Thursday, May 21, 2009

Sajak-sajak Silam ke 8-9: Cintaku & Sama Merestuimu.

Cintaku
(untukmu benciku sayang)

aku cinta kepadamu, sayang
kerana kau di sini tujuh turunan
memiliki gedung ini
penuh ilmu ribuan tempayan

jelingan dari kejauhan
terserlah senyuman dari bibir delima
mencair seligi di dada, jadi
panas berselera

tarian senyum
di wajah ayumu
bikin semua muda ngilu terpinga
menelan liur air selera
dengki kau jelita raya

akan tetapi jangan marah
aku cemburu, dengki! jauh sekali
aku hanya mahu tempayanku
penuh isi, juta-juta nilai
mengerti engkau. cinta agungku!

kota bharu, kelantan.


Sama Merestuimu
(khas buatmu)

him:
aku, kami dan kolej
sentiasa menunggumu, menantimu
sepertimu.

him:
senyum, dekahku di sini...jauh
pun sama...juga jauh
akan berpadu di ambang kolej

lulus, diterima, masuk, berjumpa
bergaul mesra di sini
ini harapanmu kan?
begitu jua aku.

(aku menunggumu di ambang kolej
penuh harapan)


3 petang, 12 feb 1971
asrama koboi kik.

Sajak-sajak Silam ke 7: Cerita.

Cerita

di kota:
rodatiga tauke cina punya
dua kaki mengayuhnya
tubuh melidi di pelana
sekeping wajah tua
harapannya:
satu biniku sedang mendua
lima anakku memboyah kecacingan
kucingku sedang mengurap
perut-perut mereka mesti kusumbat

di desa:
gubuk senget di pinggir senja
menanti. menanti sahaja bininya
lima anaknya. kucing kurapnya
merintih tiada maya
suara mereka:
kita tunggu bapa balik. kita nanti
anak! milikilah kesabaran
kita bisa hidup lagi

semua:
bermandi peluh jerihlah mereka
bertungkus hasilnya bisa dibahagi dua
bersuara nada hiba. tanpa senikata
tukang rodatiga kebanjiran duka
mereka telanjangi hidup di muka:
tiada apa di bumi pijakan ini
hilang hak harapan bersama
sayap tiada untuk esok lusa
hanya percikan peluh dan nadi.

kota bharu,
22 ok 1970.

Sunday, May 17, 2009

diam-diamlah sukma beta

diam-diamlah sukma beta
usahlah anda lagi merindu
meski ribut belentara dada
merekah patah menimpa daku
Upload Pictures - Photo Sharing - Free Image Hosting

tenang-tenanglah jiwa kalbuku
usah tuan lagi celaru
meski orang keberatan merasa
dendam gelisah penaka aku

terang-teranglah lampu kamarku
usahlah dikau murung merajuk
meski kurnianya sama r kelabu
menimbang ambil selepas memujuk

datang-datanglah hati riaku
usahlah engkau haru menjauh
tinggal sepi daku begini
menunggu satu tiba mengeluh.

kamar hijau,
3 julai 1974.

-sajak dipetik dari kumpulan
underground kedua bertulis tangan-

Saturday, May 16, 2009

KU TEMUI SEMULA SAJAK-SAJAK AWALKU.

cintamanisf3
Selalunya bila bertemu dengan teman-teman penulis/penyair, bercakap-cakap dengan mereka; akan subur kembali semangat serta minat untuk berkarya lagi. Apatah lagi jika bertemu berbual-bual tentang bidang penulisan dan persajakan. Begitulah kedatangan sdr Nawawee Mohammad ke rumah saya baru-baru ini menyuburkan lagi perasaan mahu berkarya itu. Banyak perkara yang telah kami borakkan.

Terlanjur saya menyebut kepadanya bahawa sajak-sajak saya pernah memenangi peraduan peringkat persekolahan dulu, Nawawee terus bertanyakan tentang sajak-sajak itu. Beliau mencadangkan agar dicari semula dan diterbitkan sekurang-kurangnya pada laman blog saya sendiri agar ianya tidak hilang, menjadi kenangan lebih lama dan tersimpan baik. Ya memang banyak sajak-sajak underground saya itu. Ianya bertulis tangan agak rapi di dua buah buku tulis berkulit tebal.....

Penemuan dan penilikan semula sajak-sajak itu sudah tentu memberi satu macam perasaan buat diri saya. Perasaan malu kepada diri sendiri dan sedikit rasa kagum sebab dua buah buku catatan itu masih baik. Manakala sajak-sajak di dalamnya ber'ejaan lama' dan sebahagiannya ada sketsa! Pada kulit depan buku pertama tercatat nama ' DIWAN SERENADE'. Untuk salinan di sini saya perbaharui ejaan dan letak hurufnya.

Indah juga nama buku tu. Kalimah 'Diwan' (bah Arab) bererti kumpulan syair /puisi manakala kalimah 'Serenade' dalam dictionary mencatatkan ' a song or piece of music performed at night esecially outside the house of someone you love' (serenate). Bagi saya waktu itu, memilih nama tersebut adalah sempena sajak-sajak sentimental saya yang terkumpul! Nah ni dia:


Kami Pelajar Agama

kami pelajar agama
berteduh dipayungi Islam
ikut jejak Muhammad
rasul kami
juga syariat Tuhan
walau baru setapak kami melangkah
kami tidak bisa berpaling
akan maju... maju
sampai ke tampuk cita-cita
lantaran bangsa
juga agama tercinta
agar jangan goyah
meski masyarakat mencemuh
'kamu pelajar agama tak berguna'
oh! persetan itu semu
persetankan..!! sampai kujur.
tegakkan panji cita mulia
nan luhur itu.

25 april 1970,
Lisan Tullab Maahad Muhammadi.


Malam Bulan Terang

malam bulan terang
sejuk bayu malam
tampak gadis berlenggang
berpimpin tangan.
di malam bulan terang
tiada bintang meneman
aku tinggal seorang
termenung sendirian
mengenang masa silam
diri nan malang
bercinta dari perkenalan
akhir putus di tengah jalan
membawaku sejuta sesalan.

12.20 /14 jun 1970
kampung tapang.


Pertemuan Kita

demi pertemuankita itu waktu
demi renungan matamu
memanah tajam lubuk kalbuku
senyuman bibirmu lunak manis
hatiku berkocak
jiwaku bergegar
dan...
iman di dadaku bergoncang
ya! demi
renungan matamu penuh gemilang
melumpuh mendenyut debar
segala hati dan jiwaku,
tertusuk rapat ke jantungku.
mati semangat hilang upayaku
akhirnya....
ku tak silu bicara denganmu
(aku dengan rela menyahut seruan sucimu).

20 julai 1970
kampung tapang.


Pesta Malam

ku hadiri pesta
dalam mimpi paling nyata
menonton orkestra muzik usang
bernyanyi berdansa lagu sayup panjang
penagih jahil bersila di pasir
puteri jemari membuntut tarian si setan tua
sedang dia sakit masih.
menarilah bersama malam
agah setan tua
berlagulah senandung dewa-dewa
seringai ketua orkestra
penuh gaya paling gila.
puteri dilacuri noda
hatinya pecah
matanya rekah
rebah
tuhan tiada di kepala.
manusia mangsa setan tua
bersama bernyanyi
ria bersila. ternoda pesta budaya
hati mereka bernanah
mata mereka buta
derhaka
tuhan sudah tiada
malaikat catat dosa
dalam kepala
dalam kepala
malam kian tua...

12 ogos 1970
kg mentera.


Tekad

bara api itu genggamlah
biar panas menggigit tapak tanganmu
atau hangus pun
azam gigih nyalakan
gegarkan tangan nubarimu
dabekkan dada
meski kau perit pedih
cahaya mentari masih bersinar nyala
hidupkan kandil kemerlapmu itu
betulkan barisan gigihmu
depankan langkah...
awaslah di maya kini tidak perlu ratap tangis
juga dua tapak tangan ke hadhrat tanpa perjuangan
ya! tempuhlah ranjau onak
ujikan cekalmu di bara panas
demi menggondol piala cita
piala hidup
untuk hari-hari muka.

10 sept 1970.
kg tapang.

Lima buah sajak di atas adalah sajak-sajak awal kreativiti saya. Ianya terkumpul di dalam buku "Diwan Serenade" tu. Dalam buku itu ada 86 buah sajak bertulis tangan semuanya. Boleh dilihat nanti perkembangan di awal penulisan saya. Kesemuanya terhasil semasa di tingkatan 3, 4 dan 5 semasa bersekolah di Maahad Muhammadi Kota Bharu dan Kolej Islam Kelang. Di dalam kumpulan itu juga terdapat 2 sajak yang pernah diberi penghormatan mendapat hadiah pada peraduan menulis sajak, satu di Kolej Islam Kelang dan satu lagi pada peraduan di Sekolah Tun Fatimah, Johor.

yang kurik kendi
yang merah saga
yang molek budi
yang indah bahasa.







Thursday, May 14, 2009

BAHASA JIWA BANGSA: Tok Guru Sarankan DBP Anjurkan 'Bulan Bahasa Melayu'

Yang kurik kendi yang merah saga,
Yang baik budi yang indah bahasa.

Bahasa Melayu (BM) telah digunapakai di nusantara / kepulauan Melayu sejak kurun ke 7. Walau pun terdapat hampir 200 loghat/sebutan/bahasa di daerah ini, namun Bahasa Melayu lebih meluas digunakan mudah dipertuturkan. Jadilah ia lingua franca.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan BM adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia (walaupun pada ketika perlembagaan digubal, istilah 'Malaysia' belum wujud). Namun dalam tahun 1970, Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan dan Belayu Melayu disebut sebagai Bahasa Malaysia. Malanga hingga kini ada pihak-pihak yang tidak menyedari malah cuba menafikan hakikat ini.

Pada 31 Ogos 1970 diisytiharkan Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa dengan cogan kata ' Bahasa Jiwa Bangsa' merujuk kepada 'Bahasa Melayu' dan 'Bangsa' pula merujuk kepada 'Bangsa Melayu'. Maka cogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' adalah memberi makna "Bahasa Melayu Jiwa Bangsa Melayu" bangsa manusia yang menghuni Malaysia!

Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat telah mencadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Perayaan Bulan Bahasa Melayu sebagai acara tahunan demi memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa ibunda ini dalam kehidupan rakyat. Beliau menyebut cadangan tersebut kepada Pengarah DBP, Dato' Turmizi AbdulAziz yang melawatnya di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 pada 9 Mei lalu.

Menteri Besar juga membuat cadangan supaya mengkaji dan menterjemah kekayaan nahu Bahasa Arab bagi memperkasakan lagi Bahasa Melayu untuk generasi akan datang. Beliau juga menyebut bahawa 'bahasa' adalah nikmat besar anugerah Allah buat komunikasi sesama manusia.




Tuesday, May 5, 2009

PPSMI: Apa Tindakan Mahyuddin Seterusnya?

Selepas para guru, pejuang-pejuang bahasa, para pensyarah dan sebahagian rakyat jelata berjuang menolak PPSMI sejak 6 tahun lalu; lima Sasterawan Negara ikut membantah dan menolak PPSMI yang songsang itu.

Rungutan mereka dipandang sepi oleh mantan PM Tun Mahathir (pencetus kerja asal PPSMI), mantan PM Tun Abdullah, kini PM DS Najib Tun Razak. Manakala DS Hishamuddin Husein mantan Menteri Pelajaran dan kementeriannya telah pun meninggalkan kementerian tersebut tanpa jasa terbaik dalam menangani isu yang memalangkan bangsa Melayu itu.

Kegelojohan pihak tersebut mahukan Bahasa Inggeris, bahasa penjajah itu maju dan mendodoi anak-anak watan agak melangkaui kewarasan para pemimpin berbangsa Melayu parti pemerintah yang mengaku mahu mendaulatkan ketuanan Melayu itu. Kata setengah orang selagi UMNO itu bernama United Malayan (?) National Organisation selagi itulah tidak ada kebajikan yang jelas buat Agama Islam dan Bangsa Melayu.

Pejuang-pejuang bahasa telah bertindak menunjukkan reaksi dan perasaan sepenuh ikhlas tanpa apa-apa kepentingan melainkan untuk mempertahankan Bahasa melayu, namun pihak terbabit dengan dasar-dasar pendidikan membuat endah tak endah. Siapa lagi mahu berjuang menentang PPSMI kalau bukan mereka?

Kita haairan kenapa fenomena begini boleh terjadi? Bagaimana dengan TS Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran baru akan menghadapi isu ini? Setakat ini tidak ada apa-apa hasil yang boleh menyenangkan hati nurani anak-anak bangsa yang bertungkus-lumus berikhtiar, berjuang mendaulatkan bahasa dan/hingga mengusung 'Keranda 152' ke Istana Negara memohon Tuanku YDP Agong ikut mendaulatkan Bahasa Melayu sewajar dengan kedudukan selaku bahasa resmi, Bahasa kebangsaan yang menjadi jiwa bangsa.
Tun Dr Mahathir Mohamad: PM Yang 'Menyumbangkan" PPSMI

Kita mesti berjuang mendaulatkan Bahasa Melayu di Malaysia. Inilah bahasa ibunda kita. Kita tidak mahu kalangan menteri Melayi beretorik memperjuangkan kehebatan ketuanan Melayu, tetapi ekor bergelumang keresahan anak-anak cucu dan bakal dikutuk oleh keturunan kemudian hari nanti. Mereka pula jangan merasa senang dengan 'memiliki dua lidah tetapi satu telinga' , sedangkan maruah bangsa dan bahasa sendiri menjadi 'ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan' bersungguh 'menyusu kera di hutan anak di pangkuan menangis kelaparan'.

Friday, May 1, 2009

SAHABAT DATANG 3: Bashir, Rahim Ismail-Jan.

Jam 9.00 mlm khamis 29 April 2009 -Sdr Ahmad Nazir @ Bashir ( kini Mudir PERKIM cawangan Kelantan) telefon beritahu dia bersama sdr Abd Rahim Ismail (Imigresen di KL) sedang berada di Syam Restoran dan akan datang ziarah sebentar lagi.

Sdr Bashir, Abd Rahim dan isterinya Jan tiba 15 minit kemudian. Rahim kelihatan agak gemuk, Jan isterinya agak berisi. Walaupun tidak lama kami dapat berbual, kami sempat bernostalgia tentang sedikit kehidupan waktu sekolej di KIK dan sekampus di UKM dulu. Kisah2 lucu terkenang kembali di samping kisah kedhaifan 'sesak' sewaktu belajar tanpa biasiswa 'FaMa' yang mencukupi. Almaklumlah.

Perbualan sudah tentu juga tentang anak2 yang dah besar panjang. Rahim belum dapat menantu, Bashir dah dan aku sudah punya 6 orang cucu!. Jan pula selalu menyebut yang Rahimnya selalu menceritakan hubungan baiknya dengan Hadi!

Sebelum berpisah aku sempat menghulur buku kumpulan sajak 'Negeri Di Bawah Bulan' untuk Bashir dan Rahim. Mereka amat tahu yang aku ini menulis sajak2 sejak KIK dan UKM. Sejam mereka datang terasa amat singkat pertemuan malam itu..Rahim dan Bashir akan bertemujanji pula dengan Tar dan Amri di Kota Bharu. Ok selamat jumpa lagi.