DIA ENGGAN MEMBELA
Enggan membela sabit jenayah dirinya itu,
dia mendakwa tak mahu berunding melepas laku
Mana mungkin dia bersetuju melolos tipudaya
membebaskan diri padahal dia sering berkeras
melawan jenayah, salah guna kuasa, rasuah
dan menyorok tindakan penjawat di serambi kuasa
Lebih baik dia meninggalkan rumah dan keluarga
untuk beberapa tahun bersendirian di sel penjara
sambil membuang celaka dan menolak sial bala
Dia tahu diri sering dirundung masalah
bergelendangan di lorong sukar di celah payah
hidup bergocah rumit bagai tidak terelak,
merempat di kaki dunia bagai bocah hilang harga
Pernah diberikan amaran, jika berlemas aniaya
terserah dirinya sendiri dan usah mengharap
kemanusiaan yang ditinggalkan membela nasibnya
Remuk hati orang lain akibat tindakannya
tidak betah dipedulikan sama ada nama baik
atau durjana, tiada pilihan mengekal kehendak
dirinya seperti sering dilaung-laungkan sejak lama.
Penyelesaian maruah itu selalunya sementara
dia lagi menggalas beban,menjual harga diri
seumur hayat tidak sanggup membantah hati sendiri
Ditahan awal tahun lalu – dia mengaku bersalah -
memecah masuk peradaban, mengugut akta,
mencuri waktu, merampas berani,
mengancam damai dan nyawa peribadi
Dibenarkan ikat jamin atas segala pertuduhan
namun tiada siapa tiba mahu. yang arif
menetapkan tarikh menjatuh hukum
selamanya akan terkurung dalam bersalah
menghantui sehingga ajalnya bergelisah
Itu keputusan amat berat terpaksa dipilih
walau ragu kewarasannya menerima,
dia mahu berpegang janji dan menatap nyata
tanpa sepatah kata. bicara tidak lagi diperlukan
kebisuan lebih mahal malah air mata jadi sia-sia
tanggungan berat itu akan tetap dipikul rela.
16 Mei 2009,
No comments:
Post a Comment