Sunday, October 25, 2009

PUSPA Lancarkan Buku Antologi BISIKAN 7


Saya menerima SMS dari sdr Abham TR Ketua 1 Persatuan Seniman & Penulis Kelantan (PUSPA) mencatatkan: Assalamualaikum, tuan dijemput ke majlis pelancaran BISIKAN 7 jam 9.00 pagi 24 Okt di Institut Dakwah Islamiah PERKIM Pengkalan Chepa bersebelahan Institut Latihan Perindustrian (ILP). Abham. Sudah tentu sdr Abham TR, sahabat saya Dr Hj AbdulAziz Hj Mahmood itu menjemput saya ke majlis tersebut.

Memang saya tidak keberatan untuk hadir, lama benar saya tidak ceburi majlis sebegini; tambah lagi pada buku kumpulan sajak 'Bisikan 7' ada sajak saya dan sajak anak saudara saya Ahmad Faris Naqiuddin yang ikut berjinak dengan sajak. Pagi itu jam 9.00 saya ke Dewan Perkim Kelantan menyertai majlis itu dan memang ramai ketemui teman-teman penulis Kelantan antaranya Norhisham Mustafa, Nawawee Mohammed, AbdulHadi Yusoff, Wadi Leta S.A, Leo AWS, Merah Azmi, Mazli Husma, AbdulRazak @ Razeki Othman, Mariam Awang Lah, Zulkifli Md Zin Ketua 2, Rogayah Abbas s/u PUSPA, Kartunis Rossem, Nassury Ibrahim (selaku pengulas antologi Bisikan 7) dan lain-lain.

Banyak pesertanya adalah para penuntut Perkim sudah tentu para muallaf muda dari pelbagai bangsa. Majlis pelancaran buku Bisikan 7 PUSPA selamat disempurnakan oleh YBerbahagia Timbalan Pengarah Perkim Negeri. Setelah pelancaran, beberapa 2-3 orang membaca sajak di pentas dan sdr Nassury Ibrahim kemudiannya mengulas buku itu. Tetapi sayang, hampir 3/4 masa itu, sdr Nasurry berceramah ' ciri-ciri puisi, cara menulis sajak dan galakan menulis sajak'. Beliau tidak banyak fokuskan kepada isi Bisikan 7 itu.

Saya mohon berundur awal 11.30 pagi kerana ada urusan lain, namun sempat juga berborak ringkas dengan Abham TR, Mariam Awang Lah (isteri AbdulHadi Yusoff) dan sdr Rossem. Saya tinggalkan 30 buku sajak Negeri Di Bawah Bulan kepada urusetia mohon sokongan dari sesiapa yang berminat.

Keesokannya saya menelefon sdr Leo AWS bertanya kabar tentang majlis PUSPA. Katanya dia juga balik awal kerana mahu ke Kuala Krai. Sempat diberitahunya perihal dua sajak Merah Azmi dalam kumpulan Bisikan 7 itu Jitra-Pagi Di Kedah dan Puisi Infogaleri Sungai Golok Tengku Anis adalah milik Leo AWS. Sajak-sajak lama beliau itu pernah diberi kepada sdr Merah Azmi buat tatapan tetapi begitu pulak jadinya. Sdr Abham juga memberitahu dan mohon maaf atas insiden Leo AWS vs Merah Azmi itu.

Dua hari kemudian sdr Leo AWS datang ke rumah saya menjelaskan tentang hal tersebut. Itulah antara karenah dalam bidang penulisan ini. Beliau juga ikut memperihalkan sedikit salah faham antara dia dengan sdr Marsli NO tentang artikel / ulasan buku puisi Leo yang pernah menjadi polimik kecil mereka berdua.

Apa pun tahniah buat buat sdr Abham TR dan PUSPAnya kerana berjaya menerbitkan BISIKAN 7 dan melancarkannya di Dewan Perkim Kelantan.




No comments:

Post a Comment