Sunday, September 29, 2013

Artikel Sdr Marsli NO



PENYAIR ABDUL HADI MUHAMMAD MERALATKAN SUNYINYA


SAYA memang tidak terlalu banyak bicara dengannya atau mengenal dia terlalu dekat. Saya mula “mengenal” beliau ketika di permulaan langkah menjadi penyair pada tahun 1979 dan lewat sajaknya “Pantai Batu Hitam” yang disiarkan di majalah Dewan Sastera sekitar tahun yang sama. Saya tercari-cari siapa penyair ini kerana pantai Batu Hitam adalah pantai yang amat saya kenal di daerah saya.

Kemudiannya, ketika bersama almarhum penyair Badaruddin M.Z mengajak menubuh dan menggerakkan kumpulan Anak Seni Inderapura sekitar tahun 1981, saya satu dua kali menemui Abdul Hadi di rumah persatuan yang letaknya di sebuah bangunan di penjuru Taman Esplanade di tepi sungai Kuantan. Ketika itu pun saya lebih banyak menjadi pendengar. Bagi saya, Abdul Hadi yang ketika itu mengajar di sebuah sekolah di Kuantan, seperti juga almarhum penyair Badaruddin M.Z saya anggap sudah pun bertapak kukuh dan saya pula masih lagi terkial dan merangkak mencari ruang di dunia persajakan.

Tidak tahu kenapa, saya memang tidak terlalu banyak bicara dengannya. Walhal, tahun 1985 saya bertemu lagi beliau dan bersama menerima anugerah di majlis penyampaian Hadiah Sastera Utusan-Public Bank yang julung kali dilangsungkan mulai tahun itu.

Dan paling aneh, ketika saya mewakili negara sebagai salah seorang Pembaca Sajak Terjemahan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (PPDKL) 1988 (24 - 27 1988), Abdul Hadi dan temannya Zulkifli Mohd Zain yang sama menyertai acara ini menumpang berehat di kamar hotel saya, namun saya masih juga tidak terlalu banyak bercakap dengan beliau. Saya tidak tahu kenapa mulut ini terasa berat untuk bercakap terlalu banyak dengan Abdul Hadi.

Walau begitu, jauh di dasar sanubari, sebagai teman penyair, dia menjadi dekat dengan saya lewat karya puisinya. Dan kini saya rasa saya tahu sebabnya.

Saya tidak terlalu banyak bercakap dengannya tidak lain kerana rasa segan. Segan ini berpunca dari rasa sedar betapa saya ini seorang manusia yang suka bercakap seenak mulut saya. Dan dengan Abdul Hadi saya menjadi segan kerana saya tahu dia seorang ustaz. Kerana itulah saya berhati-hati agar tidak bercakap tidak tentu hala dengan beliau.

Dengan segala macam kesibukan peribadi, Abdul Hadi seperti ikut sama “hilang” dari ingatan saya dan sajak-sajak Abdul Hadi sendiri semakin jarang kelihatan disiarkan di mana-mana.

Sehinggalah suatu hari saya menerima pesanan ringkas di dalam telefon genggam dari teman penyair, kalau tidak silap ingatan saya Darma Mohamad, atau Irene yang menyebut Abdul Hadi dimasukkan ke hospital.

Kemudiannya, selepas pemergian penyair Badaruddin M.Z, saya menerima pesanan ringkas dari Abdul Hadi sendiri. Tetapi sekali lagi, saya selalunya lambat membalas dan ketika menghubungi langsung, saya berasa aneh. Panggilan saya dijawab namun tiada suara yang kedengaran. Saya mendail sekali lagi dan seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai isteri Abdul Hadi menjawab.

Dari penjelasan isterinya baru saya tahu betapa Abdul Hadi Muhammad teman yang saya kenal sebagai penyair itu, selepas suatu kemalangan dan mendapat rawatan di hospital, kini tidak boleh berkata-kata dan berhubung hanya melalui isyarat serta tulisan.

Entah kenapa, saya kembali teringat peristiwa satu petang di tahun 1988 itu. Abdul Hadi dan temannya Zulkifli Mohd Zain yang mahu menumpang berehat ke kamar hotel saya bersama menaiki bas mini di depan Pasar Seni.

Zulkifli naik dahulu, saya menyusul dan Abdul Hadi di belakang. Ketika bas mulai bergerak dan Zulkifli serta saya sudah mulai duduk di bangku depan, Abdul Hadi tiba-tiba terjelepok mencangkung ditangga dan saya pantas menyambar tangannya menarik kembali berdiri.

Ketika itu, yang saya hairankan kenapa pemandu bas mini itu tidak memberhentikan bas yang bergerak perlahan dan reaksi penumpang serta pemandu basnya pula di mata saya kelihatan seperti menonton sesuatu yang aneh dan mengganggu.

Saya tahu kini Abdul Hadi menulis di blognya dan sesekali Abdul Hadi menghantar reaksinya di blog saya. Malah ada beberapa reaksinya itu ditulis dalam bentuk sajak dan saya dengan sengaja tidak menyiarkannya.

Saya harap Abdul Hadi tidak tersinggung dan memaafkan tindakan saya itu. Saya berbuat begitu kerana khuatir kalau saya siarkan, sajak itu mungkin boleh dan akan diplagiat oleh sesiapa yang mahu berbuat demikian.

Saya mahu biarlah Abdul Hadi siarkan sajaknya itu dahulu di mana-mana penerbitan. Itu bagi saya lebih baik dan bermanfaat buat Abdul Hadi sendiri.

Saya faham Abdul Hadi yang bersama teman-teman penyair UKM mengasas dan memimpin Grup Pemuisi UKM dalam tahun 1977 ini berasa sunyi dan perlukan teman untuk bercakap-cakap. Tetapi saya harap Abdul Hadi dapat menerima cara saya yang lebih senang “bercakap” dengan beliau secara diam.

Saya tahu betapa sunyi itu boleh membunuh dan menyeksa seseorang. Tetapi saya rasa Abdul Hadi memang memahami itu. Betapa sebagai penyair Abdul Hadi sudah lama berlatih menghayati dan mengalami makna sunyinya itu. Apa lagi sebagai seorang muslim. Blognya “Tamu Pulau Melaka” yang dapat ditelusur melalui alamat http://abdulhadimuhamad.blogspot.com/ benar-benar membuktikan betapa Abdul Hadi sesungguhnya tidak didera oleh sunyi, malah menghayati makna sunyi itu.

Itulah Abdul Hadi. Penyair yang juga menulis rencana. Karya sajaknya terkumpul bersama di dalam antologi Puisi Bangi,(1978) Koleksi Puisi Perhimpunan Penyair Muda Malaysia (1988), Perubahan (DBP 1989), Perubahan (DBP 1988), Sayang ottawa Airnya Sejuk ( DBP 1989, Mengenang-Mu (DBP 1989), Gema membelah gema 4-8 (DBP 1989), Di Atas Mimbar Merdeka (DBP 1989), Puisi Baharu Melayu 1961-86 (DBP 1990), Kamar Kecil (PAPK 1991) Laman Bahasa Ibunda (DBP 1993) Cetera 94 ( Kelab Sastera Dewan 1994) Puisi-puisi Kunjungan (DBP 1995), Paluh (Dalam Bahasa Rusia, terbitan Krasnaya Gora Moscow 1996) Nyanyian Kembara (DBP 1999) dan lain-lain.

Abdul Hadi pernah memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1985, Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 serta salah seorang pemenang Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO GAPENA 1989. Antalogi sajak persendirian Abdul Hadi adalah Ruang Dalam (1986) dan Racun Abadi (2001).

Abdul Hadi membuktikan ini. Kesunyiannya diralatkan dengan cara menulis tulisan demi tulisan bernafas keagamaan di blognya dan terakhir, menelorkan sebuah antologi sajak barunya berjudul Negeri di Bawah Bulan (2008).

September 29, 2008
Hakcipta Karya: MARSLI N.O Jam: Isnin, September 29, 2008

No comments:

Post a Comment