Adar rakyat mestikah ada raja?
Mustahil Raja tanpa rakyat.
Tidak mustahil rakyat tanpa Raja.
Sekalipun Raja ada daulat
mustahil selama-lamanya Raja berdaulat
jikalau Raja tidak caknakan rakyat
jikalau Raja mewah rakyat merempat
jikalau titah Raja tidak dihormat rakyat
jikalau bitang Raja gugur tidak bertempat
jikalau payung Raja memayungi maksiat.
Ada bangsa ada Raja
Ada raja kerana ada bangsa
Ada bangsa bukan kerana ada Raja
Mustahil Raja menolak bangsa
Tidak mustahil bangsa menolak Raja.
Ada bangsa ada bahasa.
Semua bahasa dilindungi bangsanya,
tetapi tidak demikian bahasa Melayu
walau tiap 31 Ogos merdeka dilaung
nasib bahasa itu hingga saat ini
ibarat keranda hampir diusung.
Hebat Melayu hanya dalam peribahasa.
Raja ibarat api rakyat ibarat puntung.
Mustahil membara api tanpa puntungnya.
Raja itu permata rakyat sebentuk cincin.
Mustahil berkilau permata tanpa cincinnya.
Maka antara mereka
Siapa memerlukan siapa?
NAWAWEE MOHAMMAD
Maktab Perguruan Besut,
Terengganu.
1988..
No comments:
Post a Comment