Wednesday, February 25, 2009

ISU PPSMI: Pak Samad, " Saya Adalah Sasterawan Rakyat "


A SAMAD SAID RELA GELARAN SASTERAWAN NEGARA DITARIK BALIK

Mohd Nor Yahya ~~HarakahDaily.

KOTA BHARU, 25 Feb (Hrkh) - Dato' A Samad Said tetap meneruskan perjuangan mendaulatkan bahasa ibunda biar pun gelaran Sasterawan Negara yang diberi kerajaan ditarik balik.

"Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan.

"Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.

"Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 petang tadi.

Malam ini beliau dijangka berceramah bersama Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, tokoh akademik Prof Dr Shahrir Mohd Zain dan anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah dalam siri ceramah Mansuhkan PPSMI di Padang Perdana.

A Samad yang dikenali dengan panggilan Pak Samad terkenal dengan penulisan yang kritis mendedahkan sebelum ini beliau sering menutup mulut dalam pelbagai isu yang dilakukan kerajaan.Image

"Tetapi selepas saya ke Mekah dan bertaubat, kini saya akan bercakap benar dalam segala hal, biar pun ia amat pahit di pihak kerajaan Barisan Nasional," katanya. Beliau juga berkata, penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar subjek Matematik dan Sains jelas melanggar akta pelajaran Malaysia kerana tidak membantu peningkatan penggunaan bahasa Melayu.

"Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai bahasa Melayu yang saya perjuangkan, tidak kira di pentas politik mana sekali pun.

"Setakat ini hanya PAS yang menganjurkan ceramah untuk menjelaskan kepincangan PPMSI dan sebab itulah saya memilih platform ini untuk menjelaskan kepada seluruh masyarakat," katanya.

Menurut beliau umurnya sekarang 76 tahun dan sudah sampai masanya memperjuangkan bahasa ibunda sebelum ia hilang di muka bumi.

Dr Shahril yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Mansuh PPMSI (GMP) berkata, terdapat dua badan induk yang kini lantang menentang kerajaan dalam isu tersebut iaitu GMP dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena). Kata beliau Gapena telah menyaman kerajaan kerana meneruskan dasar PPSMI.

Manakala GMP pula akan mengadakan demontrasi aman di hadapan Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mengumpul 100,000 rakyat. "Demontrasi tersebut akan diadakan pada 7 Mac ini dengan melibatkan pelbagai kaum dan NGO," ujar beliau.

Katanya juga tiada sebab untuk meninggalkan bahasa Melayu dalam mata pelajaran Matematik dan Sains kerana di negara-negara maju, mereka terus menggunakan bahasa ibunda. Misalnya dalam anugerah nobel fizik, kebanyakannya diterima oleh negara-negara yang mengamalkan bahasa ibunda seperti Perancis dan Jerman.

Selain itu kata beliau negara juga akan hilang kreativiti sendiri sekiranya menggunakan bahasa Inggeris dalam setiap aspek kehidupan. Beliau juga berkata sebelum ini media harian tidak berani memainkan isu bantahan tokoh-tokoh akademik terhadap PPMSI, sedangkan bantahan itu berterusan dilakukan 13 NGO.

"Kini lima tahun diamalkan PPMSI, selepas Pakatan Rakyat serta NGO lantang membantah, barulah media harian membuat liputan agak meluas," katanya.

Menurutnya terdapat enam kajian dibuat pusat tengajian tinggi terhadap pelaksanaan PPMSI dan kesemuanya mendapati banyak kelemahan yang timbul. Katanya juga PPMSI menafikan hak bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kerana lama kelamaan ia akan hilang dengan sendirinya dari bumi Malaysia.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah, Ketua Pemuda PAS, Mohd Zaki Ibrahim dan Penolong Pengarah GMP Suhaizan Kaiat. - mj _

Thursday, February 5, 2009

SASTERAWAN NEGARA ARENAWATI MENINGGAL DUNIA


Tengahari 25 Januari 2009, aku menerima SMS dari adikku Norina dari KL mencatatkan: Arenawati dah meninggal dunia akan disembahyangkan di Masjid Wilayah lepas zohor nanti, dikebumikan di perkuburan Kiara. Demikian saya diberitahu Anwar Ridwan. SMS itu kata adik dia terima forward dari Juma'anoh Abd Bunga. Terus kubaca 'innaalillah.... dan surah al-Fatihah buat almarhum Pak Arena.

Seawal kubaca novel karya Pak Arenawati Sasterawan Negara itu ialah semasa di Tingkatan Empat Kolej Islam Kelang dalam tahun 1971. Novel 'GELORA' karya almarhum itu adalah sebagai hadiah dari Badan Bahasa da Persuratan Melayu KIK atas kejayaan sebuah puisiku 'Tentang Manusia Kita' pada sayambara penulisan anjuran BBPM KIK bagi tahun tersebut. Selepas itu kami 'terpaksa' menatap dan mengkaji 'SANDERA' buah tangan Pak Arena untuk memenuhi sylibus Kertas kesusasteraan Melayu pepeksaan Sijil Pelajaran Malaysia 1972.

Novel-novel karya Sasterawan Negara Almarhum Pak Arenawati memang bergelora dengan kisah-kisah kehidupan manusia di samudera hidup. Almarhum adalah novelis ulung selaku pejuang yang berjuang dengan prinsip yang kental, berani dan berpijak di alam nyata. Keunggungan beliau dengan idea-idea yang realistik memberi impak yang wajar menjadi ikutan massa Melayu di Nusantara ini. Semoga jasa Almarhum dalam penulisan novel Melayu ada meninggalkan 'sumbangan/kesan terbaik' bagi dunia pemikiran Melayu umumnya.


Berita ~ Sumber :Kayacipta Sdr Zabidin Ismail/Karyaawan Perak.

Ahad Januari 25, 2009

Sasterawan Negara Arenawati Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara 1988, Muhammad Dahlan Abdul Biang atau lebih dikenali sebagai Arenawati meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara dekat sini selepas waktu Zohor.
Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta pada pukul 12 tengah hari untuk solat jenazah. Al-fatihah.
sumber: Mstar online.

HAJI SAZALEE YAACOB MENDAHULUI KITA KE RAHMATULLAH.

Penyair dan penggiat sastera tanah air, Haji Sazalee Hj Yacob, 47, telah kembali ke rahmatullah pada Ahad, 18 Januari 2009 jam 6.50 pagi akibat serangan jantung di rumahnya di Kg. Badak Mati, Kota Bharu, Kelantan. Allahyarham baru 11 hari pulang dari menunaikan ibadat haji.

Semasa hayatnya, Sazalee merupakan fasilitator penghayatan sastera dan budaya di bawah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN, aktif dalam kegiatan sastera semenjak tahun 80-an lagi. Sebagai seorang penulis Allahyarham banyak menghasilkan puisi dan pernah memenangi pelbagai sayembara penulisan dan deklamasi puisi termasuk di peringkat kebangsaan.

Puisi- puisi beliau terkumpul dalam antologi 'Huruf Tenggala' buku puisi perseorangan dan beberapa antologi bersama penulis-penulis terkenal negara. Puisi-puisinya juga sering menjadi pilihan peserta dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan seperti Lanskap Sebuah Taman Merdeka di Halaman Kembang, Sepatu Ini, Sejahtera Selamanya Warga Tua dan Setelah Menjadi Burung.

Antara puisi Allahyarham yang memenangi anugerah ialah Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampung yang meraih Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2003. Selain itu puisinya turut memenangi Hadiah Sastera KEMUDI (1994), hadiah utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (HSUM-PB 1994), Hadiah Puisi Kebangsaan (1995) dan hadiah saguhati HSUMB(1995).

Selain aktif dalam penulisan puisi, Allahyarham rajin menjalankan aktiviti sastera lantaran sebagai Setiausaha Majlis Teater Kelantan dan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hanipah Nok, 44, seorang guru dan empat anak yang berusia 16 hingga 22 tahun. Al Fatihah.

Seingatku, Allahyarham Sazalee juga pernah sekali menziarahiku di Wad Teratai HRPZ2 sewaktu aku terlantar selama hampir 6 bulan di hospital tersebut. Dia kelihatan sedikit uzur ketika itu dan memberitahuku yang beliau juga kurang sihat. Kini dia mendahului kita semua kembali ke hadhrat Allah, semoga ibadat haji yang dilaksanan 11 hari sebelum itudikurniakan haji mabrur, diampuni, dirahmati dan ditempatkan pada maqam yang tinggi bersama mereka yang soleh. Amin.