Tuesday, November 24, 2009

Kerja Bidang Kewartawanan Perlu Benar Takutkan Allah

Banyak jenis pekerjaan bagi manusia menperolehi pendapatan sebagai sumber rezeki. Pekerjaan itu ada yang memerlukan tenaga empat kerat, keupayaan bakat dan ilmu; ada yang memerlukan kebijaksanaan minda. Bidang kewartawanan dan penulisan kreatif adalah suatu pekerjaan atau profesion yang baik sebagai penyebar maklumat serta ilmu pengetahuan. Beroleh pahala besar bagi mereka sekiranya menjalankan tugas menurut keredhaan Allah. Tugas para rasul dan nabi a.s adalah penyampai utusan / mesej suci dari Tuhan kepada manusia yang mengandung aturan dan pengajaran untuk kesejahteraan hidup.
Namun jika menyalahgunakan bidang kewartawanan dan penyampaian berita demi merosakkan agama dan masyarakat, maka akan tersebarlah fitnah yang boleh merosakkan minda, memburukkan suasana serta memecahbelahkan umat. Berdosa besar jika kerja kewartawanan menjadi aset buat penyebaran berita atau rencana demi menjatuhkan maruah seseorang, memecahkan jemaah Islam atau mengajak umat membenci pemimpin yang baik...(sila baca...)

Sengaja mereka-rekakan perkara yang tidak benar adalah perbuatan mungkar dan terkutuk. Menjadi batu api atau pengadu-domba adalah kerja orang munafik. Manakala menjadi penyebar fitnah pula, al-Quran menjelaskan ianya lebih dahsyat dari membunuh! Jadi semua kita hendaklah takutkan Allah, takutkan terjerumus dosa dan bertakwa seumur.

Hujjatul-Islam, Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa Takwa ialah Takut kepada Allah swt dalam erti kata melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Hanya orang yang bertakwa yang akan sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam tindakan sehariannya, tanpa mengira sama ada secara sunyi atau terang-terangan. Seseorang yang takutkan Allah, dia memiliki rasa khuatir, cemas atau ketakutan sekiranya mulutnya mengucapkan perkataan yang mendatangkan murka Allah. Sehingga dia menjaganya dari berdusta, ghibah (bergosip), perkataan yang berlebih-lebihan dan tidak bermanfaat. Dia selalu berusaha agar lidahnya senantiasa basah sibuk dengan berdzikir kepada Allah, dengan bacaan Al Qur’an, dan muzakarah ilmu.

Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa yang dapat menjaga (menjamin) untukku mulut dan kemaluannya, aku akan memberi jaminan kepadanya syurga”.(HR. Al Bukhari).
Rasulullah saw juga bersabda:
“Tanda sempurnanya Islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu (perkataan) yang tidak berguna”. (HR. At Tirmidzi).
Kemudian dalam riwayat lain Baginda bersabda, ertinya:
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah ia berbicara yang baik atau (lebih baik) dia diam”.(HR. Al Bukhari dan Muslim).

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah agar mendapat kesejahteraan dan rahmatNya serta terlepas dari nerakaNya.

No comments:

Post a Comment