Monday, September 4, 2017

SAJAK dalam Antologi Puisi Hati PENYAIR Negeri Kelantan 2017














BUKIT YONG. PENGKALAN KUBOR

Merentas siang negeri kekasih 
landai lebuhnya tanpa bukit-bukau
kicau alam marga dikir segala
lagu liriknya kita kenal memuji
hijau merimba ciptaan Ilahi

Rindu siang malam terhadap halaman
tempat jatuh lagi dikenang, tuan
melambai dalam redahan cuaca
melambai memanggil pulang sehala
tanpa soal tanpa tanya kembali kita

Selamat tiba di Tanah Serendah
Bukit Yong ada sirah Puteri Sa’dong
berhalaman nun di Gunung Ayam
lebih empat kurun silam ada sumpah:
“ Kutinggalkan rakyat, negeri dan kuasa
segalanya. Akan kupulang ke asal,
tanpa pulang ke Kelantan hatta
tujuh keturunan!”

Pasir Putih kita singgah berbeli
para sahabat jiran sedesa kita mesrai 
yang hilang dan berpulang kita ingati
yang tua kita hormati yang muda bimbingi
usah sibuk menurut angin dan angan
Kedai Menanti, Bukit Jawa lautan padi

Tasik Pauh, Melor susuri ke Pasir Tumbuh
subur di sini selain pemondokan ilmu,
kesibukan jalan dan perumahan baru
istana Al-Sultan serta rumah mewah
kekayaan peribadi kita tidak alah
sibuk Kota Bharu perlukah singgah?

Kala hujan turun deras dan lama
kita keluar melepas penat jiwa, maaf
banjir tidak lagi terjadi – sungai ditebat
deltanya terbangun indah dan hebat
ada pasaraya ada terminal kembara
hitunglah, rasakan setiap malamnya

Gertak memanjang merentas sungai,
Pasir Pekan membangun dan maju;
hendak berdondang kami tak pandai,
kembali Kelantan terlepaslah rindu. 

Kota Mahligai Kubang Labu
pahlawan besar disemadi sejarah
derhaka hanya kepada penjajah -
digantung songsang Tok Janggut kita
di kala hujan renyai, air mata pun gugur
menyempit rasa - debar penuh kesal
hingga bila keadilan dibiarkan tidur

Bandar Tumpat sesekali peluit keretapi
Mel ekspres tiba, di sini sut relnya
Atau mahukan destinasi ke ibukota;
Pantai Seri Tujuh tetap menggamit
berkucah lagun medan memancing
semusim sekali kemarau, wau bertanding

Jalan dekat cepat ke batas negeri
laluilah Simpang Empat, Bunohan
Jong Bakar ada Buddha Duduk
mercu tanda integriti sama penduduk  
pelancong berfoto ramai di desa Siam
hidup mencari makan sejak lama silam

Melalui baruh padi Morat luas
lagu ‘ ala ewa, ewa bule, teghaju tiga’
Kelantan FM bercanda di udara petang
dikir barat mengimbau seni kita, tuan
Pak Ngah Deraman lembut melagu,
musafir di perantauan lagi merindu

Kita punya masa ke birai sempadan
Pengkalan Kubor menawar murah jualan
serba aneka barang keperluan keluarga
bebas cukai, kaum wanita rajin berniaga
panorama unik membetik hati pengujung
feri ke negara jiran berderu mengharung

Lagu kita nyanyikan di perantauan itu
berada di mana jua ketika berjauhan
‘ Tunggu Tunggu Tak Kelik ‘ dikir Megat Nordin
menggaru sukma menambah taut kasih
sayang benar akan tanah bertuah ini
negeri berbudaya, rakyat cinta ukhrawi. 

7 Julai 2011
Kota Bharu..







No comments:

Post a Comment