Friday, December 7, 2012

SEMBILANG

Bukan hanya tahu menyengat

sesekali ia memintas dan memikat

Tidak merempuh melulu ruang lain
dilihatnya langit tinggi, tanah sekitar
berumput segar ada marga berlegar

Menerusi pintu hatinya ia tahu 
bantuan firasat dan bijaksana
hasratnya kini berikhtiar
membunuh celaru

Tidak mahu munafik,
ia faham memilih
habuan dan kawanan di lubuk jernih
ia pintar berbahasa, di lubuk keruh
lenggoknya tidak menyinggung
lenggoknya mencabar mendung

Berenang memeta
gerak ke depan
ia sembilang
merentas amaran
ia sembilang
meredah dendam   
tahu menyengat apa jua

Iklim kiri dan kanan
pernah mengurnianya selesa
ia bergerak ria melunas usia
namun rukun hidup ini
melengkapkan ujian
musuh memintasnya
memugar harapan.

25 Nov 2010
Putrajaya.

 

Thursday, December 6, 2012

PANTAI SERI TUJUH

Aku terhenti separuh jalan

menterjemah lagun dan desir angin
menatap kesan rel sut hala hidup

Senja sabtu kita tidak jadi ke pantai
gigi air masih berkucah lembut
bersama anak-anak ketam
mengejar bayang

Rumah api di sana tegar melayan masa
bagai saraf kita melarut ke dalam usia

Aku terhenti separuh diam
samar sayup daunan ru gugur
jasmani akan diusung menghala kubur.

8 Jun 2009   
             

RAUB, KUALA KUBU BARU

Hutan hujan tropika

Tanah air lajuran lebuh raya
Sopeng pipi bukit runtuh mengganggu kita

Gerutu  jalan berbatu
Mengejutkan lena si kecil
Kebun getah di kiri ikut berlari laju

Sempit laluan di depan
Terhimpit kebun durian, subur
Membingkas ketuanan lagi tidur

Hijau pohonan doa
Sayup taakulan jati diri
Luruh kesal di kaki Titiwangsa

Selekoh tajam menikam
Jantung warga sekereta
Jeram  air mengalir  berbuih putih mata

Petang kita merungkas
Bahu Bukit Fraser nyaman
Lelaki Scot itu merencana kemewahan

Rumah jam dan pejabat pos lama
Mercu tanda lokasi tidak lagi sentosa
Pernah hangat oleh candu dan judi tokeh Cina

Senja merangkak turun bersama
Kita gagal menangkap nyaring eriang
Bergelunsur  terlihat biru banjaran  

Kekabu awan berberai
Berarak memasuki malam kelabu
Tunjang hajat merentas Kuala Kubu Baru

Sesudah dimusnah banjir
Pekan ini berlokasi di puncak bukit
Empangan berjeluak melampaui tadbir

Katanya sebuah masjid dan kuil Buddha
Sejahtera dari kemusnahan tragedi
Pekan Ampang Pecah menjadi bandar tua

Tuhan, Engkau merajah kuala
Kubu terbina lalu mudah runtuh
Penghuni terselamat dari mala geruh

Raub, Kuala Kubu Baru
Jalan bagai ular besar kena palu
Simpang-siur itu menggocah paru-paruku.

15 Disember 2010,
Pejalanan Salik.

 

Friday, April 20, 2012

POHON HUJAN





hujan berhamburan sekata
langit yang bocor siang
bahasa basah di mana-mana

jalan raya bagai kuala
kenderaan pada perlahan
ombak meredah perasaan

hujan berderu menghurung
daki hidup berhanyutan
sesekali tersental murung.

21.4.12