Wednesday, January 22, 2014

SEHINGGA BILA














 
Waktu mengepung kita
dengan kirai-kirai kelam
termangu terdesak
ke birai resah
mentari lagi pucat
air langit menitis
bertunas pelangi
melengkung
sebam warnanya,
separa bulat itu
merungkup hasrat.

15.2.2011
                                                                                    Jalan JPJ,Panji.

POHON KEAMPUNAN



 











Membenih dari titih pesaka
Temurun menyambung zuriat
Adam buangan dari syurga,
Sulur akarnya merata bumi
Punya umbi punya jalar
Dibajai diairi subur
Mengisi hayat
Hingga kubur
Penamat.
Akar
Banirnya
Mengukuh
Perdu batang
Hingga berdosa
Sebelum dewasa
Banyak lagha dan khilaf
Segak berdahan beranting
Sombong lupakan kejadian lalu
Dhaif di kehinaan jasad serta budi.
Mahunya di perjalanan singkat ini
Daun-daun kelabu yang luruh itu
Buahannya berputik, meranum
Dan kuntum bunga mewangi
Menggenap sosok pohon
Menerus hidup kurnia
Dihinggap lagi dosa
Parasit sang nafsu.
Diri mahu pulang
Kembali  balik
Ke Allah Satu.
Keampunan
Kupohon
Ya Rabbi,
Amiin.
 
27 Rabiul-awal 32                               

Thursday, January 9, 2014

ZIARAH 4

Hujung tahun menawarkan 
percutian, istirehat atau ziarah
membawa bekalan kurniaan Allah

Penerbangan rentas Asia
Kota Bharu-Kota Kinabalu 
bagai tali dan ikatan
warna bangsa terhubung
kukuhkan pautan silaturrahmi  

Kehijauan sepanjang masuk
pintas rel masih kejap
menuju Beufort atau Tenom
wangi pahit kopinya
memerangkap cinta kita

Di situ dewan pengasingan, 
tiada lagi rengkek kuda,
hilang galak keli dan
tanpa keruh kolam di pinggiran
bot usang terdampar sepi

Dia Jaafar  pesara DO
yang mengharap keadilan
bertapak di tanah ini.

Malawaring Villa
Sabtu 30 Nov 2013

Wednesday, October 30, 2013

LA TAHZAN



 
Renyai pagi
di Kota Bharu,
ada orang menangis
tanpa keluar
air mata.
 
Setiap inci
Digugat- ganggu
ada bulan terguris
tanpa sedar
kau terluka.
 
Sya’ban 28/34

Saturday, October 26, 2013

LAPORAN PENILAIAN PERADUAN ESEI DAN PUISI BANDAR BARU BANGI Tahun 2012 ...Nostalgia.



Tuesday, 3 July 2012
Laporan Penilaian Peraduan Esei Dan Puisi Bangi Bandar Ilmu, Perisytiharan Hari Ilmu Dan Penerbitan Buku
Majlis di atas pada malam ini diadakan di Bangi Golf Resort dihadiri tamu istimewa Tan Sri Profesor Dr. Kamal Hassan Mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, para-para Penulis Esei dan Puisi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang dan Ahli MPKj, saudara Dr. Azizi Omar Pensyarah UKM, Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Encik Abdul Latif Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, Encik Azlan Nordin Ketua Kampong Kampong Bahagia Bangi, Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kampong Bangi, AJK Sekretariat Bangi Bandar Ilmu dan para jemputan yang keseluruhan berjumlah 60 orang. Majlis dikendalikan oleh Juruacara saudara Abu Bakar Alias yang mengumumkan pembukaan majlis dengan bacaan doa oleh saudara Azemi Ahmad diikuti dengan jamuan. Selepas jamuan Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar menyampaikan ucapan dan ulasan

Bahagian Puisi
Seramai 16 pemuisi telah menghantar karya masing-masing. Setelah meneliti kami memilih.
      1) Bangi Mengukur Tamadun
Penulis merakam kenangan semasa menuntut di UKM secara alamiah dan intuitif. Beliau menghantar harapan tinggi Bangi menjadi Bandar Ilmu terkenal. Penyair (Abdulhadi bin Muhammad) adalah penyair terkenal tanahair yang pernah memenangi dua kali Hadiah Sastera Malaysia dengan puisi Uirr Charr dan Di Meja Makan 1986. Dengan puisi `Bangi Mengukur Tamadun` Panel berpendapat Abdul Hadi Muhammad layak menerima Hadiah Pertama bernilai RM1,000.
2. Siklus Simfoni Alam
Adalah hasil kreativiti Penulis Badariah binti Arbin dari Sandakan Sabah. Beliau mengungkapkan puisinya secara syahdu kental dengan keimanan di dalam mendengar dan menghayati kemerduan ayat-ayat suci Al-Qur`an. Indah puisinya dan tersentuh kalbu menghayatinya. Oleh kejauhan tempat penyairnya tidak dapat hadir bersama di dalam majlis. Puisi Siklus Simfoni Alam berkelayakan menerima Hadiah Puisi Kedua dengan nilai RM800.
 
3. Untaian Kasih


Oleh Syarifah Duratul Kameena binti Syed Ahmad Kamil melakarkan pengalaman halus dan intuitifnya di dalam mendepani, membaca dan menekuni ayat-ayat Al-Qur`an. Dalam suasana kudus dan halus jiwa, beliau memohon hidayah dan pertunjuk dari Allah dan syafaat dari Rasulullah yang diturunkan kepadanya Al-Qur`an. Puisi Untaian Kasih berkedudukan Tempat Ketiga dengan Hadiah RM500.
Lima puisi pilihan untuk Sagu Hati (RM100 setiap satu)
            I. Menjahit Sayap-Sayap Ilmu oleh Muhammad Aminul Khalil bin Zaini (Ampang Hilir).
           II. Pantun Kecintaan Kepada Allah Dan Rasul oleh Siti Salwa binti Samigin UKM (Bandar Baru Bangi).
           III. Syair Kecintaan Pada Ilmu oleh Ruhaiza bt. Abdullah (Putrajaya).
           IV. Puisi Buat Kekasih Allah oleh Mohd Ferdaus bin Mohd Alwi (Kunak, Sabah – tidak hadir)
           V. The Happiness oleh Mohd Hafidz Md. Samsudi (Taman Seri Kenari, Kajang).


Monday, October 14, 2013

GENOCIDE 2


Bayangkan kau meninggalkan semua milik melarikan diri ke suatu wilayah asing.
Bayangkan kau melarikan diri, takut kau dan orang kesayanganmu dibahayakan.
Bayangkan kau mahu menjauhi penindasan tetapi akhirnya masih tertindas di sini.
Bayangkan asal pelarianmu bertujuan lepas bebas sedang kautahu hanya satu kebebasan masih wujud.
Meninggalkan susah serta sukar orang lain menempatkan diri di sempadan dari dalam, harapan mendapatkan sarang dan hidup lebih baik.
Engkau kini pelarian tegar, pencari suaka atau manusia tidk diizin tinggal lama di mana-mana.
Engkau mahu kabarkan betapa mencabut resah di sini buat menggapai masa depan lebih indah.
Malah, hak begini telah dinafikan atas nadimu berdenyut di negara asalmu sendiri penuh rindu.
Demikian kisah mereka penuhi sepanjang siang pahit duka pelarian yang kini di negeri buangan.

peringatan
25 10 2004

SEHINGGA BILA


Waktu mengepung kita
dengan kirai-kirai kelam
termangu terdesak
ke birai resah
mentari lagi pucat
air langit menitis
bertunas pelangi
melengkung
sebam warnanya,
separa bulat itu
merungkup hasrat.

15.2.2011
Jalan JPJ,Panji.