BUKIT
YONG. PENGKALAN KUBOR
Merentas siang negeri kekasih
landai lebuhnya tanpa bukit-bukau
kicau alam marga dikir segala
lagu liriknya kita kenal memuji
hijau merimba ciptaan Ilahi
Rindu siang malam terhadap halaman
tempat jatuh lagi dikenang, tuan
melambai dalam redahan cuaca
melambai memanggil pulang sehala
tanpa soal tanpa tanya kembali kita
Selamat tiba di Tanah Serendah
Bukit Yong ada sirah Puteri Sa’dong
berhalaman nun di Gunung Ayam
lebih empat kurun silam ada sumpah:
“ Kutinggalkan rakyat, negeri dan
kuasa
segalanya. Akan kupulang ke asal,
tanpa pulang ke Kelantan hatta
tujuh keturunan!”
Pasir Putih kita singgah berbeli
para sahabat jiran sedesa kita
mesrai
yang hilang dan berpulang kita
ingati
yang tua kita hormati yang muda
bimbingi
usah sibuk menurut angin dan angan
Kedai Menanti, Bukit Jawa lautan
padi
Tasik Pauh, Melor susuri ke Pasir
Tumbuh
subur di sini selain pemondokan
ilmu,
kesibukan jalan dan perumahan baru
istana Al-Sultan serta rumah mewah
kekayaan peribadi kita tidak alah
sibuk Kota Bharu perlukah singgah?
Kala hujan turun deras dan lama
kita keluar melepas penat jiwa, maaf
banjir tidak lagi terjadi – sungai
ditebat
deltanya terbangun indah dan hebat
ada pasaraya ada terminal kembara
hitunglah, rasakan setiap malamnya
Gertak memanjang merentas sungai,
Pasir Pekan membangun dan maju;
hendak berdondang kami tak pandai,
kembali Kelantan terlepaslah
rindu.
Kota Mahligai Kubang Labu
pahlawan besar disemadi sejarah
derhaka hanya kepada penjajah -
digantung songsang Tok Janggut kita
di kala hujan renyai, air mata pun
gugur
menyempit rasa - debar penuh kesal
hingga bila keadilan dibiarkan tidur
Bandar Tumpat sesekali peluit
keretapi
Mel ekspres tiba, di sini sut relnya
Atau mahukan destinasi ke ibukota;
Pantai Seri Tujuh tetap menggamit
berkucah lagun medan memancing
semusim sekali kemarau, wau
bertanding
Jalan dekat cepat ke batas negeri
laluilah Simpang Empat, Bunohan
Jong Bakar ada Buddha Duduk
mercu tanda integriti sama
penduduk
pelancong berfoto ramai di desa Siam
hidup mencari makan sejak lama silam
Melalui baruh padi Morat luas
lagu ‘ ala ewa, ewa bule, teghaju
tiga’
Kelantan FM bercanda di udara petang
dikir barat mengimbau seni kita,
tuan
Pak Ngah Deraman lembut melagu,
musafir di perantauan lagi merindu
Kita punya masa ke birai sempadan
Pengkalan Kubor menawar murah jualan
serba aneka barang keperluan
keluarga
bebas cukai, kaum wanita rajin
berniaga
panorama unik membetik hati
pengujung
feri ke negara jiran berderu
mengharung
Lagu kita nyanyikan di perantauan
itu
berada di mana jua ketika berjauhan
‘ Tunggu Tunggu Tak Kelik ‘ dikir
Megat Nordin
menggaru sukma menambah taut kasih
sayang benar akan tanah bertuah ini
negeri berbudaya, rakyat cinta
ukhrawi.
7 Julai 2011
Kota Bharu..