Thursday, August 10, 2017

TIGA Sajak Lama.Ketika Ziarahi Sabah




PORING

Bersama degup melintas jambatan gantung
kicau margasatwa desing eriang pagi
rimba sedang dingin diremang embun

Panas air yang mengalir dan terbendung
hati mula cair mendengar lebat bicaramu
hijau kelabu pohon-pohon merimbun
pohonan doaku tetap subur menanti
berimbang  restu di dalam diri

Bilah cahaya mencerah bumi
Poring mesrai kita menggenap syukur
Poring membancuh rasa badan sekujur
istirehat di sini lebih baik dari berundur.

Disember 2004.


KABAR PUNYA MAKNAWI

Banjir tanpa hujan di desaku jauh
melimpah melalui gagang telefon
membasah bimbang seketika
berdesah angin timur merusuh

Tetapi di sini Pekan Ranau, panas
disember mengering jalan dan kakilima
tamu yang hingar aku mula bundar
menatap kabar dengan jiwa gobar

Dari tanah merah, sudah merata banjir
ada suara berkisah perihal iklim tanah air
seorang rakan menyeberang membantu
seorang karibnya hilang dimamah waktu

Air mata menjadi gerimis di Ranau ini
tengahari terik mengikis riang kami,
Allah melihat segala kesilapan diri
bahawa teguran itu menyalur maknawi.

Disember 2004


SELEPAS REHLAH

Kelam yang bengap
tidak kelihatan gagak dan
helang tadi bersuara
sayup ujung laut

Daun-daun hasrat
pohon-pohon doa beratur
menyusuri alun-alun petang
panjang dan mengharap
kau kembali pulang.

10 jun 2009
Tapanji.

 

Tuesday, August 1, 2017

SESEKALI PULANG



SESEKALI PULANG

Merentas siang negeri kekasih 
belitan lebuhraya lalui perbukitan
kicau alam marga dikir segala
lagu liriknya kita kenal memuji
hijau merimba ciptaan Ilahi

Rindu siang malam buat halaman
tempat jatuh lagi dikenang, tuan
melambai dalam redahan cuaca
melambai memanggil pulang sehala
tanpa soal tanpa tanya kembali kita

Peluit keretapi di Gua Musang
sejak dulu ekspresnya masuki jajahan;
penawar hati lamanya di tempat orang
sekadar rindu, tetap ingatkan Kelantan.

Kini tidak menguning padi di sawah
saujana luas direntas jalan baru,
tumbuh rumah-rumah mewah
pinggir lebuh raya ke luar daerah
semua berlumba didesak cemburu

Kemana ciap padi, punai, belalang
mesrai rumpai sesekali jadi tahanan,
kemana puyu, sepat, keli haruan  
paya tali air tinggal keruh kontang
sedap ikan darat kini jadi kenangan

Gertak memanjang merentas sungai,
Pasir Pekan membangun maju;
hendak berdendang kami tak pandai,
kembali Kelantan terurailah rindu. 













Kota Bharu membangun perlahan
para pelancong membeli barangan
kraftangan batik songket dan tempaan
seni budaya silat tari, gasing rebana ubi 
keletah dialeknya siap merendah diri

Tidak lupa berangkatlah ke ‘market’ kami
Pasar Siti Khadijah membingar peraih
Unik berseri benda manis kuih-muih
kaum hawa berjualan, memikat hati
buahan tempatan segeralah pilih 

Sungai negeri alirnya masih perlahan
menuju kuala dasarnya sentiasa dalam;
ingatkan kami silaturrahim tetap pertahan
rindu suasana membangun bersama Islam

25 Jun 2011,
Kota Bharu, Kelantan.

Tuesday, January 10, 2017

RAKAN-RAKAN PENYAIR Mengisi Gema Membelah Gema 6 Sempena HARI PUISI 1981

Abham T.R   
REBAB

suaramu kian sayu
tubuhmu kian lesu
uratmu kian lemah
tenagamu kian hilang
nafasmu berlalu
lalu kau dikubur di Muzium
tanpa upacara dan penghormatan.

kelantan
safar 1401

Azmi Yusoff
SYAIR KEPADA TUHAN

Allahuakbar
maha segala yang sempurna Engkau
bimbinglah aku ke ladang-hidayahmu
aku ingin berbaring di ranjang-rahmatmu

Allahurabbi
maha segala yang lengkap Engkau
iringlah aku ke jalan syufaatmu
aku ingin berguling di taman-nikmatmu

Allahuakbar
Allahurabbi
padamkanlah bara-raguku
marakkalah unggun-rinduku
kepadaMu, semoga
jarak akan semakin dekat
cinta akan semakin hangat
- aku kepadamu.

1978.










Darma Mohammad
FRASA

taufan membelah rimba
memutarkan rama-rama
sehingga berdebu
sejarah kehilangan jejak
hidup tak bernama lagi
nesan tak bertanda

ada setitik darah 
yang luntur
di sudut sehelai daun
yang gugur.

pasir mas 81.

Leo A.W.S
PERJALANAN HATI

sayap matahari terhampar
di atas kebun lada hitam
bahangnya meresap
ke dalam darahku

antara daun rimba
dari pucuk-pucuk lada hitam
mereka terhinggut-hinggut
mencari hatiku yang hilang.

saribas
20 jun 1980 














Pyan Habib
BELUKAR

seribu maslah
dengan seribu pasrah
hadir dan hilang
hadir dan berkembang

TAMAN

maaf
kalau aku tersentuh
susumu yang penuh

SURAT CINTA

kata-kata berhamburan
bagai bunyi air terjun
dan
berahi haiwan di hutan

MISTERI

Kau
         kau 
jangan bunuh ku

4 oktober 80
anak alam. 

 

Monday, January 2, 2017

Sajak Tahun Baru 2017

YANG BENAR-BENAR BETUL

Ambil dan rasai Suci-Nya
Susur dan cari Kalam -Nya
Baca dan tatap Kurnia-Nya
Suara dan lagukan Indah-Nya
Tatap dan faham Tutur-Nya
Simpan dan jaga Pesan=Nya
Amal dan tekuni Perintah-Nya
Pohon dan suburkan Rahmat-Nya.


Itu jua yang betul-betul benar.

3 Januari 2017M // 4 Rabiul-Akhir 1438H