Sunday, November 1, 2009

BARU PUAS HATIKU Buku Leo AWS Yang Ke 19 !

Tahniah dan terima kasih juga buat Leo AWS kerana buku barunya Barulah Puas Hatiku (PDP 2009). Buku baru beliau ini merupakan satu antologi rencana/album selenggaraan sendiri berkaitan kreatifnya dan ulasan terhadap buku-buku puisi beliau berjumlah 18 buah itu. Leo AWS adalah manusia penulis/penyair yang paling rajin menerbitkan sendiri buku kumpulan sajak, melintasi rekod penyair veteran Suhaimi Haji Muhammad.

Sudah tentu Leo AWS sangat berani mengorbankan kos yang bukan sedikit untuk mengumpul hasil kreatifnya di samping bertujuan memenuhkan hasrat beliau mengisi arkib kesusasteraan Malaysia khasnya, Nusantara amnya. Beliau mendapat ilham, beliau mencatat, beliau sendiri mengumpul, berulang-alik ke percetakan, menerbit dan mengedarkan sendiri kepada khalayak yang semakin kurang meminati bidang pembacaan sastera apatah lagi bidang persajakan.

Usaha sdr Leo AWS tidak mengharapkan untung ringgit. Buku-buku sajak tidak seperti novel. Ia tidak punya nilai komersial sebab itulah kebanyakan penulis sajak/puisi sangat mengharapkan badan-badan tertentu membantu mereka menyalurkan kreativiti dan memasarkan buku-buku kumpulan sajak itu.

Bagi Leo AWS dan para penulis lain juga akan berasa puas hati apabila dapat menerbitkan hasil-hasil karya mereka sambil menunggu reaksi dari para pengulas atau rakan penulis. Memang wajar sdr Leo AWS meluahkan perasaan beliau pada buku ke 19 beliau itu, seolah-olah kini kita terdengar sdr Leo berbisik 'BARU PUAS HATIKU'. Kepuasan sengoti bagi seorang Leo!

No comments:

Post a Comment