isi Bisikan 7 itu.

Saya mohon berundur awal 11.30 pagi kerana ada urusan lain, namun sempat juga berborak ringkas dengan Abham TR, Mariam Awang Lah (isteri AbdulHadi Yusoff) dan sdr Rossem. Saya tinggalkan 30 buku sajak Negeri Di Bawah Bulan kepada urusetia mohon sokongan dari sesiapa yang berminat.

Keesokannya saya menelefon sdr Leo AWS bertanya kabar tentang majlis PUSPA. Katanya dia juga balik awal kerana mahu ke Kuala Krai. Sempat diberitahunya perihal dua sajak Merah Azmi dalam kumpulan Bisikan 7 itu Jitra-Pagi Di Kedah dan Puisi Infogaleri Sungai Golok Tengku Anis adalah milik Leo AWS. Sajak-sajak lama beliau itu pernah diberi kepada sdr Merah Azmi buat tatapan tetapi begitu pulak jadinya. Sdr Abham juga memberitahu dan mohon maaf atas insiden Leo AWS vs Merah Azmi itu.

Dua hari kemudian sdr Leo AWS datang ke rumah saya menjelaskan tentang hal tersebut. Itulah antara karenah dalam bidang penulisan ini. Beliau juga ikut memperihalkan sedikit salah faham antara dia dengan sdr Marsli NO tentang artikel / ulasan buku puisi Leo yang pernah menjadi polimik kecil mereka berdua.

Apa pun tahniah buat buat sdr Abham TR dan PUSPAnya kerana berjaya menerbitkan BISIKAN 7 dan melancarkannya di Dewan Perkim Kelantan.




Sunday, October 11, 2009

Dikir Barat Tidak lapuk Dek Hujan...

Zaman remaja dulu saya sering berbasikal bersama saing ke panggung dikir barat (DB). Kami sanggup pergi ke tempat persembahan itu walaupun agak jauh. Teket masuk cuma 20 sen seorang. Banyak kenangan teralbum indah semasa menonton DB dulu masih saya ingat hingga kini. Panggung DB diperbuat besar/luas dari daun nyiur. Penonton akan duduk bersila di atas tanah atau hamparan berbumbungkan lagit. Mereka bebas bergerak ke sana ke mari..

Dalam samar-samar terang itu kami duduk mendengar dan berdendang sama sejak jam 9.30 malam hingga tamat hampir subuh. Apabila gendang bertabuh dan para pendikir terutamanya tukang-tukang karut dan juara berada di pentas, maka akan hingarlah sekitar dengan dikir barat. Selalunya mereka akan berlawan dua puak atau pasukan yang dijemput khas. Pasukan itu masing-masing memiliki tukang karut atau penyanyi dikir yang popular.

Setelah saya menyambung pelajaran menengah di Kelang dan KL, saya ikut serta pasukan DB kolej dan universiti (UKM) Kami sertai Kumpulan Kebudayaan dan Kesenian UKM bersama kumpulan kesenian lain. Kami pernah membuat persembahan di Sabak Bernam, USM Kampus Minden Pulau Pinag dan ke Pulau Langkawi; selain di UKM Bangi. Juara dan tukang karut pasukan kami ialah sdr Mohd Fuzi Mohd Noor @ Tar ( kini Pengetua SMK Kubang Kerian 2). Suara beliau merdu dan sedap didengar (termasuk tilawah al-Quran!).

Setelah berada di alam tua, sesekali masih mengikuti DB sama ada di kaca TV atau Youtube. Kalau dulu-dulu dikir Tok Ngah Seman @ Seman Wau Bulan sedap dan tidak puas didengar; kini ramai pendikir yang terkenal, antaranya yang paling terkenal ialah Megat Nordin. Saya sengaja memetik 2 video yang menayangkan DB mereka berdua membawa lagu-lagu yang evergreen, tak lapuk dek hujan:


Titih Pesaka oleh Megat Nordin



SERONOKNYA MENJADI PENULIS

salam. setelah kenal huruf, barangkali kerana dikurnia bakat oleh Allah serta disubur oleh minat, maka ana menjadi penulis. sejak sekolah menengah tahu menyusun bahasa cinta insani alias perasaan, hingga kini walau pun tidak semasyhur orang yang terkenal, ana tidak kesal menjadi penulis. nombor wahidnya kerana menjadi penulis, ana jadi pembaca. kerja membaca dan rajin membaca. yang tidak puas-puas ana bacai ialah al-quran.' al-quran' kitab suci itu pun bererti 'bahan bacaan' sementelah ia adalah wahyu Allah kita.jadi menjadi penulis itu adalah lantikan Allah kita kepada sekujur diri ana. seronok seumur dan tidak ada yang tidak seronok!ana bersajak semata melayan bakat dan minat itu. menuju pula cinta Allah. lalu ana menerbitkan sendiri tiga buah buku kumpulan sajak. satu demi keseronokan peribadi, kepuasan dan juga buat orang lain menyantap 'keroncong dari ana' walau pun laguan itu sekadar sarapan pagi, tengahari atau hidangan malam. buku sajak ana 'ruang dalam', 'racun abadi' dan 'negeri di bawah bulan' dan bakal menyusul ' atar seribu bunga' barangkali itulah antara pesaka bukti bahawa ana pernah menjadi penulis. mercu tanda bahawa nama ana pernah wujud mengisi ensaiklopedia kesusasteraan bahasa dan bangsa ana. melayu di tanah melayu ini. ana menulis melalui bakat dan minat seperti yang diperuntukkan-Nya. ana dambakan keredhaan-Nya, faham bahawa melalui hasil karya juga kita akan mendapat pahala atau dosa. niat kita, hasil buat kita dan hidangan kita itu akan dinilai oleh Allah kita bagai seorang pelukis jua. ada karya baik jika melukis keindahan ciptaan Allah, melakar keburukan suasana bagi memberi kesedaran, tetapi jangan melukis perkara yang diharamkan demi memuas hawa nafsu. sama juga jika berfoto kan? walau apa pun ana bersyukur bila karya baik terhasil dan bila dinilai baik oleh orang lain. mari kita teruskan bakat dan minat yang baik, punya intelektual / kewarasan, bermanfaat dan mengharapkan mutmainnah. semoga menjadi hamba Allah yang akan kembali kepada-Nya dengan keredhaan dan diredhai-Nya.. menjadi peserta ke syurga Allah. seronok kan?

WS Rendra bersajak:

Saturday, October 10, 2009

LATAH Hanya 'Penyakit' Orang Melayu?

Kejadian 'Latah' ialah suatu keadaan yang berlaku pada seseorang secara spontan yang memantul dari 'terkejut' atau 'terusik'. Si pelaku latah itu akan membuat sesuatu di luar sedarnya.....

Dalam masyarakat Melayu, khasnya di Kelantan biasa kita temui 'orang latah'. Pelbagai macam latahan mereka, baik laki-laki atau perempuan, tua atau muda. Ramai orang mudah melatah apabila pinggangnya dicucuk secara sengaja atau tidak. Ada juga yang melatah apabila terkejut umpamanya bila dijerkah, tersepak atau ada benda yang membuatkan dia terperanjat tiba-tiba.

Latahan juga menerbitkan sebutan mencarut secara tidak sengaja dan tanpa kawalan. Orang yang latahnya melampau mungkin akan bertindak kasar atau menari, terikut-ikut pula suruhan orang yang mengusiknya; hingga hilang kawalan diri untuk beberapa lama.


Ada anggapan, melatah itu satu penyakit dan sebahagian daripada tabiat atau budaya orang tertentu. Ada orang melatah dengan mencarut kerana apa yang disebut memang sudah ada di dalam fikirannya atau terikit-ikut tabiat buruk tetapi melucukan. Akibatnya orang yang latah itu akan diusik di mana saja dia berada dan akan menjadi bahan tontonan yang menghiburkan. Selalunya apabila orang yang latah itu kembali normal, dia akan keletihan, meminta maaf dan memohon supaya dia tidak diusik lagi.


Soalnya: Adakah sifat 'latah melatah' itu wujud juga di kalangan masyarakat bukan Melayu?

Wednesday, October 7, 2009

Sajak Dari Wilayah Bergolak

KAMI HANYA PERLUKAN DOA

Kami memohon seluruh umat jiranan berdoa agar tabah hati melangkah hidup.

Kami mahukan ikhlasnya bagai doa kami

Tanpa memohon bantu dan harta, ketahuilah nasib kami perlu diperhati umat cinta damai. Kisah berdarah di Masjid al Furqan di Cho Airong 16 Rejab sudah meratah gerah.

Gobar wilayah bergolak mengancam gerak.

Sebelas jemaah dikejami enam lelaki bersenjata api.

Tidak puas hati, mereka melepaskan das tembakan memastikan korban benar mati.

Agar dapat melalui hidup dengan tabah. Keberanian mengiringi kami mencapai nafas. Kawalan ketat di Patani, Yala dan Narathiwat menggertak langkah. Tempat kejadian. diawasi rapi, namun tiada halangan menerima simpati.

Kami waris terlibat pembunuhan masih pilu. Para balu, anak-anak korban kejadian. Lihat sosok masjid kami. Tembusan peluru dan amarah Siam pada dinding rumah ibadat itu.

Sedih amat suasana masjid al Furqan. Sepi desa lagi damai tetapi dikejutkan ledakan dendam. Tabah menghadapi semua, kami biasa dan tetap kuat.

Para balu hadapi trauma itu, tidak menggugat ingatan sambil fikirkan cara atasi hidup menyara keyatiman dua puluh dua mangsa korban.

9 Jamadil-akhir 1430

Sajak:

SESOSOK HIDUP


(sesosok mayat ditemui
membusuk di tempat tidur
dia Pak Insan warga daerah tua)


Rajin menerus hidup

keseorangan di rumah usang

dua lantai itu. Tiga petang lalu

masih terdengar dehem batuknya.


Senja kemarin seusai rintik hujan,

anggota keluarga bersebelahan

mahu menghantarkan makanan;


Pak Insan tidak menyahut

meski dipanggil berkali,

pintu di dalam berkunci.

Begitu diintip celah tingkap lalat

berterbangan bersama bau menyengat.

curiga, namanya dipanggil lagi

wah…dia rupanya sudah pergi


Menghidupi diri, sejak lama

Pak Insan menadah hujan jatuh

berteka-teki dengan lelah dan lemah

sukarnya sering bersudah susah


Mengutip rezeki di pekarangan rumah

hidup ini serba menggelisah. Dia akur

nasib mendorongnya ke ruang alah.


31 Ogos 2009

Sunday, October 4, 2009

Ustaz Faisal Othman Bekas Guru Tingkatan Kami Kembali Ke Rahmatullah

Malam tadi aku menerima KPR @ khidmat pesanan ringkas @ SMS dari karib sekelas sewaktu di bumi wakafan Kolej Islam Kelang dulu, kini Pn Hjh Halimaton Abu yang mencatatkan:

" Salam. Datuk Dr Faisal Othman baru meninggal dunia. Msg diterima pkl 3 ptg tadi. Tentu masih ingat dia bekas form teacher kita."

Aku langsung menyebut 'inna lillahi wa inna ilaihiraaji'uun' dan melafas bacaan Al-Fatihah buat bekas guru kami yang kembali ke rahmatullah itu. Aku menelefon Pn Halimaton menanyakan beberapa hal berkaitan: sakitnya dan tempat jenazahnya dikebumikan. Beliau juga tiada maklumat lebih jelas; dia akan hubungi aku kemudian nanti. Aku ikut forwardkan berita ini kepada beberapa 'kawan sekelas' waktu di KIK dulu, antaranya Tar, Johan, Ibrahim Tahir, Ibrahim Daud, Ah Nazir, Rahim Imigresen, Asmah, Cku Razak dll.

Datuk Dr Mohd Faisal Othman adalah guru kelas kami di tingkatan 4 KIK tiga dekad lalu. Dia orang Johor juga lepasan KIM (Kolej Islam Malaya). Ketua kelas kami ketika itu ialah sdr Ambok Dalek b Hj Tahir ( adiknya Induk Simpuh dan Mohd Lapangdro juga menuntut di KIK) berketurunan Bugis juga asal negeri Johor. Ust Faisal mengajar kami subjek Ilmu Tauhid.

Saya ke Universiti Kebangsaan Malaysia 74-79, menyambung studi di Fakulti Islam major Usuluddin bertemu semula dengan almarhum (Ust kami tu) Dr Faisal Othman di sana memberi kuliah subjek Perbandingan Agama. Beliau perolehi PhD dari Universiti Philadelphia A.S dalam bidang Comparative Religion. Beliau menerima DMSM dari Ker Negeri Melaka yang membawa gelaran 'Datuk'.

Semoga Allah mengampuni dan merahmati Ust Faisal kami. Allahummaghfirlahu warhamhu....u...

Permukiman Hari Keluarga Al-Muhammadi Di Pantai Melawi

Permukiman Hari Keluarga Al-Muhammadi berlangsung meriah dan sukacita di Damai Resort Pantai Melawi Bachok. Para peserta tiba awal selepas solat asar 3 Syawal 1430 bersamaan Selasa 22 Oktober 2009.....

.

Dapat dikatakan ianya berjaya dan meriah. itu saja kata2 yg layak diucap buat permukiman keluarga al-muhammadi kali pertama yang tamat sebentar tadi, jam hampir zohor hariraya ke 4 itu. berkesan dan mengesankan. rugi sapa2 yg tidak keuzuran kalu tak sertai. TAHNIAH kepada ajk penaja, utamanya sdr anzartika alias asrulnizam.

Tahniah juga kepada para penjaya sukanika yg beragam itu...tahniah kepada pemenang2. bola sepak 5 sebelah, 5 minit plus 5 minit. paling patut diangkat ibu jari. ada pasukan MU, MC, tapang FC, tornado dll. hingga 8 pasukan secara kalah mati. banyak kalah tapi takder yang mati. ayah wi sampai 2 kali kuyup baju-t pagodanya! berpeluh hang! sayangnya waktu main takder mikrofon untuk ayah di jadi pengulas, kalu tidak boleh kalah mati hasbullah awang tu...gamat sengoti.

ada acara tiup belon untuk kanak2 bilis (solo), baling belon untuk kanak2 berbulu (berduet) suami-isteri, ada berebut kerusi kanak under 12, ada berebut kerusi under 55th para isteri jemputan, ada hadiah lumayan disediakan.

Ayah di dan ayah ziz beberapa kali dipanggil untuk bermain bola, tapi sayangnya hanya diuntukkan sebagai pemain rizab. tapi semangat tetap kuat walaupun sebagai pemain simpanan. panjang umur tahun depan kita buat lagi. lawan tetap lawan.

Semua ok lah.. apa2 pun kalau sengaja nak cari kelemahan memang ader. tapi kecil benar. untuk meremehkan memang takdak langsung. untuk memuji:
- aturcara. ada kelas juga untuk mengendali kehadiran dan penyertaan lebih 120 ahli tu. secara santainya.... kita telah berjaya.
- kawalan. kita puji leftenan muhaimin. dikejutnya dari tidur 5.30 pagi untuk solat. jasa besar tu...
- sesi taaruf yang meriah dan mengenali warih-warah jauh dekat..ucapan2 ringkas yang mengesankan, segar, lucu dan tidak kurang yg menggores hati...kata2 ayah ni prof madya tu boleh amat dijadikan panduan..
- pakcik rahim cik dah dengan maklumat misteri pulau bawaen vs hj rahim kakyah.
- pakcik rahim dengan tazkirah pasca-solat subuh. markah A.. menjadi panduan: sekali2 berziarahlah di bumi Tuhan dan memerhati kehidupan sekeliling kita. utamakan...pastinya menziarahi Allah lebih dari itu. ambil pesanan pakcik rahim ini!
- kita boleh kenal telatah2 mesra dan menggelikan hati beberapa ahli kita, jadikan kenangan dan modal bualan di rumah masing2 nanti.
- sukan bola 5 sebelah patut ada hadiah istimewa buat 'tandukan heading' akh fawwaz. jamil jiddan..
- penyediaan makanan..salute. beres. gulai kambing memuaskan.
- peserta2 mandi laut boleh kutip remis...sedap tu digoreng sikit pedas mesti xcukup punyer.
....... cuba orang lain pulak buat ulasan.

- Majlis 'tadarrus al-Quran' 30 juz adalah acara kemuncak permukiman malam tu, amat membanggakan sebab disertai segenap lapisan anak-cucu almarhum &almarhumah ayah, dan mak; moga amalan kita diterima Allah sebagai amalan soleh dan berpahala buat mereka, insya Allah .
ayah wi sebagai penggerak utama majlis permukiman kali pertama ini memberi kredit 7/10. ayah di sebagai guru sekolah yang pemurah markah beri hanya 8.5/10. alhamdulillah..
> kepada ahli2 yang baru kawin..tahniah dan selamat berada di alam rumahtangga dan jagalah rumahtangga itu jangan jadi..rumah ke lain..tangga ke lain. harmonikan.
> abang abdulrahman @ zahari kak sah menjemput semua ke kenduri watbaliknatu pada yaumuljum'ah hariraya ke 6.. insyaAllah makan lagiii.

Semoga kita semua afiat sejahtera terutama ma dan beberapa lagi yang keuzuran. semua kita diampuni diramati... dan bagi mereka yang telah pergi meninggalkan kita beroleh rahmat dan keampunan Allah berganda demi doa anak-cucu semua. baarakalLahu li walakum...wassalam.

Saturday, October 3, 2009

Hari Raya 'Eidul Fitri Adalah Fitrah Penyatuan Dalam Islam.


Antara anjuran sunnah Rasulullah S.A.W. bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah dengan bertakbir...jadi, marilah kita bertakbir di hari kemenangan:


Maksud:

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) sebanyak-banyaknya, Maha Suci Allah pagi dan petang.”

“Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan kafir.”

“Tiada tuhan melainkan Allah yang Esa yang benar janji-Nya, yang menolong hamba-Nya, yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin) dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya.”

“Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar, Allah yang Maha Besar dan milik Allah-lah segala puji-pujian.”


Sebelum solat sunat Eidulfitri sempat juga aku menjadi sheikh melafas takbir raya beberapa kali. Selalunya sebelum solat didirikan, aku ulang sebutkan kaifiat solat raya yang sikit berbeza dengan solat sunat lain. Tujuan ulang bagitahu ini ialah sebagai ingatan kembali kepada makmum, mungkin ada yang lupa akan solat yang hanya dua kali setahun ini. Lagipun setiap kali raya sudah tentu adalah budak-budak baru yang mahu belajar kaedah solat raya tu.

Tepat 8.30 pagi solat didirikan, anakku Abdul Hakim Adli menjadi imam; abangnya Ahmad Farhan Shah menjadi khatibnya. Aku makmum yang uzur ni di saf tepi, solat sambil duduk. Ada jamuan nasi sekadarnya selepas solat.

Hukum solat raya adalah sunat muakkad. Bagi kaum wanita yang haid juga disunatkan hadir berkumpul di sekitar masjid atau di surau bagi meriahkan suasana raya, walaupun mereka 'tidak boleh' dirikan solat itu. Kita dapat bertemu sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Inilah konsep 1Islam. Satu Islam, ukhwah dan rahmah.

Selepas solat kami ke perkuburan berdekatan. Berziarah, baca al-Quran dan doa maghfirah. Di sini kami bertemu lagi dengan orang-orang lain yang dikenali atau tidak, sama-sama berziarah. Selain makam-makam nenek moyangku, di sini juga makam ayahku Hj Muhammad bin Hj Awang (wafat 31.12.2008) dan mak Hjh Wan Mariam bt Hj Wan Ismail (wafat 13 Mac 2004). Semoga Allah mengampuni dan merahmati kedua mereka. Amiin.