Tuesday, May 5, 2009

PPSMI: Apa Tindakan Mahyuddin Seterusnya?

Selepas para guru, pejuang-pejuang bahasa, para pensyarah dan sebahagian rakyat jelata berjuang menolak PPSMI sejak 6 tahun lalu; lima Sasterawan Negara ikut membantah dan menolak PPSMI yang songsang itu.

Rungutan mereka dipandang sepi oleh mantan PM Tun Mahathir (pencetus kerja asal PPSMI), mantan PM Tun Abdullah, kini PM DS Najib Tun Razak. Manakala DS Hishamuddin Husein mantan Menteri Pelajaran dan kementeriannya telah pun meninggalkan kementerian tersebut tanpa jasa terbaik dalam menangani isu yang memalangkan bangsa Melayu itu.

Kegelojohan pihak tersebut mahukan Bahasa Inggeris, bahasa penjajah itu maju dan mendodoi anak-anak watan agak melangkaui kewarasan para pemimpin berbangsa Melayu parti pemerintah yang mengaku mahu mendaulatkan ketuanan Melayu itu. Kata setengah orang selagi UMNO itu bernama United Malayan (?) National Organisation selagi itulah tidak ada kebajikan yang jelas buat Agama Islam dan Bangsa Melayu.

Pejuang-pejuang bahasa telah bertindak menunjukkan reaksi dan perasaan sepenuh ikhlas tanpa apa-apa kepentingan melainkan untuk mempertahankan Bahasa melayu, namun pihak terbabit dengan dasar-dasar pendidikan membuat endah tak endah. Siapa lagi mahu berjuang menentang PPSMI kalau bukan mereka?

Kita haairan kenapa fenomena begini boleh terjadi? Bagaimana dengan TS Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran baru akan menghadapi isu ini? Setakat ini tidak ada apa-apa hasil yang boleh menyenangkan hati nurani anak-anak bangsa yang bertungkus-lumus berikhtiar, berjuang mendaulatkan bahasa dan/hingga mengusung 'Keranda 152' ke Istana Negara memohon Tuanku YDP Agong ikut mendaulatkan Bahasa Melayu sewajar dengan kedudukan selaku bahasa resmi, Bahasa kebangsaan yang menjadi jiwa bangsa.
Tun Dr Mahathir Mohamad: PM Yang 'Menyumbangkan" PPSMI

Kita mesti berjuang mendaulatkan Bahasa Melayu di Malaysia. Inilah bahasa ibunda kita. Kita tidak mahu kalangan menteri Melayi beretorik memperjuangkan kehebatan ketuanan Melayu, tetapi ekor bergelumang keresahan anak-anak cucu dan bakal dikutuk oleh keturunan kemudian hari nanti. Mereka pula jangan merasa senang dengan 'memiliki dua lidah tetapi satu telinga' , sedangkan maruah bangsa dan bahasa sendiri menjadi 'ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan' bersungguh 'menyusu kera di hutan anak di pangkuan menangis kelaparan'.

No comments:

Post a Comment