BBB, 24 Rajab 1434 = 03 Jun 2013
(Isnin):
Ada beberapa
sebab Penulis memilih untuk memperkatakan tentang penyair Abdul Hadi Muhamad.
1) Abdul Hadi adalah Pemenang Pertama
di dalam peraduan menulis puisi sempena Pengisytiharaan Bangi Bandar Ilmu (22
Jun 2008) yang puisinya diterbitkan di dalam buku Gagasan Bangi (2012).
Himpunan esei dan puisi yang memenangi peraduan tersebut.
2) Abdul Hadi adalah Penyair yang lahir
dari Grup Pemuisi UKM yang ditubuh pada tahun 1977 di UKM. Penulis pernah
menjadi Penasihat bagi Grupemuisi semasa baru menjadi pensyarah di UKM. Abdul
Hadi adalah salah seorang penyair muda yang terserlah pada masa itu. Ternyata
kemudiannya beliau menjadi salah seorang penyair tanahair yang memenangi Hadiah
Sastera beberapa kali.
3) Abdul Hadi terus menghantar kepada
Penulis buku-buku puisinya yang dihasilkan. Semasa datang menerima Hadiah
Peraduan Penulisan Puisi Bangi Bandar Ilmu beliau menghadiahkan kepada Penulis
buku puisi antologi (Bersama) yang berjudul Al-Abrar (2011) dan terbaru beliau
menghantar Kumpulan Puisi terbarunya yang berjudul Gobar Wilayah Kami (2013)
yang tiba ke tangan Penulis pada 27.2.2013,.
Melihat kepada penerbitan kumpulan
puisi perseorangannya berjumlah 4 buah kumpulan puisi iaitu Ruang Dalam
(1986), Racun Abadi (2001), Negeri Di Bawah Bulan (2008) dan Gobar
Wilayah Kami (2013) menunjukkan Abdul Hadi seorang yang serius berpuisi. Selain
dari itu beliau banyak menghasilkan puisi secara antologi berpuluh buah
antologi seperti Abrar (2011), Gema Membelah Gema 4 - 8, Puisi-Puisi Bangi
(1978), Koleksi Perhimpunan Penyair Muda Malaysia (1988), Danau Dan Tifa II,
Perubahan (DBP 1988), Sayang Ottawa Airnya Sejuk (DBP 1989), Mengenangimu (DBP
1989), Di Atas Mimber Merdeka (DBP 1989), Puisi Baharu Melayu 1961-86 (DBP
1990), Kamar Kecil (PAK 1991), Taman Bahasa Ibunda (DBP 1993), Cetera 94 (Kelab
Sastera Dewan 1994), Puisi-Puisi Kunjungan (DBP 1995), Paluh - Dalam bahasa
Rusia Terbitan Krasnaya Gora Moscow (1996), Nyanyian Kembara (GEMA 1999), Ratib
Seribu Syair (GAPENA 2005), Oh Penuntut Darul Fikr KL 2005), Sebening Sinar DBP
2005) dan lain-lain.
Beliau juga memenangi banyak hadiah
seperti Hadiah Sastera-Public Bank (1985), Hadiah Sastera Malaysia (1984/85 dan
1986/87), Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena (1989) dan Hadiah Peraduan
Menulis Sempena Ulang Tahun Pelancaran Bangi Bandar Ilmu (2012).
Apabila Grup
Pemuisi UKM ditubuhkan (1977) Grup Pemuisi banyak mengadakan kegiatan berpuisi,
berdiskusi dan berkreasi. Satu kegiatan menonjol ialah menghasilkan kumpulan
puisi. Selama lebih setahun bergiat sebanyak 5 buah antologi puisi secara
stensilan dihasilkan.
Menulis
kata-kata aluan bagi Antologi Puisi Kuntum Rasa selaku Penasihat Grupemuisi
Penulis menyatakan:
``Umur
Setahun jagung kelahiran Grup Pemuisi di UKM relatifnya amat pendek, tetapi
semuda usia ini Grup Pemuisi telah menempa nama dalam kegiatan bersastera di
tanahair, khususnya di UKM. Kejayaan ini banyak bergantung pada pengemudian
Grup Pemuisi yang dipimpin oleh saudara Nawawee Mohammad, Azmi Yusoff dan
rakan-rakan. Dengan lahirnya antologi ini sudah lima buah antologi yang
dikaitkan dengan Grup Pemuisi dihasilkan, di samping kegiatan yang lain
(Nawawee Mohammad & Abdul Aziz Ahmad, Kuntum Rasa, Grup Pemuisi UKM, 1979:
hlm. I.
Abdul Hadi
Muhamad dilahirkan di Kg. Humalanas Takbai, Wilayah Narathiwat, Thailand
Selatan pada tahun 1954. Menerima pendidikan awal di Ma`had Muhammadi Kota
Bharu, di Kolej Islam (1971-74) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
(1975-1979). Bersama beberapa teman penyair di Kampus UKM Abdul Hadi memimpin
Grup Pemuisi UKM. Abdul Hadi sebenarnya mempunyai persediaan bakat terserlah di
dalam berpuisi. Kegiatannya di dalam Grup Pemuisi UKM mempercepatkan kelahiran
dan penonjolan bakatnya. Ini terbukti dari tiga puisi awal beliau yang
dimuatkan di dalam Antologi Kuntum Rasa. Baca dan hayati kekuatan
imaginasi dan pemilihan kata beliau yang menyimpang dari ungkapan biasa:
Dan sesudah
itu ?
Mendung pun
kaupunggah-punggah ke dermaga
Laut yang
lagi tenteram, akulah layang-layang
Sesekali
menjunam atau bungkam
Memerhati
kesibukan pengkalan
Dengan
bungkus-bungkusan berat
Kata selamat
yang tak terucap.
(Kuntum
Rasa, Grup Pemuisi UKM, 1979: 4)
Demikian
sebahagian dari puisinya yang menggambarkan kesibukan dialami penyair di
Dermaga Butterworth, Pulau Pinang. Lihat pada pemilihan katanya secara
imaginative dan puitis, Mendung pun kaupunggah-punggah ke dermaga, Laut yang
tenteram akulah layang-layang, sesekali menjunam atau bungkam dan Kata selamat
yang tak terucap. Ungkapan-ungkapan ini menggamit rasa yang menyentuh naluri
ingin tahu apa yang diungkap dan mahu disampaikan yang sesungguhnya amat
berkesan.
Hayati lagi
gaya pengucapan Abdul Hadi ketika bertolak dan mengucap Selamat Tinggal
kepada kampung halamannya. Kata Abdul Hadi:
Swaddi Kap Buat Tanah Kelahiran
Swaddi kap,
Sekarang aku
melintasi sempadan
Tanpa
ingatan ke belakang
Atau
menangis
Bot ini
memunggah kesaratan rasa
Kembara,
penemuan dan kembali
Bakal
penghabisan hari.
Swaddi kap
orang-orang Pulau Nibung !
Swaddi kap
orang-orang Humalanas
Angin
kelmarin mengapa masih sepi
Anak-anak
keli lagi menggigit umbi padi
Ah, gagakkah
yang pulang ke benua
Mengetuk
daun pintu tanah kelahiran
Atau
berlari-lari mengejar belalang
Hinggap di
daun kerian
Pinggir
kubang,
(Kuntum
Rasa, UKM, hlm. 4 & 6).
Perhatikan
petikan kata-katanya bagi mewakili imaginasi dan perutusannya, Swaddi kap
(bahasa Thai = Selamat Tinggal), Bot ini memunggah kesaratan rasa, Angin
kelmarin mengapa masih sepi, Anak-anak keli lagi menggigit umbi padi, Gagakkah
yang pulang ke benua, Mengetuk daun pintu tanah kelahiran, Berlari-lari
mengejar belalang, Hinggap di daun kerian, Pinggir Kubang. Abdul Hadi
mengungkapkan pengalaman alamiah yang dilalui dan dihayati dan berjaya
menterjemahkannya ke dalam bahasa puisi.
Dua petikan
(sebahagian) menggambarkan situasi dialami penyair dalam perjalanan yang
ditanggapi secara imaginative kreatif, begitu indah ungkapan dan itulah bahasa
puisi. Dengan bakat terserlah ini ianya menjadi asas bagi Abdul Hadi menginjak
dan melebarkan sayap puisinya menerawang ke pelbagai kemungkinan mendepani masa
depan.
(Bersambung
…)
Sekian.
No comments:
Post a Comment