Wednesday, December 28, 2016

Sajak ABDULHADI MUHAMAD dalam antologi BAH KUNING (DBP 2015)

LAPORAN CUACA SUT TAHUN

Ini laporan iklim
tanah air kita hujung tahun
ribut kuat dari timur laut
mengusir kemarau
menghalau bayang
berkirim gobar dan mendung
para nelayan menyukat
hala angin
olak gelombang

Disember
bulan dua belas
sering tiba hujan keras
merimas melemas
dari hulu negeri
menghilir membasah
mengilir meresah
jelata desa
rakyat kota

Adalah sedikit protes
alam, khabarnya para hamba
lupa bersyukur
sebelum ditegur
bencana beramaran
hujan tidaklah lebat,tetapi
bah kuning tiba cepat
memanjat serata
miskin atau kaya

Air pasang di Gua Musang
siapa berkabung di Dabung
derita berderai di Manik Urai
bimbang terburai di Kuala Krai
daerah-daerah kita
melaut merata
tanpa guruh, namun geruh datang
tanpa sedar, namun sesak memugar
perbukitan ke muara
terkikis ceria dan prasarana

Rabbi, amaran-Mu amat menduga
hati ini tetap mahu kembali
serba ampunan dari-Mu
maha silapnya hamba
diralitkan lupa kepada-Mu.

10 Januari 2015.










 

Monday, December 26, 2016

Sajak-sajak ABDULHADI MUHAMAD Dalam Antologi SEMPADAN ABADI (PPK 1999)

SAJAK ORANG HUMALANAS

Sewenangnya kau menyiksa menyeret
diamku dengan serampang tajam.Kegundahan 
asing itu amat melara dan terbuku tidak
tentu punca. Kakimu bergegas meninggalkan
rusuh yang lam kita tanggung

Akankah kau tutup negeri ini dengan kabut
tanpa angin dari tanah besar menghalau
gusar. Akankah kautinggalkan daerah
membesar in, sedang kami merangkak
memintas angan-angan dari satu arah
ke satu arah lain; dari waktu ke waktu
lain

Baiknya kita musnahkan kisah-kisah luka
agar tidak terkenang zaman lama lampau.

Kelantan DN.













PUISI DI KEDAI ROTI

Mewahnya Tuan Bakery di kaunter
ramah perempuan mengunjuk pesanan
bau yang manis dan lemak
lemari kaca telus cahaya
utuh mempamer bungkusan
koko teh dan kopi berjenama
jem serikaya dan mentega

Di satu penjuru rakusnya api
ban pembakar roti terbaru
di kakilima si kurap menolak
tong sarat roti buangan
hangat ban dan si kurap itu
simpati teringatkan Somalia
ususbya tandus melilit jantungku.

Kota Bharu,
Kelantan DN.













DIKIR MESRA ANAK BUAH

1
Katanya asal di sini
perkebunan datuk ayah kami
bukan dusun raja mahsul negeri
cuma rimba kelam hutan berduri

Dua bersaudara menyelusuri aman
sewaktu laskar Siam jenuh berburu
hati-hati berani mula berkeliaran
seratus setengah tahun berlalu

Sungguh diseret semula salsilah
ceritanya kita disingkir sejarah
keturunan pemberani Kembayat Negara
campuran Islam Tanah Arabia

Memasuki Pattani bumi serba keramat
berguru melulu mengutip ilmu berkat
mengenal seteru mencela penjajahan
lalu bergopoh memindahkan tujuan.

2
Memilih daerah ini -
menebang tebas bentuk kampung
haluan hidup berlanjut kembali
tumbuh berkeluarga damai berlingkung

Bertanam sayur membesar serata
anak-anak buah menggauli kehidupan
sesenang sesusah diaalami bersama
rezeki bertambah menyara kemesraan

Sungguh bererti menyempurnakan kehendak
menyusur balik detik-detik silam
betapa harmoninya jantung berdetak
mengimbas sejahtera podok halaman

Merantau jauh ke pelosok tanah air
terbang si bangau menjelajah daratan
sesekali bersuaka mengunyah getir
di belakang kerbau tiada tinggalkan.

Kg. Belukar Pauh.

Sajak ABDULHADI MUHAMAD dalam GEMA MEMBELAH GEMA 4 Sempena Hari Puisi Kuantan.

Kesinian Ini Berbekalkan Risau Dan Rawan

bisu jalan stesyen
gadis-gadis langsing ke pasar malam
jam di muka jambatan lewat kaku
antara taat neon senja
tanpa bayang

kesinian ini, kelang
mengucup gadis geraimu yang ramah
gelisah menawar senyum santun
menarik murah pura dan benar
segenggam bunga seroja

terima kasih malam ini
kamar kelam membuka mimpi
yang kubawa kemauan dan keengganan
seorang manusiaku

selamat malam gadis tionghua
di pinggir panggung
menatap doa kosong pada keramat dan patung
lelaki tua penjaganya, sedang
tadi di sini gadis lain meggubah maki
ke kaki sekitarnya yang luas matang

selamat malam kota jambatan
bagaimana harus kutafsirkan
seekor sajakku yang terbenam
di lubuk keruh kalimu
untuk kulamar kembali kampung jawa
dengan percakapan yang lama 
kemudian bagai lelaki rawan
kutinggalmu ke pangkalan baru
berbekal risau dan sebu.

kelang, april 1976




Tuesday, December 20, 2016

EXODUS HINGGA SYAWAL


Telingkah senjata campurtangan pelbagai pihak antarabangsa giat berlangsung di Syria @ Syam (kota dagang Muhammad s.a.w kecil musafir niaga) @ ibukota Damsyik, monarki Bani Umayah bermula!

Bertahun rusuh yang tumbuh bercabang sejak protes kebangkitan Arab duapuluh sebelas, lebat asap ke angkasa; punca tempik dan protes bejat Bashar putera Hafiz al-Assad di istana: sang penguasa mesti undur.  
    
Suhu memanas nafsu perang; pemerintah longgarkan perikatan dan lima kelompok thurah Arab. Tiba-tiba menyambut bantuan tunjuk ajar, hulur kos dari wira asing menempah aneka arah labelan kuasa perang proksi negara besar atas angin.

Regim tadbir merubah dan majukan ekonomi. Reformasi hangat diperburuk situasi jurang rezeki, kemelesetan serta kemiskinan; rakyat ikut terpinga membaling cangkuk tanda soal.

Maka galak cendawan beracun untuk Assad dan regim. subur pembantaian, kezaliman dan berdarah. Mereka melalok memangsakan awam beriman. Berlaku exodus langkaui sempadan darat bumi kaum kuffar Eropah, lalui Mediteranean dan nyawa kian berat terancam.

Februari 2016               ABDULHADI MUHAMAD


Dua Sajak ABDULHADI MUHAMAD Yang Pernah Tersiar Dewan Sastera dan Akhbar Watan




EXODUS RAMADAN 1415

Entah kali keberapa
negara kuasa besar itu
mengaju pakej damai terakhir
menamatkan telingkah lama Bosnia

Sloban Milosevic – si perencana Serbia
gemar menolak tawaran, langkah menghalang
sekatan PBB, perjanjian tetap tidak betah dimetrai.

Entah siapa mendesak siapa
tembakan berletusan mencanai kengerian
jam pagi Sarajevo, talu-talu bedilan lagi
meruntun selatan Velika Kladusa.

Lebih seribu letupan mengepung sepi
lalilatulqadar ramadan musim ini
para syuhada mencapai kurnia syahid
pertempuran lebih seribu bulan.
Demi, tembakan terdekat tadi
memaksa mereka mati
sebelum bertolak ke pedalaman Coralici.

1.3.1995
Dewan Sastera, Mei 1996



DI SELA-SELA LALU LALANG

bagaimanapun, suatu hari cerah
mentari dan lentera di tangan
                     tiada bayang bergerak atau
                     angan-angan pun bersembunyi
kita masih mengintai manusia
terbaik itu pada lalu lalang
                    dengan janggut tidak terkawal
                    pakaian lusuh berkaki ayam
kita masih tercari-cari siapa
bermahkota itu pada gang-gang
                    didalam sukar ada ketenangan
                    dipuncak akal ada keanehan
lihat, iskandar yang agung itu
tiba menawarkan semangkukpuji
                     kelembutan, kita larang iskandar
                     berdiri menabirkan fajar pagi
kalau kau bukan iskandar,enyahlah
kami lebih rela menjejaki diognesis!
                     
Januari 1990
Watan, 25 Jun 1990

 

Wednesday, December 14, 2016

Sajak Rakan WADI LETA S.A

LELAKI TUA DAN BERPENYAKIT

Setelah dirinya dituakan oleh usia
dan diuzurkan pula oleh penyakit
lelaki itu seringkali berpindah
dari rumah derita ke hospital sengsara

Semasa terlantar di rumah
dia disuapkan kasih sayang
oleh isterinya yang sabar
semasa terlantar di hospital
dia disuntik ubat dan rawatan kemanusiaan
oleh juru rawat dan doktor pakar

Sudah bertahun-tahun
tubuhnya lumpuh, hatinya luluh
sudah bertahun-tahun
dia menyimpan impian untuk sembuh

Pada suatu subuh
sedang azan berkumandang oleh mua'azin
tercabutlah nyawa dan roh
dari jasad lelaki itu
maka berakhirlah penderitaanya di dunia
yang pernah dialami bersama
oleh isterinya. jururawat dan doktor

Kesabaran isterinya teruji lagi oleh kematian
sementara kepakaran jururawat dan doktor
telah dibatskan oleh kekuasaan Allah.

WADI LETA S.A
Kota Bharu, Kelantan.


Tuesday, December 13, 2016

Sajak ABDULHADI MUHAMAD pada Sanggar sastera Berita Minggu 11.12.2016

DERU OMBAK

Langsung dari Tanjung Api
Alur Akar atau bandar
perumahan sekitar
selamat bertamu
ke Telok Chempedak

Pantai ombak
memukul batu di tepian
ada keindahan sendiri
ada keramaian di sini
sehari minggu, musim cuti
bermandi angin, camar
lagi merendah menceria
pemandangan siang

Bukit Pelindung 
Bukit Teruntum
mengepung laut membentuk 
pantai Telok Chempedak
ombak rajin menghempas
bersiulan deru tanpa
henti dan puas

Antara mutiara
lingkaran kalung negara
antara anugerah-Nya
tanpa tara, Telok Chempedak
punya warna-warni dan
ragam seloka
Mari pastikan kesucian
dan bersih terpelihara.

Kota Bharu, Kelantan.


Sajak ABDULHADI MUHAMAD pada Majalah DEWAN SASTERA Oktober 2016


NOKTAH KECIL

Senja turunkan hujan
siang menyusup kemana

Singgahan sebentar ini
bagai koma pada catatan

Pangkalan beradu kita
telah tertinggal pecah

Noktah kecil di hujung
menyekat dan mengepung.

Kampus Salik KB
7 Ramadhan.

Sunday, November 13, 2016

Sajak ABDULHADI MUHAMAD dalam antologi Puisi dan Karikatur BAHASA LAKARAN ( ppk, pERADABAN 2015)

MENILIK DIRI

Tidak pernah dia menemui Tuhannya
setelah menilik diri sendiri. Tidak pernah
dia kenal selain jasad sihat kuat

Dia tahu kacak dan tampannya atasi
serigala. Mindanya pintar dan kekar
tahu memujuk tahu mencabar

Tetapi hingga hujung Sya'ban ini
dia masih juling memilih pahala atau dosa
masih telor berzikir, tetap janggal berdoa

Malang benar. Cerminnya malap kelabu
lutcahaya dan bingkai semakin lusuh
lantai di telapaknya meretak rapuh.

Sya'ban 1432H
Tapanji, Kota Bharu.

Thursday, November 10, 2016

Sajak ABDULHADI MUHAMAD tersiar BERITA MINGGU `16 Julai 1995 dan Hal 19 pada Atar 1000 Bunga (DBP 2012)



NEGARA MEDAN BERBUNGA


iklim itu berlalu menyingkir ancaman
dan gerah. berjejer catatan meningkah minda
kita tabur benih lagi basah. Bunga permata
adukan kasih setia
kita suburkan hasrat bertunas lama
kisah terpendam disental angin penjarah

alamku menunjang dari sulur benua
semenanjung Emas melambai tumpuan
tanah jantung mendetak pandangan
medan berbunga menarik naluri
ruang terbuka memakna peribadi

ukurlah jarak cinta di sini
menyita segala keluh dan mimpi
hijau sekitar biru langit dijunjung
wangi kuntuman mekar di laman damai
akurlah semarak kasih di sini
menyatakan serba indah berseri
tulus hati sopan adat disanjung
santun rumpunan segar mengisi permai

kita kitari segenap segi sempadan
kita sirami bumi dengan lembut embun
bunga-bunga nanti kerap berkembang
lagi murni pohon-pohon doa merimbun

negara ini medan mewah berbunga
restu peradaban mengukuh luhur budi
taman cantik menyambut tatapan
berpagar padu sedia menangkis cita-cita
berpaksi tetap menampuk kelopak rasa
riang unggas serangga menumpang tuah
di ladang tanahair menikmati anugerah

nyaman dan harum menyerbak suasana
menuntut bakti anak-anak kelahiran
sanggup mati berlapik dada
menuntut korban melenyap angkara

Kota Bharu, 1415.                  
Berita Minggu 16.7.1995