Monday, August 31, 2009

Ramadhan Dalam Fasa Kedua

Nabi s.a.w bagi tahu bahawa ramadhan:
awalnya rahmat / kasihan belas Allah,
pertengahannya maghfirah / keampunan
dan akhirannya pelepasan dari neraka.


hari ini 11 hari dah, ertinya kita berada di fasa kedua
selepas 10 hari Allah menaburkan rahmat-Nya.
pada 10 hari pertengahan mari kita mohon maaf,
ampun dan taubat kepada Allah. kita mahu jadi
orang bertakwa bagai dijanjikan-Nya.

استغفر الله العظيم الذى لا اله الا هو الحى القيوم واتوب اليه

اللهم اغفرلى ولوالدى وارحمهما كما ربيانى صغيرا




Sunday, August 30, 2009

kata bersambut

bro pyan habib catat:

kemerdekaan

berikan anak pensel, warna dan buku
bukan bom pistol dan baju kalis peluru.

aku komen:

merdeka

sebutkan 'merdeka' bukan 'free'
sebutkan dalam bahasa kita, tolak PPSMI !!

Saturday, August 29, 2009

Batu Tergantung dan Kerja Mengumpul Sajak


Foto ini diperoleh dari email. Menurut yang punya cerita, batu ini katanya nilai sejarahnya sangat tinggi. Waktu Rasulullah s.a.w dari Mesjid Al-Aqsa akan mi'raj ke langit ke tujuh (sidratul munthaha), batu ini menjadi pijakan Rasulullah. Batu ini ingin ikut dengan Rasul, namun baru bergerak ke atas sedikit, malaikat Jibril melarangnya. Jadilah batu tersebut menggantung tanpa gantungan. Batu ini ada di Baitul Maqdis, Jerussalem, Israel. Namun hal ini belum pernah diekspos. Betulkah ??? Wallahu a'laam bissawaab.


____________________________________________________________________

KERJA MENGUMPUL SAJAK


Di tanah semenanjung nusantara berbelai khatulistiwa, gunung-gunung hijau, lautan membiru, kemarau dan angin adalah warna catan buat sajak-sajak kita. mengumpul sajak-sajak menjadi replika dalam hidup di luar kiraan akal, mendekati kekuasaan bukanlah bapa kebenaran. suatu ketika, di mana pun, kekuasaan boleh bergagah keliru.


Sudah berjalan sesuai hasratnya, terserah kepada pemutus kebenaran bab terakhir pilihan kita penumpang: mau naik atau tidak. cuma usah ada takut terlewat atau merasa ketinggalan masa.


Kekuasaan sejati bukan ibu kebenaran terhadap hak-hak orang lain pada menikmati sekunyah beras amanah sejak akil baligh tigapuluh tahun silam. tidak ada yang perlu dipertikai lagi.

Pengamat sajak itu menanggalkan baju kebenaran matalamatnya dan latah mendirikan kumpulan penggemar yang lagi diam, mungkin mengira dunia ini masih berupa alam khayali yang belum benar pulih beranjak turun ke bumi.


Kembara yang tersasar selalu ada. pihak belakang mata kita menyembunyi banyak sepi banyak bicara, berlakon secara ketara atau bagai mimpi.


Seperti dinyatakan terakhir kali ini, kepuasan bukanlah titik kebenaran. hati kita tidak mungkin akan selalu mengecil; selagi budi mereka tidak pernah adil!


30 ogos 2009

wilayah tapanji, kelantan.


kurma tujuh biji

tujuh biji kurma
setelah ramadhan ketujuh
bagi-Mu puasaku bagi-Mu imanku
dengan rezeki-Mu aku berbuka
dengan rahmat-Mu duhai Maha Pencipta
duhai sekasih-kasih yang mengasihi,
terimalah ibadat kami.

jumaat 28 ogos 2009.

Thursday, August 27, 2009

meninggal dunia 1

Pier at Pantai Kerachut


sehabis berpuisi tadi malam dia pun diizin meninggalkan dunia ini. cuma catatannya tentang laut yang jauh sukar ditamatkan. tentang ombak tidak pernah penat, bau masin melarut serba, biru tidak tertangkap dekat dan suara deru sejak purba. tumit langit menyimpan larat awan. dia gagal menukilnya kecuali dalam bayangan.

sebelum ini dia sempat meninggalkan negeri peribadi. berziarah ke wilayah asing punya iklim dan bau tanah yang berbeza. namun di bawah rungkup sama dia kecewa bebas. usia tenaga kurnia sukar mencantas guntur. dia sering kabur dan berhasrat mundur. cita-cita tahun sudah belum semua terlunas. harapan besar dia bergantung: redha dan syukur.redha dan syukur.

berita dia wafat tersebar cepat bagai bau 'atar seribu bunga. jasadnya berkafan daunan serta doa marga. sebenarnya awan malu-malu menitiskan gerimis di belakang tabir dan mentari memandang sayu buat kali terakhir. dia tidak maklum, dunia di belakangnya penuh kasih dan rahmat ilahi.

7 ramadhan 1430, tapanji kelantan.

Prof Ismail Kembali Ke Rahmatullah

Pakar ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Prof Dr Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi.

Hospital itu kini dalam proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian tersebut.

Allahyarham Dr Ismail, 61, mencipta sejarah sebagai senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia.

Bapa kepada enam orang anak itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech. Beliau juga pernah berjawatan Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).

Beliau dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian, antaranya, anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.

Friday, August 21, 2009

MARHABAN YA RAMADHAN

Tuhan, mabukkanlah aku dengan anggur cinta-Mu, rantaikanlah kakiku seerat-eratnya dengan rumah-Mu, keraskanlah seluruh isi diriku dengan nafsu kecuali cinta-Mu hidupkan lagi diriku agar terus lapar membuat ibadah kepada-Mu supaya kutemui lapis-lapis hikmah dari setiap ketentuan. Ramadhan kareem. Salam kemaafan awal Ramadhan dari kami sekeluarga.

ucapan,ramadhan,dayan,dayant

Saturday, August 15, 2009

mata malam.



Thumbnailtataplah mata malam yang mengintai, siang telah jauh
berangkat. maghrib yang tidak terhalang apa-apa
menghulurmu perlahan-lahan gelitanya sejak senja.
giliran ini berpusar bersama cakrawala dan denyut
hawa. kita dipijak kesal tidak membalut luka.

malam mematai segala lena dan mimpi. itu serabut
akal itu cakaran nestapa tidak mudah tergunting
oleh prasangka. hingar yang terhunus dari sarung
menerpa telinga, menjadi tidur kita di atas bara.

embun lama bias di pinggir kota ini. sesekali
bunyi unggas meruntun ke birai siang; kita pula
tidak jemu-jemu menafsir persoalan!


1 ramadhan 1430,
madrasah rohaniah.

Thursday, August 13, 2009

CATATAN SEMINGGU :Suka Duka

Khamis 6 Ogos 2009- Menyerahkan manuskrip kumpulan sajak 'Atar Seribu Bunga' kepada Pn Ariza Che Ismail DBPWT kalau mungkin untuk diterbitkan ... Kumpulan ASB mengandung 120 sajak lama-baru tentang kembara rasaku.


Selasa 11 Ogos 2009
- Sementara menunggu Hamidah ke rawatan fisioterapi di HUSM, aku di dalam kereta terpandang seseorang yang irasnya sdr Marsli NO! Dia berjalan agak cepat menghala ke bangunan Pasaraya Nirwana. Aku segera mengambil fonta dan mendail nombor milik Marsli; ketara orang itu tidak menunjukkan reaksi menyeluk poket mengambil fontanya atau sebagainya. Dia bukan Marsli NO! Aku mematikan deringan fontaku.

Sebentar fontaku berbunyi, dari sdr Marsli! Dia bertanya ' siapa tu?' Aku beri salam dan menyebut nama penuhku. Marsli memberitahu: ' Di, aku di wad ni. Dah dua hari.' Langsung kutanya kenapa pulak? Dia kata dia demam dan suspek mengidap selsema babi. Masya Allah. Patut pun kedengaran suaranya pelan dan letih. Aku sempat menyebut harapan agar beliau selamat dan cepat sembuh, tidak mahu bercakap panjang. Semoga sdr Marsli NO dah sembuh, selamat dan bergembira bersama keluarganya.

Marsli N.O - Seorang penyair, penulis, pemikir dan bloga yang tersendiri.
Selasa 11 Ogos 2009- Sdr Leo AWS mengutus SMS memberitahu sasterawan ANWAR RIDHWAN dianugerah gelar SASTERAWAN NEGARA ke 1o.

Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.

Anwar ridhwan




.



Wednesday, August 12, 2009

UST ASRI RABBANI; PERGI YANG TAK KEMBALI LAGI



ASRI RABBANI : Pergi Tak Kembali Lagi


Sama-samalah kita semua sedekahkan Al-Fatihah kepada Ustaz Asri Rabbani yang kembali ke rahmatullah menghembuskan nafas terakhirnya akibat sakit jantung di Pantai Medical Center pukul 11.00 pagi tadi.

Inna lillahi saya inna ilahi raji'uuun. Setaip diri akan menempuhi kematian. Pahala al-fatihah buat ruh al-marhum...semoga amalan baiknya diredhai Allah...diampuni dan dirahmati-Nya.

...hilang sudahsatu vokal, kelunakan suara / lagu alternatif buat kesenian Islam. Pergi Ustaz Asri bin Ibrahim buat selama-lamanya.

Khamis, 22 Syaaban 1430 /12 Ogos 2009


Sasterawan Dharmala NS Kembali Ke Rahmatullah.


Petang 4.10 aku ke Malaysiakini terserempak kepala berita Dharmala NS meninggal dunia.( di sini...) Terus terpegun sejenak dan mengucapkan innalillahi wa inna ilahi raajiu'un. Aku terus hubungi sdr Leo AWS memberitahu kabar itu. Leo mengatakan dia sudah tahu dan telahpun memesejkan kepada fontanganku. Saja aku yang terlambat baca pesanan ringkas sdr Leo. Terima kasih.

Al-Fatihah kubaca dan hadiahkan pahalanya buat Pak Dharmala, Tn Hj AbdulMuluk Daud 62, satu-satunya sosok yang menggunakan singkatan huruf NS - Negeri Sembilan. Abdul Muluk juga pengendali laman blog Warga Prihatin Malaysia (Prima). Allahyarham semasa hayatnya merupakan penulis novel, cerpen, sajak, drama TV dan penulis skrip filem Raja Melewar.

Almarhum banyak meninggalkan hasil karyanya di atas persada kesusasteraan Melayu selain memberi bimbingan dalam bidang penulisan kreatif. Almarhum agar berbeza dengan kebanyakan penulis lain dalam hal-hal politik dan falsafah perjuangan. Suaranya agak keras dan memerlukan penerimaan yang sejajar protes dan berani. Itulah Pak Dharma yang juga pemilik Pustaka Adimul.

Jenazahnya akan disemadikan di desa asalnya Kampung Bachang Mantin, Jelebu. Ta'aziah buat keluarga almarhum, semoga dia diampun, dirahmati Allah dan ditempatkan bersama orang baik-baik. Aamiin.







Sunday, August 9, 2009

balaflubabi : adakah tahun ini tahun babi?


hingga hari ini 9.8.09 sudah 26 jenazah rakyat malaysia disemadikan setelah disahkan mengidap flubabi. penyakit dikatakan asal dari luar khasnya mexico itu menular cepat dan amat ditakuti kini. rakyat malaysia yang kembali dari obersi ditakuti membawa jangkitan. maka sudah tentu tularan itu akan berdesah bersama pelancong datang. negara kita amat menggalakkan pelancong seolah hidup mati ekonomi negara bergantung kepada bidang pelancongan.

kerajaan dengan modal besar pantai, pulau, hutan rimba, tempat rekreasi, tempat judi, ethnik kaum, adat budaya, seni serta belanja yang banyak selain kempen agar pelancong dan pendatang mengunjungi negara kita. alih-alih kemasukan rakyat sendiri dari luar dan para pelancong mesti diawasi atau disekat takut mereka masuk bersalut virus flubabi! kini sudah ada jabatan, ipt dan sekolah terpaksa dicutikan atau dikuarantin. masya Allah bala apa ini?

kalau penyakit tularan aids, para pengguna seks sial disuruh guna topeng kemaluan. kini akibat tularan flubabi ketika bersosial kita diarah memakai topeng di muka. bimbang penyakit itu berselinap melalui udara. bimbang akan berlegar kumannya di tempat kerumanan awam. wabak ini sudah membenih bala. walau apapun nama diberi kini sama ada influenza a h1ni atau selsema babi / khinzir; wabak penyakit ini terus merebak di banyak negara. kalau ada simptom /tanda-tanda jangkitan, segeralah mendapat rawatan. adakah tahun ini tahun babi?

Friday, August 7, 2009

Selasa, 2009 Ogos 04

SABAR BOHARI KEMBALI KE RAHMATULLAH

Saya terima sms daripada penyair Leo AWS jam 7.09 petang. Smsnya mencatat " Sabar Bohari meninggal dunia d hospital ampuan rahimah, klang hari ini. AlFatihah."

Negara kita kehilangan seorang lagi penyair yang prolifik. Sabar Bohari telah ke negeri abadi menyahut seruan Ilahi..... kabarnya sudah tiga hari dia terlantar derita (koma) akibat konpilasi buah pinggang. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan daerah kelahirannya, iaitu Kelang. Semoga Allah mengampuni, merahmati beliau dan meletakkannya bersama golongan orang baik2. Aamiiin. Diucapkan ta'ziah buat keluarga almarhum.

Al-Fatihah..... KEMUDI dan negeri Selangor DE kehilanggan seorang penyair lagi.

Thursday, August 6, 2009

RIMA BUAT WS RENDRA

kausertai umat setelah meninggal desa adat
ogos tujuhpuluh. kau dijemput ke hadhrat-
tiga puluh sembilan tahun kemudian
-dalam ogos seiring jumaat 2009

sang raja hering, si burung kondor
berpulas tersadung bau jauh
melarut angin dan kudapan
suram kelam merapat subuh

selepas kasidah berzanji
mengigal si burung merak
bersama sunarti melamar sitoresmi,
nikahi ken zuraida - dia memang lelaki!

seniman itu telah pergi
si bintang panggung indonesia
dari sepi blues untuk bonnie
ke balada orang-orang tercinta
bersatulah pelacur-pelacur kota jakarta;
tiada lagi nyanyian angsa dan rajawali
nisfu sya'aban tahun ini
rendra kita bertolak ke ilahi.


16 sya'aban 1430,
kampus salik
tapanji, kelantan.

WS RENDRA KEMBALI KE RAHMATULLAH

WS Rendra hembus nafas terakhir~~ Malaysiakini.

Ogos 7, 09 10:55am


Penyair terkemuka Indonesia WS Rendra, yang turut berpengaruh di Malaysia, meninggal dunia di sebuah hospital di Jakarta malam tadi setelah lebih sebulan dirawat kerana penyakit jantung.


Rendra, 74, yang juga dikenali "Si Burung Merak" meninggal dunia pada 10.15 malam tadi dengan meninggalkan 11 orang anak daripada tiga isteri - dua daripadanya sudah diceraikan.

Setelah memeluk Islam pada Ogos 1970 ketika menikahi isteri keduanya Sitoresmi Prabuningrat, beliau menukar namanya menjadi Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya Willibrodus Surendra Broto Renda.


Selain sajak-sajaknya, Rendra juga dikenali ramai di Malaysia melalui filem bertema agama yang dilakoninya "Al Kautsar" pada 1980-an.

Jenazah allahyarham dijadual dikebumikan selepas solat Jumaat di Bengkel Teater, Citayam, Depok dekat sini, tidak jauh dari kubur sahabatnya Mbah Surip, penyanyi reggae yang mendadak popular di Indonesia dengan lagu "Tak Gendong" yang meninggal dunia Selasa lepas.

Rendra beberapa kali memperoleh anugerah dalam bidang sastera, antaranya Penghargaan Adam Malik pada 1989, SEA Write Award pada 1996 dan Penghargaan Achmad Bakri pada 2006.

Sebagai sasterawan

Bakat sastera Rendra sudah mulai terlihat ketika ia duduk di bangku sekolah. Saat itu beliau sudah mulai menunjukkan kemampuannya menulis puisi, cerita pendek dan drama untuk pelbagai kegiatan sekolahnya. Bukan hanya menulis, beliau juga boleh berlakon di pentas. Rendra mementaskan beberapa dramanya, terutamanya tampil sebagai pembaca puisi yang sangat berbakat.

Pertama kali menerbitkan puisinya di media massa pada 1952 melalui majalah Siasat. Setelah itu, puisi-puisinya terus muncul di majalah waktu itu, seperti Kisah, Seni, Basis, Konfrontasi, dan Siasat Baru dua dekad selepas itu, tahun 1960-an dan tahun 1970-an.

"Kaki Palsu" adalah drama pertamanya, dipentaskan ketika ia di sekolah dan “Orang-Orang di Tikungan Jalan” pula drama pertamanya yang mendapat penghargaan dan hadiah pertama dari Kantor Wilayah Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan, Yogyakarta.

Penghargaan itu membuatnya sangat bersemangat untuk berkarya. Prof A Teeuw dalam bukunya Sastra Indonesia Modern II (1989), berpendapat bahwa dalam sejarah kesusasteraan Indonesia moden, Rendra tidak termasuk dalam salah satu angkatan atau kelompok seperti Angkatan 45, Angkatan 60-an, atau Angkatan 70-an.

Daripada karya-karyanya, terlihat Rendra mempunyai keperibadian dan kebebasan sendiri.


Karya-karyanya tidak hanya dikenali di republik itu tetapi juga di luar negeri. Banyak karyanya sudah diterjemahkan ke dalam bahasa asing, antaranya bahasa Inggeris, Belanda, Jerman, Jepun dan India.

Beliau juga aktif mengikuti festival-festival di luar negeri, antaranya The Rotterdam International Poetry Festival (1971 dan 1979), The Valmiki International Poetry Festival, New Delhi (1985), Berliner Horizonte Festival, Berlin (1985), The First New York Festival Of the Arts (1988), Spoleto Festival, Melbourne, Vagarth World Poetry Festival, Bhopal (1989), World Poetry Festival, Kuala Lumpur (1992), dan Tokyo Festival (1995).

Pada 1961, sebaik sahaja pulang dari Amerika Syarikat, Rendra mendirikan kumpulan teater di Yogyakarta tetapi ia terhenti kerana kembali semula ke negara itu. Ketika pulang semula ke Indonesia (1968), budayawan itu membentuk kembali kumpulan dinamakan Bengkel Teater.

Bengkel Teater sangat terkenal di Indonesia dan memberi suasana baru dalam kehidupan teater di tanah air dan menjadi basis bagi kegiatan keseniannya.

Kontroversi Burung Merak

Pada usia 24 tahun, Rendra bertemu cinta pertamanya dengan Sunarti Suwandi. Daripada wanita itu yang dikahwininya pada 1959, beliau mendapat lima anak: Teddy Satya Nugraha, Andreas Wahyu Wahyana, Daniel Seta, Samuel Musa dan Klara Sinta.

Seorang muridnya Bendoro Raden Ayu Sitoresmi Prabuningrat, puteri berketurunan istana Yogyakarta yang bergiat aktif di Bengkel Teater. Tugas Jeng Sito, begitu panggilan Rendra kepadanya, antara lain menjaga empat anak Rendra-Sunarti.


Kemudian ditemani Sunarti, Rendra melamar Sito untuk menjadi isteri kedua dan Sito menerimanya. Namun ayah Sito tidak mengizinkan anaknya, yang beragama Islam, berkahwin dengan pemuda Katolik tetapi ia tidak menjadi halangan besar bagi Rendra.

Seniman itu mengucapkan dua kalimat syahadah pada hari perkawinannya dengan Sito, 12 Ogos 1970, dengan disaksikan dua lagi tokoh sastera Taufiq Ismail dan Ajip Rosidi.

Peristiwa itu mengundang reaksi sinis seperti Rendra masuk Islam hanya untuk berpoligami. Menjawabnya, Rendra beralasan bahawa beliau sudah lama tertarik pada Islam, terutama sejak persiapan pementasan Kasidah Barzanji, beberapa bulan sebelum pernikahannya dengan Sito.


Beliau juga menjawab dengan lebih tegas: bagi Rendra, Islam menjawab persoalan pokok yang menghantuinya selama ini bahawa kemerdekaan individu sepenuhnya. "Saya bisa langsung beribadah kepada Allah tanpa memerlukan pertolongan orang lain. Sehingga saya merasa hak individu saya dihargai," katanya sambil mengutip ayat Quran, yang menyatakan bahwa Allah lebih dekat daripada urat leher seseorang.

Bergelut dengan kontroversi kehidupan poligaminya, suatu ketika melihat seekor burung merak berjalan bersama dua betinanya di sebuah zoo Yogyakarta, Rendra berseru sambil tertawa terbahak-bahak dan dilaporkan berkata "itu Rendra! Itu Rendra!"


Sejak itu jolokan Burung Merak melekat padanya hingga kini. Bersama Sitoresmi, beliau mendapatkan empat anak: Yonas Salya, Sarah Drupadi, Naomi Srikandi dan Rachel Saraswati.

Tetapi Burung Merak tidak puas dengan dua pasangan dan menyunting Ken Zuraida, isteri ketiga yang memberinya dua anak: Isaias Sadewa dan Maryam Supraba. Tapi pernikahan itu mencetuskan pergolakan dan Rendra menceraikan Sitoresmi pada 1979, dan Sunarti dua tahun kemudian.

Senarai karya Rendra termasuklah drama dan puisi:

Drama
Orang-orang di Tikungan Jalan (1954)
Bip Bop Rambaterata (Teater Mini Kata)
SEKDA (1977)
Selamatan Anak Cucu Sulaiman
Mastodon dan Burung Kondor (1972)
Hamlet (terjemahan karya William Shakespeare)
Macbeth (terjemahan karya William Shakespeare)
Oedipus Sang Raja (terjemahan karya Sophokles)
Lisistrata (terjemahan)
Odipus di Kolonus (terjemahan karya Sophokles),
Antigone (terjemahan karya Sophokles),
Kasidah Barzanji
Perang Troya Tidak Akan Meletus (terjemahan karya Jean Giraudoux) Panembahan Reso (1986)
Kisah Perjuangan Suku Naga

Puisi
Balada Orang-Orang Tercinta (Kumpulan sajak)
Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta
Blues untuk Bonnie
Empat Kumpulan Sajak
Jangan Takut Ibu
Mencari Bapak
Nyanyian Angsa
Pamphleten van een Dichter
Perjuangan Suku Naga
Pesan Pencopet kepada Pacarnya
Potret Pembangunan Dalam Puisi
Rendra: Ballads and Blues Poem (terjemahan)
Rick dari Corona
Rumpun Alang-alang
Sajak Potret Keluarga
Sajak Rajawali
Sajak Seonggok Jagung
Sajak Seorang Tua tentang Bandung Lautan Api
State of Emergency
Surat Cinta

dariana : Almarhum pernah tiba di Kelantan dalam acara Majlis Dialog Puisi anjuran Pertubuhan Angkatan Penyair Kelantan di KB Restoran pada 27 November 1992. Kami berdialog dan bermera dengan penyair besar ini sepetang dan memperolehi apa yang tiap kami mahukan daripadanya.

Dia banyak menceritakan latar hidup getirnya sebelum dewasa selaku penulis, penyair, teateris dan pelakon filem. Berambut gondrong bersuara garau berpakaian mudah, kelihatan almarhum amat sukakan budaya, khusus budaya Jawanya. Dia ternyata berani dalam melontarkan ideanya baik pada sajak-sajaknya atau teater langsungnya. WS Rendra meninggalkan lagendanya yang tersendiri pada pentas budaya Nusantara khasnya buat Indonesia dan bangsa Melayu.

Belum pernah ada seniman selain almarhum yang
punya / diberikan status yang begitu unik dan tersohor seperti sosok seorang ini (baca juga di sini...). WS Rendra menyertai kumpulan orang-orang beriman @ memeluk Islam pada Ogos 1970, 39 tahun yang lampau. Beliau kembali ke rahmatullah Jumaat 7 Ogos 2009. Dia menamatkan persembahannya di pentas dunia ini selaku seorang dari umat Nabi Muhammad s.a.w. Semoga persembahan dan karya-karyanya diredhai Allah, punya manfaat yang tersendiri buat generasi sesudahnya. Semoga Allah Taala mengampuni salah silapnya, memberi rahmat dan meletakkan almarhum bersama hamba-hamba-Nya yang solih.
Lari Dari Blora, juga menampilkan WS Rendra

Wednesday, August 5, 2009

SAJAK BUAT PEMIMPIN 2



SAJAK BUAT PEMIMPIN 2

menjanjikan yang sukar dilaksana
terlalu banyak slogan sehingga
rakyat akan hilang kepercayaan

menerangkan maksud 'Satu Malaysia'
kita lihat kecelaruan fikiran rakyat
apa pula 'Malaysian Malaysia'
slogan pun menjadi retorika
memanis bibir memasam usus
kesan lebih menyakitkan!

siapa masih terkilan
mansuhkan taman idaman hilang naungan
lupa sokongan, dana dan bantuan

perubahan tidak semua mendokong baik,
amat dialukan paksi ikhlas takwa
cara lebih berhasil, lebih kesan kepada jelata

pembaharuan diterima, perkemaskan sedia lurus
rakyat melaksana cemerlang, tuan dirahmati Tuhan!


Kota Bharu,
10 Rabiul-awal 1430.

Saturday, August 1, 2009

SAHABAT DATANG: Nawawee Muhammad Dengan Manuskripnya.


Teman-teman penyair Nawawee Mohamed (kiri) bersama Marsli NO ketika di Batam pada 13 September, 2005. ~foto ehsan Marsli NO

Rabu 29 Julai 2009 pagi - Fontanganku berbunyi, anak memberitahu ada kawan ayah datang. Aku yang berada di kedai untuk membeli nasi berlauk (antara tugas rutinku sebelah pagi) segera beritahu akan segera balik. Di rumah, penyair mapan Terengganu Sdr Nawawee Mohamed teman sekuliah di UKM, mantan JK Penaja dan Ketua I pertama Grupemuisi UKM ada ziarah. Selepas bertanya kabar, borak kami sudah tentu ke bidang penulisan kreatif, alam sajak dan perihal teman-teman lain.

Sdr Nawawee sudah banyak menghasilkan karya sajak, esei sastera dan ilmiah, cerpen dan buku cernak (cerita kanak-kanak) serta selenggaraan bidang kreatif. Beliau pernah memenangi banyak anugerah /hadiah kreatif sama ada tajaan peringkat negeri, swasta spt: Utusan Melayu- Public Bank dan peringkat kebangsaan. Nawawee pernah menjadi pensyarah di Maktab Bahasa Kuala Lumpur, Maktab Perguruan batu Rakit Terengganu dan Guru Bahasa di Universiti Prince of Songkla, Thailand Selatan. Bersara dari segi perkhidmatan rasmi, Nawawee belum bersara dalam bidang peulisan yang diceburinya sejak zaman remaja itu.

Pagi ini beliau singgah sementara menanti siap urusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, yang pejabatnya tidak jauh dari rumahku. Nawawee banyak berkisah tentang projeknya yang telah siap; 2 buah buku / manuskrip berjodol: ' Rampai Sastera Melayu Baru Patani' dan 'Sajak-sajak Melayu Dalam Sorotan' berupa ulasan/kajian hasil karya penulis2 sezaman..... Kedua-dua buku tersebut memang tebal, terperinci dan sudah tentu mengambil masa yang lama untuk menyelidik bahan hingga berhasil siap seperti adanya.

Sdr Nawawee menyatakan manuskrip2 itu dan sebuah lagi berjodol 'Gurindam 2500 Rangkap' itu telah ditolak pihak DBP tanpa sebab yang munasabah. Sewajarnya pihak Dewan menyatakan sebab2 ia ditolak. Malah pihak itu perlu menggalak /membimbing para penulis membuat kajian dan sanggup menerbitkannya sebagai respon kepada penat jerih menyiapkan kajian. Ternyata Nawawee kesal dengan hal yang terjadi kepada dirinya.

Sdr Nawawee meninggalkan rumahku setelah meneguk teh o dan kami berpisah dengan salam.