Sunday, September 20, 2009

Melunaskan Nazar Anak

Posted: Mon Sep 21, 2009


tamupulaumelaka wrote:
MASALAH:




Anak saya ada berhajat sesuatu lalu bernazar jika berjaya dia mahu jamuankan seekor kambing. Hajatnya berhasil. Alhamdulillah. Raya ni dia ikut suaminya balik Sabah.

Dia pun meninggalkan pesan agar saya lunaskan nazarnya itu buatkan jamuan itu (dia keluarkan belanja semuanya). Sayapun bercadang / menempah / membeli gulai seekor kambing itu dan berniat mewakili hasrat anak saya itu dgn memberitahu kepada penjual gulai kambing seekor itu; tanpa melihat dulu dan membeli seekor kambing yang masih hidup.

Ertinya saya membeli gulai kambing seekor (yang siap digulai). Saya rasa dah sah jual beli dan melaksanakan nazar anak saya dengan cara itu.

Segalanya saya sudah beritahu kepada kawan saya penjual @ penggulai siap seekor kambing tersebut. Insya Allah jamuan itu akan diadakan paggi lusa. Rabu.

soalan: adakah sah jualbeli gulai (bukan beli kambing hidup) itu dan adakah sah laksanakan nazar begitu.

wassalam. terima kasih jua.

Jawapan Ust Insaniah dalam TKO:

SalaamuLLaahi`alikum

Jika apa yang difahami dari lafaz nazar bermakna boleh menjamu hidangan yang dibeli dan ditempah, tidak mengapalah dilakukan seumpama itu.

Lafaz dan akad nazar dan sebagainya mengambil kira pemahaman biasa masyarakat

http://al-madrasah-al-insaaniyyah.blogspot.com/

Thursday, September 17, 2009

Dunia Buku: Negeri di Bawah Bulan - Berita Harian Jumaat 18/9/2009



Pautan Berita di Sini

Dunia Buku: Negeri di Bawah Bulan
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Kumpulan puisi Abdulhadi Muhammad muatkan 75 karya berteras Islam

KUMPULAN Puisi Negeri di Bawah Bulan karya Abdulhadi Muhamad, menghimpunkan 75 puisi segar bernafas Islam dengan memanfaatkan latar agama, metafora tajam, renungan alam dan iktibar sirah serta sejarah sebagai teladan, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai penyair mapan tanah air.

Abdulhadi memang dikenali penyair yang akrab dengan nafas Islam sehingga tidak hairan Negeri di Bawah Bulan itu mewah dengan aroma din seperti Sajak Sesudah Purnama yang menyusuri perjalanan pendek, tetapi bererti dari Ramadan ke satu Syawal kerana ia sarat dengan pengabdian kepada Allah yang mengizinkan pengembara melaluinya.

Perjalanan hidup manusia sama ada dalam alam yang sama atau perpindahan ke alam abadi sering mendapat perhatian penyair seperti yang diperlihatkan dalam puisi, Tunggu Sekejap dengan pemilihan diksi yang indah, ‘Berbicara selok jalan kelok pulang / kita tanya penghuni alam. Arah mana / mata angin ke daratan atau / kita rancang pelayaran baru / berbekal santun beralas rindu.

Puisi Kepada Bomoh Hujan yang dimulakan dengan baris ‘Per: Menangguhkan Hujan’ meminjam format surat rasmi, membuka dan menutup puisi dengan gaya humor, tetapi falsafah di tengah-tengahnya sarat dengan unsur alamiah serta kemanusiaan.

Unsur alamiah dan kemanusiaan itu sudah tentu bertolak daripada pemerhatian penyair terhadap alam yang sangat halus seperti yang diperlihatkan dalam puisi, Dua Puisi Tentang Kemarau dan Sajak Kaki Bukit yang menggunakan metafora tajam.

Ketajaman pemerhatian penyair dalam menggambarkan alam bukanlah satu-satu kekuatannya, sebaliknya deria sama dimanfaatkan terhadap sirah umat terdahulu khususnya kisah nabi dan rasul seperti puisi Jalan Bersimpang yang menyuguhkan pertembungan manusia Qabil dan Habil, puisi Ulul Azmi yang mengangkat mukjizat Nabi Ibrahim serta puisi Ashabul-Kahfi.

Bukan hanya sirah yang menjentik naluri kepenyairan, sebaliknya sejarah bangsanya turut menguasai rasa puitisnya dengan mempersoalkan pertarungan Jebat Tuah dalam Sajak Paduka kepada Jebat yang sebenarnya masih mencetuskan dilema kepada kita terhadap watak manakah yang paling benar.

Abdulhadi juga cenderung memanfaatkan format tulisan yang secara zahirnya tampak kaku, tetapi dihidupkan dengan pemilihan diksi dan penerapan falsafah hidup seperti yang dilakukannya pada puisi Telegram, sekali gus mengangkat tazkirah kehidupan yang sementara.

Rasa cinta pada negerinya itu bukan saja terserlah pada puisi yang judulnya diangkat sebagai tajuk buku, iaitu Negeri di Bawah Bulan, bahkan tumpah pada puisi, Ziarahilah Kelantan yang menggunakan gaya ‘propaganda’ dan boleh dipindahkan ke bentuk brosur pelancongan, sekiranya pihak berkuasa negerinya membuka mata terhadap dunia sastera di Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Meskipun penyair itu selesa di negerinya di Pantai Timur, pengalaman merantau sebagai penuntut ilmu di Kolej Islam Klang (KIK) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau kembali bermusafir ke ibu kota, menjentik rasa sensitiviti kepenyairan terhadap gejala sosial dan telatah manusia kota seperti puisi Nostalgia Ke XXXIV, Di Pipi Kiosk Ibukota dan Sajak Banjir Kilat.

Kadangkala Abdulhadi sedikit nakal dalam berpuisi, tetapi ia masih dibatasi rasa manusia yang pemalu seperti puisinya, Sajak Pulau Seratus yang bermula dengan baris ‘Tempat kita gugurkan cinta dan sperma itu/ perlahan-lahan subur memisah daratan, air kian/ marak dan berhempas dengan pulau-pulau.’

Sesekali penyair turut merentasi sempadan keselesaan sehingga puisinya seolah-olah menerawang untuk meninjau-ninjau kemanusiaan di dunia luar seperti dalam puisi, Dari Dengus Dendam Berpukau dengan Bayang-bayang, Pretoria, Asap Aparteid dan Kota Bam.

Rasa kemanusiaan di dunia luar itu sangat dalam terasa apabila penyair mengungkapkan puisi, Terima Kasih, Tuhan, sekali gus menyelak makna ketuhanan di sebalik malapetaka tsunami.

Dalam kembara abid ke Tanah Suci, Abdulhadi turut merakamkan pengabdian itu dalam bentuk puitis seperti puisi Sepohon Doa di Jabal Rahmah, Tidak Kelihatan Lagi dan Di Masjid Ji’ranah.

INFO: Negeri di Bawah Bulan

* Penyair: Abdulhadi Muhamad
* Penerbit: Pustaka Dewan Puisi (PDP)
* Tebal: 88 halaman
* Bintang: ***** (5)

Anak didik Maahad Muhammadi Lelaki

ABDULHADI Muhamad anak kelahiran Kampung Humalanas Takbai, Narathiwat, Selatan Thailand, pada 1954, menuntut di Maahad Muhammadi Lelaki (MML), Kota Bharu sebelum meneruskan pengajian ke Kolej Islam Klang (KIK) dan melanjutkan pengajian dalam bidang Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bakat kepenyairannya mula diasah di MML melalui wadah Badan Bahasa dan Persuratan Melayu (BBPM) yang turut melahirkan penyair Kelantan seperti Abham TR, Mazli Husma, M Yarisman Kelantan dan Abdul Hadi Yusof, manakala bakat itu semakin tajam di KIK apabila puisinya diulas di Utusan Zaman.

Di UKM, Abdulhadi menubuhkan Grup Pemuisi UKM (GPUKM) pada 1977 bersama-sama Azmi Yusoff, Nawawee Muhammad, Haron AH, Maswan Salleh dan A Rahman Ali, iaitu setahun selepas karya sulungnya, Terbaring Kehormatan, disiarkan di Mingguan Timur.

Latar belakang pendidikan yang akrab dengan pendidikan Islam dan bahasa Arab mendedahkannya kepada karya kesusasteraan Arab dan Islam, sehingga nuansa Islam tertumpah ke karya Abdulhadi sendiri.

Sebelum Negeri di Bawah Bulan, beliau sudah pun menerbitkan dua kumpulan puisinya, iaitu Ruang Dalam pada 1986 dan Racun Abadi (2001), selain puisinya turut tersiar di antologi puisi seperti Puisi-puisi Bangi pada 1978; Perubahan (1988); Sayang Ottawa Airnya Sejuk (1989); MengenangMu (1989); Di Atas Mimbar Merdeka (1989); Kamar Kecil (1991); Taman Bahasa Ibunda (1993); Nyanyian Kembara (1999) dan Sebening Sinar (2005).

Abdulhadi turut menyertai Ratib 1,000 Syair yang diterbitkan pada 2005, manakala puisinya turut termuat dalam Paluh yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Russia pada 1996.

Beliau yang turut menganggotai Penyajak Mutakhir Malaysia (Penyair); Pertubuhan Angkatan Penyair Kelantan (PAPK); Persatuan Penulis-penulis Kelantan (PPK) itu, pernah memenangi hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1985; Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 dan 1986/87 serta Sayembara Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena 1989.

Tuesday, September 15, 2009

Tengahari Rabu 26 Ramadhan: Email Buat Nazmi




abang dalam foto tu masih memakai tracheostormy kat bawah leher. itu alat bantuan pernafasan untuk guna 'mesin bantu' dulunya. kini dah off mesin tu alhamdulillah sejak dua minggu sebelum ramadhan tahun lalu. dr kata corong bantu pernafasan kat bawah leher tu permanent... takleh cabut lagi..bimbang kot jadi sukar bernafas semula. tak apalah syukur abang masih diberiNya hidup dan boleh berhubung semula dgn keluarga dan orang-orang lain.

abang dibawa emergency ke icu pada 15 sept 2007 keluar/discaj dari wad teratai HRPZ2 kota bharu pada 7 mac 2008. sehari sebelum PRU12 yang bersejarah tu. semalam 15 sept 2009 genap dua tahunlah abang diduga Allah dgn pengalaman tenat ni; mulanya disuspek pihak dr sebagai 'myasthenia gravis'; setelah ujikaji dan kurang seminggu enam bulan menginap di wad HRPZ2 kota bharu, tisu daging otot abang diambil untuk kajian di HKL, namun kemudiannya dibawa ke jepun dan taiwan, mereka buat result baru abang menanggung 'pompe disease' berkaitan keturunan! abang ingat dan selidik, takdak pula keturunan abang begini wallahu a'lam.

setahun lebih dah berada di rumah. beberapa bulan di rumah abang perlu ambil diet yang terhad serta bergerak lemah dan slow. selain ziarah dari sanak saudara dan rakan-rakan penulis, abang menulis sajak-sajak kembali. abang menjadi karib komputer dan internet.. berblog di http://tamupulaumelaka.blogspot.com,http://keroncongdariana.blogspot.com satu lagi di http://abdulhadi035333.multiply.com dan facebook. semua tu buat mengisi masa luang. abang masih dalam cuti kerja, belum bersara. tapi dah hantar borang nak pencen. kini boleh dah pandu kereta pagi ke gerai beli nasi berlauk, ke masjid dan memenuhi keperluan berdekatan.

dibantu sdr cikgu leo aws, abang menerbitkan kumpulan Negeri Di Bawah Bulan. seadanya. di situ ada sajak-sajak lama dan baru. ada cadangan jugak nak terbitkan sebuah kumpulan lagi...dah hantar pun ke dbp timur. kata pihaknya, akan ke dbp kl untuk pernilaian pihak sana. lagu mana cerita, Allah maha mengetahui.

kalu nak pilih foto abang untuk siaran nazmi tu, boleh sangat kalau pilih foto yang tak nampak alat kat bawah leher tu. nanti kalau ada gitu, apa pulak kata orang... heran dan luarbiasa. sedang abang orang biasa jaa cuma memiliki minat bersajak di samping tebukan di bawah leher gitu... salam hormat.

Santun Gedung Kartun


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

سلام عيدالفطر المبارك هجرة 1430

من العائدين والفائزين

معاف ظاهير دان باطين

جمفوت كرومه ساي هاري راي ننتي

سودارامو حج عبدالهادى بن محمد سكلوارك دكوت بهارو كلنتن دارالنعيم


entah macamana mereka jadi takut kepada kartun.

geger orang-orang kdn menyerang penerbitan sulung gk kita

tak kusangka cempedak jadi nangka gk jadi tersohor selepas tarikh

ulangtahun merdeka

patut mereka serang majalah-majalah lucah artis perosak remaja

atau rampas saja kdn jualan buah mangga berfoto seksi

jalil tak fikirkah dia sedang makan rezeki dosa

alangkah bersantun gk kita mencubit melalui lukisan rasa

bagai penglipurlara kesayangan istana


SYABAS GEDUNG KARTUN

Monday, September 14, 2009

Menziarah Kematian Di Jengka 7 Pahang.


menyusur lebuhraya berziarah ke jengka 7 pahang.

11 september 2009 - selepas jam 7.30 pagi kami bersembilan termasuk 2 si kecil bertolak dengan hyundai trajet menuju ke jengka 7 pahang. jam 10.30 malam sebelumnya kami mendapat berita kematian kakak ipar pn hjh aminah abdullah isteri kanda hj abdulhalim.

setelah melalui kuala berang, lebuh raya pinggir bandar almuktafi billah trengganu terus menyusur membelah ladang sawit hingga tiba bukit goh pahang. aku pernah acapkali ke bt goh dulu semasa berkhidmat di smv alor akar kuantan. banyak perubahan setelah 20 tahun lebih kutinggalkan sedikit jasa di situ, 6 tahun juga.

setelah bandar maran kami lalui lebuh raya lama belok kanan masuk simpang jengka dan tiba jengka 7, kami disambut oleh anak-anak almarhumah kak bani, kak lily, kak ja dan lain-lain termasuk saudara mara yang tiba awal dari kota bharu. kami tidak sempat mengiringi jenazah kak nah, jenazah sudah turun dari rumah.. disembahyangkan selepas solat jumaat di masjid jengka 7 dan dikebumikan di tanah perkuburan di situ. Allahummaghfirlaha warhamha. moga almarhumah diletakkan pada maqam orang baik-baik.

kanda abdulhalim jelas sugul dan aku menumpang rasa 'kehilangan' itu. kak nah merasai agak lama kesan diabetes. dia menanggung kepenatan hingga menemui ketenangan tersendiri malam jumaat ramadhan tahun ini. ta'ziah buat kanda abdulhalim dan anak-anak. aku sendiri lama tidak bertemu mata dengan kak nah, rasa-rasa 3 tahun kebelakangan. namun anak-anak beliau beberapa kali menziarahku yang juga keuzuran.

selepas solat asar kami menemui kanda abdulhalim mohon kembali ke kota bharu. salam mohon maaf dan pesanan agar bersabar kami tinggalkan. melalui jalan yang sama kami bertolak dan singgah berbuka puasa di r & r bandar baru cheneh. bergerak semula selepas solat qasar dan jamak taqdim. di pekan kuala berang ahmad farhan mengambil steering kenderaan dari azman yang kelihatan letih mengantuk. kami tiba di rumah jam 1.20 pagi sabtu 12.09.2009. alhamdulillah sejahtera dan segalanya selamat.

hak muslim ke atas muslim yang lain ialah menjawab salam, mengucap 'yarhamukallah' /menjawab bersin saudaranya, menziarah pesakit dan menziarah kematian / mengiringi jenazah ke perkuburan.


Saturday, September 12, 2009

Tilawah Smpena Ramdhan OKU Penglihatan...

Amat jahatlah manusia yg punya penglihatan,
tetapi melihat apa yang dilarang.

Lebih berbahagialah mereka yang bertilawah
dengan jari-jemari meraba ayat-ayat Ilahi,
huruf-huruf braille membantu lisannya berbunyi
betul makhraj dan bagus tajwidnya
mengisi Ramadhan menggarap pahala berganda.

Wednesday, September 9, 2009

Menggapai Lailatul Qadar 10 Akhir Ramadhan?

Menggapai Lailatul Qadar

1. Keutamaan Malam Lailatul Qadar

Allah Ta'ala berfirman, (ertinya) "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan (Lailatul Qadar) itu? Malam kemuliaan (Lailatul Qadar) itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (QS. Al-Qadr : 1-5)

Dan pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, iaitu takdir selama setahun. Allah Ta'ala berfirman, (ertinya) "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS. Ad-Dukhan: 3 - 6)

(baca lagi di sini.......)

Monday, September 7, 2009

Kenapa Pertikai Hudud Allah?

Selain enggan mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah agar sujud kepada Adam a.s, makhluk iblis bertindak sombong / berlagak besar diri maka iblis menjadi kafir. 'Abaa wastakbara wakaana minalkaafiriin '. Sahih iblislah makhluk Allah yang pertama ingkar dan derhaka kepada Penciptanya, Al-Khalik itu.

Manusia selaku hamba-Nya, (' Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menjadi hamba kepada-Ku'- mafhum firman) lebih wajar mentaati semua perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Orang yang tidak mengerjakan perintah Allah adalah penderhaka, jadi kufur. Orang yang melanggar larangan-Nya juga adalah penderhaka, jadi kufur. Apa hukum pula kepada orang yang tidak mahu kepada hukum Allah (hududullah), penta'wil/peragu kepada hukum-hukum-Nya, penggalak maksiat, pelindung kepada orang lakukan maksiat /jenayah dan pemimpin / orang-orang yang mempersenda hukum-hukum Allah???
Pendapat Ustaz Azhar Idrus juga boleh dijadikan iktibar:



Wednesday, September 2, 2009

Sedozen Hari Ramadhan Telah Berlalu

Kini kita berada dalam zon maghfirah-Nya. Lebih luas dan mudah. Atur hisaban pada
kesal sebelum diri dihisab di alam kekal. Sedozen siang dan sedozen kelam kita dilunasi
waktu. Usia berganjak lagi menuju mati. Berlalu sejuta keluh pun, sedikit pahala lebih dosa
itu sudah pergi bersama hari dan minggu. Kita masih bersibuk tanpa pernah pilu, hujung hayat
terasa jauh. Kewafatan benar kian rapuh.

Akan Dikau kami sembah, akan Dikau kami mohon pertolongan. Duhai Pembolak-balik hati, tetapkan hati kami di atas aturan dan taat kepada-Mu.








Sasterawan Sabah Amil Jaya Kembali Ke Rahmatullah.

Amil Jaya Kini Telah Tiada

KOTA KINABALU: Negeri Sabah kehilangan seorang lagi putera terbaiknya dalam bidang bahasa dan sastera selepas pemergian Sasterawan Negeri, Datuk Haji Ismail Abbas,70 atau lebih dikenali sebagai Amil Jaya di Kampung Tenghilan Tuaran, lewat petang Rabu.
Beliau merupakan mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sebelum bersara pada tahun 1994. Amil Jaya dilahirkan pada 5 November 1939 di Kampung Pirasan Kota Belud.Selepas tamat darjah lima di GPS Tenghilan, beliau dilantik sebagai guru di Sekolah Sukarela Rakyat (NVS) Kampung Wangkod, Tenghilan, SRK Selupoh Tuaran sebagai guru besar (1966-1968) dan kemudian memasuki Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur (1969-1970),Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim Perak (1970-1972).

Selepas itu, Ismail Abbas menjadi pensyarah Di Maktab Perguruan Gaya sehingga 1974 sebelum menyertai Biro Kesusasteraan Borneo Cawangan Sabah hingga tahun 1976.

Kemudian apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah diwujudkan di Sabah, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penyelidik, Ketua Unit Sastera, Timbalan Pengarah dan kemudian sebagai Pengarah DBP Cawangfan sabah pada tahun 1994.

Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1982.
Ismail Abbas lebih dikenali sebagai Amil Jaya dalam lapangan kebahasaan dan kesusasteraan, Beliau mul menulis pada tahun 1958 dan menghasilkan puluhan cerpen, serta beberapa buah novel antaranya Cerah (DBP:1076), Ngayau (DBP:1979) dan Bagaton (DBP:1987).
Beliau juga menghasilkan tiga buah novel remaja Yanti Si Anak laut (1986), Herwan Anak Kembara (1989) dan Periuk Kera Raksasa (1992). Kumpulan Puisi dan cerpennya terhimpun dalam Antologi Suatu Amanah dan kumpulan cerpen Berhati Nabi Berwajah Ibu (1972) dan Haram (1969).
Sasterawan ini merupakan Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah (1990) dan penerima SEA Write Award (1992) dari Kerajaan Thailand, Tokoh Pujangga dari UPSI dan menerima anugerah darpada Kerajaan Negara Brunei Darussalam kerana jasanya dalam Kesusasteraan Melayu.
Dalam gerakan bahasa dan sastera, beliau terlibat dalam Persatuan Penulis Sabah (PERPESA), Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) dan pernah menjadi Yang Di Pertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA) selain menjadi Ahli Jawatankuasa Penuh Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Jenazah akan dikebumikan esok di tanah kelahirannya di Kota Belud