Saturday, April 23, 2016

INGAT INGATAN DI KOTA KAMI

Kota Bharu tanahnya rata
Kota biasa basah hujung tahun
Kota banjir, lebat hujannya turun

Tambatan D’raja, sungai mengalir,
Tiada lagi rumah-rumah rakit
Tiada lama hati-hati yang sakit

Pangkalan bot dulunya hilir mudik
Palekbang Kampung Laut bertebing tinggi
Masjid lagendanya kini di Nilam Puri

Padang Merdeka terpacang tugu
Tiang bendera diapit meriam perang
Ada Muzium Perang di bank kerapu  

Dahulu ada merdu tarhim saban subuh
Suara bacaan al-Quran qari muazzin
Masjid Al Muhammadi menyeru muslimin

Makmum berduyun menyahut seruan
Tua muda lelaki wanita jauh dekat
Tinggalkan keduniaan menunai ibadat

Istana Balai Besar mercu istiadat
Istana Jahar cantiknya dihias daulat
Istana Cemerlang gahnya berserikan adat

Jangan lupa Taman Sekebun Bunga
Berbagai hidangan membantu selera
Di Padang Lido pertemukan teruna dara

Kini tersergam hotel dan gudang-gudang
Di pusat bandar ‘market’ Siti Khadijah
Barangan tempatan, mudah dan murah

Stadium Sultan Muhammad ke 4
Kedai keliling, tempat duduk bertingkat
Sejarah bergemuruh ucapan, sorak peminat

Tersedia Muzium Negeri, Balai Kraftangan
Bazaar Tok Guru dekat perpustakaan
Menggamit rindu anak-anak di perantauan.

15 Jun 2014.

SALAM MANIS & CINTA JATUH DI PULAU

Salam Manis

1989 dahulu
kucatat sebuah sajak
buat kak wan datin seri
agar bersabar...

2014 ini,
dalam ramadhan
gaza kita diserang
yang jatuh mh17
yang tetap menguap

TAHNIAH kuucap
semoga kak wan dirahmati
kerja buat diberkati.

-Zunodeng
11j2014



Cinta Jatuh Di PulauI

Sebongkah pulau
begitu jauh
sendiri terasing
sanggul langit
terburai
ada mendung
tidak jadi gugur
ada ghurur
menyelinap senyap
bakau daratan
menghijau
membelai sampai.

Langkawi,
batu-batu suram
entah kemana;
cinta-wangiku
jatuh di pulau,
namun helangmu
perlahan melayah
memecah kabur
mengukir lagenda.

18 Dis 2010
Kuala Perlis.

Image result for wan azizah wan ismail

BUKAN BEGITU PAYAH


Tidak bagitu sukar
untuk kau tahu, ianya.
amat senang difahami
amat mudah dijangka
mana garis betul
dan apa kerja salah
kerja bodoh –
buang masa

Ini kerja salah
lagi bodoh
hinggakan musuh
malas ambil kira
gagal ambil peduli.

Hukum telah teruji
memikul biawak hidup
membiar badak berendam;
nyamuk aedes terus membiak
terbiar marhein pilu dan buram

Sekelip mata hutang negara terus memanjat
Dalam sekelip mata simpanan merosot di kocek
Dalam sekelip mata harga makanan ikut melonjak.
Dalam sekelip mata ideamu telah memiskin rakyat
Dalam sekelip mata banyak lembaga jabatan diinjak
dalam usaha menyelamat dirimu dituduh khianat.

22 April 2016
Tapanji.

 

Saturday, April 16, 2016

puisi TIDAK BANYAK KABAR

TIDAK BANYAK KABAR

Tiada apa yang aneh
selain kabar keuzuran
biasaku hingga dibawa
ke wad malam;
diluar ada bahasa asing
menerjah kamar sebelah
unit rawatan rapi itu
menjadi kamar sunyiku

Bersama kesit tiada mimpi
selain gumpalan insaf,
tidakpun kupandang
awan menghias angkasa
biru saujana dan suhu 
suam mentari menghaba

Pagi tengahari petang
senja kelam dinihari
adalah sama di pelantar 
kamar katil yang serupa
perawat ubat dan jarum
adalah teman setia
menghurung orang-orang
bimbang ragu sepertiku
sesekali mendetak pilu 
memuncak ragam
puas mengira detik
belas mengenang nasib

Tidak banyak kabar
selain perempuan setia itu
menjengah waktu lawatan
dia memang merawat
dengan cinta kasih abadinya
aku menumpang prihatinnya
tidak berbalas harta
hanya rasa cinta kasih jua
membelai genap bahagia
Sukar berada jauh
menempah masa di Tanah Suci
sedari tiba menolak
kerusi roda merata,
tawaf saei tahallul
dari beranda mimpi
ke ruang jaga
kami menghimpun rasa
ada jasa tinggi dimiliknya,
namun pasti ada cinta
kasih-Nya berbekas kurnia
untukku syukuri
sepanjang usia.   

Feb 2014,
King Faisal Hospt.



Monday, April 11, 2016

Dari Arkib Sendiri: CATATAN DHARMALA NS

CATATAN DHARMALA NS: Abdul Hadi Mesej Merakyatkan Puisi.



Tak hairanlah minggu lalu (31 Oktober 2008) penyair Abdulhadi Muhammad dari Kota Bharu mengirimkan antologi puisinya ‘Negeri Di Bawah Bulan’ terbitan Pustaka Dewan Puisi (PDP) Kota Bharu. Memuatkan 75 buah puisi, antologi perseorangan Abdulhadi memang memperlihatkan keberangan insaniah terhadap kebobrokan yang berterusan menimpa golongan prolitar. Malah puisi pertama Abdulhadi sudah lantang mengungkapkan: Dukacita permohonan itu ditolak, jam petang/Seperti selalu mentari memberi laluan/Masyarakat katak lebih bersatu meminta/Kaum tani lama menadah sawah kemarau/Mereka tanah,/Maaf (Dewan Sastera, Februari 1986). Keberangan juga mendorong Abdulhadi menghasil antologi berkenaan, dengan perlu menunggu kawan-kawan menampilkan antologi berkumpulan.                                 

Bagaimanapun keberangan berpuisi tak sama dengan kumpulan yang digerakkan secara terancang seperti keperihalan menyembahkan memorandum ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak di Kuala Kangsar yang dilaporkan media hari ini (6 November 2008). Pimpinan kumpulan terbabit di kalangan individu berpengaruh yang mampu untuk melestarikan kekebalan kuasa menangani isu yang dibangkitkan dengan tak perlulah membazir idea menyembahkan memorandum kepada DYMM Sultan Perak hingga ke Istana Kuala Kangsar. Apalagi isu Bahasa Melayu alangkah baiknya telefon sahaja menteri UMNO sama ada mahu dilaksanakan atau sebaliknya! Kalau sengaja mahukan naratif bersandiwara dengan merangka liputan di media, lainlah!


Saturday, April 9, 2016

MENZIARAH BLOG INI DAN 'BERTEMU' RAKAN-RAKAN YANG TELAH PERGI

Lama benar saya tidak menjenguk blog kesayangan ini. Entah mengapa. Barangkali sebab doklayan Face book atau Whatsapp. Namun blog Keroncong Dari Ana saya lebih suka mengisi perkara berkaitan puisi / alam persajakan dan sewaktu dengannya. Masa juga menjadi semakin sempit untuk hadir ke blog ini.

Pagi ini saya terasa nak intai Keroncong Dari Ana, tiba-tiba terpandang pautan ke blog almarhum penyair kesayangan Rahimidin Zahari yang telah mendahului kita kembali ke rahmat Allah. Sudah hampir setahun 15 May 2015, tahun lalu.

Saya ziarah blog almarhum PERJALANAN SALIK dan bertemu catatan beliau bertarikh Jumaat 13 Mac 2015; genap dua bulan sebelum beliau pergi. Ada foto almarhum bersama dua lagi rakan kita yang telah juga kembali ke rahmat Allah sebelum sdr Rahimidin Zahari. اللهم اغفرلهم وارحمهم dan ada catatan terakhirnya di situ.

Saya perturunkan ...copy dn pastekan di Keroncong Dari Ana semoga kita dapat mengenang almarhum di samping mendoakan keampunan dan rahmat Allah buatnya...

Friday, March 13, 2015

KAMI BERTIGA

Saya, Allahyarham Wan Yusoff Hasan dan Allahyarham Hj Wan Alimi Wan Mahmood

Singgah di Surau Muhajirin, Taman Selasih 2 dan seterusnya ke Raudhah As Syakinah mengiringi buat terakhir kali sahabat kami yang berpulang malam tadi. Menatap fotonya ini menjadikan mata saya berkaca, bahawa kami pernah sangat akrab dan kedua-duanya telah berpulang. Haji Alimi, pada tahun 1987 membawa saya ke konti RTM Kota Bharu untuk membuat rakaman sudut sastera yang beliau sebagai penerbitnya. Saya diminta mendeklamasi dua puisi dan sebuah rencana sastera oleh Rosli K,. Matari tentang buku saya "Lakaran Kampung" juga disiarkan bersama untuk rancangan itu. Kami pernah kari Kota Bharu - saya, Cikgu Ilmin Abdullah, allahyarham Mustafa Jusoh dan Haji Alimi menuju ke Fraser Hill untuk Bengkel Penulisan Skrip Drama Pentas di sana. Saya mabuk kereta, dan sebelum naik ke Fraser, kereta terpaksa dihentikan di tepi jalan. Dan dialah yang mengurut belakang saya.  Allah, ampunlah hamba-Mu yang lemah dan penuh dengan kekhilafan ini. Al-fatihah.