Thursday, February 5, 2009

HAJI SAZALEE YAACOB MENDAHULUI KITA KE RAHMATULLAH.

Penyair dan penggiat sastera tanah air, Haji Sazalee Hj Yacob, 47, telah kembali ke rahmatullah pada Ahad, 18 Januari 2009 jam 6.50 pagi akibat serangan jantung di rumahnya di Kg. Badak Mati, Kota Bharu, Kelantan. Allahyarham baru 11 hari pulang dari menunaikan ibadat haji.

Semasa hayatnya, Sazalee merupakan fasilitator penghayatan sastera dan budaya di bawah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN, aktif dalam kegiatan sastera semenjak tahun 80-an lagi. Sebagai seorang penulis Allahyarham banyak menghasilkan puisi dan pernah memenangi pelbagai sayembara penulisan dan deklamasi puisi termasuk di peringkat kebangsaan.

Puisi- puisi beliau terkumpul dalam antologi 'Huruf Tenggala' buku puisi perseorangan dan beberapa antologi bersama penulis-penulis terkenal negara. Puisi-puisinya juga sering menjadi pilihan peserta dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan seperti Lanskap Sebuah Taman Merdeka di Halaman Kembang, Sepatu Ini, Sejahtera Selamanya Warga Tua dan Setelah Menjadi Burung.

Antara puisi Allahyarham yang memenangi anugerah ialah Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampung yang meraih Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2003. Selain itu puisinya turut memenangi Hadiah Sastera KEMUDI (1994), hadiah utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (HSUM-PB 1994), Hadiah Puisi Kebangsaan (1995) dan hadiah saguhati HSUMB(1995).

Selain aktif dalam penulisan puisi, Allahyarham rajin menjalankan aktiviti sastera lantaran sebagai Setiausaha Majlis Teater Kelantan dan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hanipah Nok, 44, seorang guru dan empat anak yang berusia 16 hingga 22 tahun. Al Fatihah.

Seingatku, Allahyarham Sazalee juga pernah sekali menziarahiku di Wad Teratai HRPZ2 sewaktu aku terlantar selama hampir 6 bulan di hospital tersebut. Dia kelihatan sedikit uzur ketika itu dan memberitahuku yang beliau juga kurang sihat. Kini dia mendahului kita semua kembali ke hadhrat Allah, semoga ibadat haji yang dilaksanan 11 hari sebelum itudikurniakan haji mabrur, diampuni, dirahmati dan ditempatkan pada maqam yang tinggi bersama mereka yang soleh. Amin.

No comments:

Post a Comment