Tuesday, January 30, 2018

Dua Sajak ABDULHADI MUHAMAD Tahun 2011




PINTU SEDIKIT TERBUKA

Pintu sedikit terbuka
tingkap tidak merapat
langsir sesekali berkibas

Mengatur kesan tapak
hari-hari kian menguap
kabur tulisan pada surat

Tanpa acara keramat
ucap perpisahan, atau
tahniah berundur mendekat

Sudahi tugas sekerat
melunas tanggungjawab
akhir menjerih penat

Tanpa restu kesihatan
dia berundur sendirian,
mimpi berserakan di luar 

Tiba-tiba terharu habis,
dia sedar mengenang hayat
akan tertahan di garis penamat.

6 Ogos 2011.
Tapanji.
 













ALANGKAH

Alangkah perkasa langit
kurniakan awan, hujan, deru

Alangkah penyantun laut
mengatur pelangi, alun, bayu

Alangkah Maha Pemurah
menerima taubat, tawakkal
           dan tadahan tanganku

Langit menghulur kaki
mendalil tanpa tara
laut mengindah bumi
membukti saujana.

Tuhan kami,
puja selayak Mulia-Mu
besarnya Kesultanan-Mu.                                         

29 Syawal 1432
Kampus Salik.







Saturday, January 27, 2018

TIGA SAJAK TAHUN 2011



BUKAN ORANG

Samar kelam
tentu tanpa bayang
masuki khayalan

Kilat puisi menjalar
bagai pantas ular emas
melakar langit taakulku

Bukan sembarangan
selain usik mengancam
naluri masih mendendam.

20 Ogos 2011.
Kampung Belukar.


LUDAH

Paling didendamnya 
buak celoparan itu,
wajah manis pura-pura

Guruh mendung
hujan tidak pernah jadi

Dijilat kembali ludahnya
pudar warna bunga-bungi

Kemana haruman hilang
munafikmu  menyata terang

Bila bicara sering berdusta
berjanji selalu mungkiri
amanah sering dikhianati.

7 Sept 2011


KEMARAU SEPTEMBER 

Bungkah awan
bergerak lembut
di hujung pandang
sembilan kemarau

Berselisih deru
angin ba’dal-‘asr
jalan lebuh ke utara
merentas bukit bergua

Kota kecil bahu negara
Kota D’raja menyambut
salam datang kami
bawa pelbagai citra

Bicara yang ketawa
loghat katamu tetap parau
berdekah bagai penjahat
dalam drama purba.

20 Sept 2011
Arau, Perlis.

Add caption

MENJADI WARGA EMAS


Menjadi warga emas
usia 60 melanjut serba
hampir lemah tiap anggota

Masa tetap mendatang
kini tahun-tahunku
terusung ke lembah tua

Kebelakangan diurut
saraf kulit dihurung kedut
lelah, lupa dan mudah terlena,

Tiada kicau margasatwa
kini geger enjin dan muzik
hilang jernih sungai dan wajah

Berkurang hijau dan berani
berkurang jiran kemesraan
terpokah adab hilang bahasa sopan

Menjadi warga emas
kian kaburkah memilih jalan
bangga bangsa atau pahala agama

Dahulu bermandi air perigi
dingin kepala segar jasmani, kini
air berklorin pun sukar walau dibayar  

Tingkap  rumah terbuka angin
tanpa langsir menutup susah,
tiada bala penagih memecah rumah

Jadilah warga emas
walau terpaksa semakin gusar
tngkatkan ibadah banyakkan istighfar.  

Kg Belukar.

25.6.2014

Friday, January 26, 2018

Dua Sajak al-marhum Sdr Ya Hamid dari Kumpulan ARRISALAH 1987


DI GUA HIRA

1
di Gua Hira'
turunnya sinar pertama
"iqra"

11
diapun menaburlah
benih-benih cinta
menyampaikan risalah

111
cahayanya menyinari ka'bah
kepala hubal pecah
mekah berdiri dengan megah

1V
gua hira'
di bukit cahaya itu
menempa sejarah baru.

19/3/85


MEKKAH

apabila cahaya Allah bergemerlapan
di wajah kota mekkah
padang gersang itupun membasah
ka'bah menyusun langkah
perut hubal dan teman-temannya pecah

apabila sinaran iqra' menyuluh pintu hati
gulungan mustadh'afin berdiri
berpegang teguh pada tali Allah
mereka sedia mati

abu jahal dan umayyah mengamuk
abu lahab menaburbenci
ummu jamil menyala api
ruh yasir dan sumayyah berterbangan
ke syurga
dalam bahagia

almustadh'afin bangkit
menyahut seruan bilal
dari puncak ka'bah
mekkah terlalu cerah.

6/4/85



Saturday, January 20, 2018

MENILIK DIRI (sajak beberapa tahun lalu)


Tidak pernah ditemuinya Tuhan,
walau puas menilik diri. Tidak pernah
dikenali selain jasad anggota sendiri 

Tahu tampan dan gahnya atasi
serigala. Mindanya pintar dan kekar
tahu memujuk tahu mencakar

Tetapi sampai sut Sya'ban ini
lagi juling dia akur pahala atau dosa
telor berzikir, tetap janggal berdoa

Malang benar. kacanya malap kelabu
lut cahaya dan bingkai kian lusuh;
lantai di telapaknya meretak rapuh.
 

Sya'ban 1432H
Tapanji. KBharu.