Thursday, December 6, 2012

RAUB, KUALA KUBU BARU

Hutan hujan tropika

Tanah air lajuran lebuh raya
Sopeng pipi bukit runtuh mengganggu kita

Gerutu  jalan berbatu
Mengejutkan lena si kecil
Kebun getah di kiri ikut berlari laju

Sempit laluan di depan
Terhimpit kebun durian, subur
Membingkas ketuanan lagi tidur

Hijau pohonan doa
Sayup taakulan jati diri
Luruh kesal di kaki Titiwangsa

Selekoh tajam menikam
Jantung warga sekereta
Jeram  air mengalir  berbuih putih mata

Petang kita merungkas
Bahu Bukit Fraser nyaman
Lelaki Scot itu merencana kemewahan

Rumah jam dan pejabat pos lama
Mercu tanda lokasi tidak lagi sentosa
Pernah hangat oleh candu dan judi tokeh Cina

Senja merangkak turun bersama
Kita gagal menangkap nyaring eriang
Bergelunsur  terlihat biru banjaran  

Kekabu awan berberai
Berarak memasuki malam kelabu
Tunjang hajat merentas Kuala Kubu Baru

Sesudah dimusnah banjir
Pekan ini berlokasi di puncak bukit
Empangan berjeluak melampaui tadbir

Katanya sebuah masjid dan kuil Buddha
Sejahtera dari kemusnahan tragedi
Pekan Ampang Pecah menjadi bandar tua

Tuhan, Engkau merajah kuala
Kubu terbina lalu mudah runtuh
Penghuni terselamat dari mala geruh

Raub, Kuala Kubu Baru
Jalan bagai ular besar kena palu
Simpang-siur itu menggocah paru-paruku.

15 Disember 2010,
Pejalanan Salik.

 

No comments:

Post a Comment