Wednesday, November 9, 2016

Sebuah Sajak Loghat Kelate-Pattani dan terjemahannya.


KHEJA BUAT OGHE KITO

Tanoh mole’ cuaca mole’
baghuh kita teta’ subo
lembu kuba, taname timun
bende gaghe masin ke hawa
loba’ sawi, ubi, sayo-mayo

leba’ sengoti buah-buah kayu
deghiye, dokong, mokte lokoh
bughung titey, ngoba’ jambo
kkuko, aye seghamo,
sekali sekalo ttandeng betaruh
kkupo ghama sungguh
sukanya hati ana’ buah

Oghe-oghe sepade alek sano
selepah Golok nga Kkale Kubo
Mundo’ sapa ko Buke’ Bungo
oghe Maley jate ttino suka nnega
caghi utong wa’ belanja keluarga
ada muto ada kheta buleh baya
jjadi mewoh jjadi kayo


sekali sekala bua’ onar
seludu’ dadah nga pey kudo
kena 39B mandatori
budak muda buleh pekdah
tok dey mmikey jjadi bala
jjeghi’, nyesal tak sudah.

Jun 2011. Kota Bharu Kel. 



  terjemahan!


KERJA BUAT ORANG KITA


Tanah elok cuaca baik
baruh kita tetap subur
lembu kerbau, tanaman tembikai
bendang garam masinkan udara
lobak sawi ubi dan sayur-sayuran

Lebat benar buah-buah kayu
durian dokong rambutan longkah
burung ketitir, merbah jambul
tekukur, ayam serama
sekali-sekala bertanding bertaruh
berkumpul ramai sungguh
sukanya hati anak buah

Orang-orang sempadan sebelah sana
selepas Golok dan Pengkalan Kubor
Munduk sampai ke Bukit Bunga
Orang Malaysia lelaki perempuan
              suka berniaga
cari untung buat menyara keluarga
ada motor ada kereta boleh bayar
menjadi mewah menjadi kaya

Kadang-kadang membuat salah
seludup dadah dan pil kuda
kena 39B mandatori
orang muda beroleh malang
tidak sempat berfikir menjadi bala
menangis, menyesal tidak kesudahan.

Jun 2011
Kota Bharu, Kelantan






Sajak-sajak ABDULHADI MUHAMAD dalam antologi puisi SEMPADAN ABADI (PPK 1999)


SAJAK ORANG HUMALANAS

Sewenangnya kau menyiksa mengheret
diamku dengan serampang tajam. Kegundahan 
asing itu amat melara dan terbuku tidak
tentu punca. Kakimu bergegas meninggalkan
rusuh yang lama kita tanggung

Akankah kaututup negeri ini dengan kabut
tanpa angin dari tanah besar menghalau
gusar. Akankah kautinggalkan daerah
membesar ini, sedang kami merangkak
memintas angan-angan dari satu arah
ke satu arah lain; dari satu waktu ke waktu
lain

Baiknya kita musnahkan kisah-kisah luka
agar tidak terkeang zaman lama lampau.

Kelantan DN.


PUISI DI KEDAI ROTI

Mewahnya Tuan Bakery di kaunter
ramah perempuan mengunjuk pesanan
bau yang manis dan lemak
lemari kaca telus cahaya
utuh mempamer bungkusan
koko teh dan kopi berjenama
jem serikaya dan mentega

Di satu penjuru rakusnya api
ban pembakar roti terbaru
di kakilima si kurap meolak
tong sarat roti buangan
hangat ban dan si kurap itu
simpati teringatkan Somalia
ususnya tandus melilit jantungku.

Kota Bharu, Kelantan DN.

DIKIR MESRA ANAK BUAH

i
Katanya asal di sini -
perkebunan datuk ayah kami
bukan dusun raja mahsul negeri
cuma rimba kelam hutan berduri

Dua bersaudara menyelusuri aman
sewaktu laskar Siam jenuh berburu
hati-hati berani mula berkeliaran
seratus setengah tahun berlalu

Sungguh diseret semula salsilah
ceritanya kita disingkir sejarah
keturunan pemberani Kembayat Negara
campuran Islam Tanah Arabia

Memasuki Pattani bumi serba keramat
berguru melulu mengutip ilmu berkat
mengenal seteru mencela penjajahan
lalu bergopoh memindahkan tujuan 

ii
Memilih daerah ini
menebang tebas bentuk kampung
haluan hidup berlanjut kembali
tumbuh berkeluarga damai berlingkung

Bertanam sayur membesar serata
anak-anak buah menggauli kehidupan
sesenang sesusah dialami bersama
rezeki bertambah menyara kemesraan

Sungguh bererti menyempurnakan kehendak
menyusur balik detik-detik silam
betapa harmoninya jantung berdetak
mengimbas sejahtera pondok halaman

Merantau jauh ke pelosok tanahair
terbang si bangau menjelajah daratan
sesekali bersuaka mengunyah getir
di belakang kerbau tiada ditinggalkan.

Kg Belukar Pauh.



Tuesday, November 8, 2016

Sajak Dari Seberang: Penyair Wahyudi




SELAMAT HARI BURUH, MARSINAH.

baubau kemiskinan yang datang
dari loronglorong gelap di sidoarjo
adalah duri yang menusuk di setiap
langkah wanitamu. pekat asap
dari corongcorong pabrik
atau lisong mahal di celah bibir
pengusaha haloba
tidak selamanya mengabui tetes keringat
yang telah jatuh. mogok jalanan tidak ubah
seperti ritual pemujaan atas kebrengsekan
sang diktator. Maka kau tidak pernah
lelah untuk berdiri di antara jerit teriak
para demonstran.
Di bulan kelima di tahun paling galak abad itu
telah menjadi saksi. Bilur luka ditoreh di setiap inci kulitmu.
Tubuh kecilmu diinjak injak aparat bangsat;pengecut!
Amis darahmu mengalir seperti sungai parong yang kian lesu.
Di bulan kelima di tahun paling galak abad itu
mayatmu terkulai layu. Sesayu daundaun kering
yang gugur sebelum musim luruh bertamu.

WAHYUDI
*dalam kenangan Marsinah,
aktivis dan buruh (1969-1993)

Sajak-sajak ABDULHADI MUHAMAD dalam antologi puisi RATIB 1000 SYAIR - GAPENA 2005


DI ATAS SEJADAH

Kupacak tiang lima khusyuk ikhlas
Tuhan, kesemai benih doa ke hadhrat-Mu
nanti tumbuh kebaikan dunia akhiratku
pohon jauhimperit siksa-Mu

Hamparan indah lembut
bagai tadahan mengumpul makna sejati
tingkah hidup sepanjang umur; baldunya
memaku langkah seketika menggenap
hukum perintah bahawa dinihariku ini
menyegarkan kepatuhan dan pengabdian
tengaharinya teguh berdiri 
petang usia memanggil pulang
tiba senja menepis dosa dan kelam nanti
memanis iman

Tuhanku, 
rukuk sujud ini penyerahan segala
paduan tangan ini menyata hasrat hamba.

16 Muharram.


MUTIA SABIHAH

Seketika memilih waktu terbaik
melaksana pertumbuhan sepohon hayatmu
hitam rambut ke hujung tirus kaki
sekujur anugerah Ilahi. Jantung bunga
akan berkembang mendongak maya

Anak sunti lahir Januari
jangan kaupukau mentari, nanti rumah kaubina
bagai damar akan cair dipaksa kemarau atau
kembang teratai di kolam bimbang termala

Mutia, pastikan kaufaham kejadian lelaki
jenuh jatuh ke ruang tersela jam memenuh
kau ambillah Hikayat Zulaikha
mengoyak malu atau Rabiatul'Adawiyah
perempuan perindu itu

Memasuki kebun khuldi nanti
di sisi seorang lelaki suamimu
jangan kaurasuk akalnya dengan pengidaman
pilih sanfg lelaki yang tahu hati-hati atau
baiknya kaukejut dengkurnya ke tubir hijab
mengintai Tuhanmu.

Kota Bharu.

Sajak-sajak ABDULHADI MUHAMAD Dari Antologi PUISI BAHARU MELAYU 1961-1986 (DBP1990)



PANTAI BATU HITAM

Dari sebuah bot pendatang
yang memaku berandamu
menyusur aku 
menemukan keasingan 
antara keindahan
pasir, batu-batu hitam

Riak ombak deru angin 
mematikan kicau burung 
dan ilham perenung
lewat lama berpadu satu
seperti kabus petang
berdakapan
dengan laut tak pernah tenang

Sabut daun-daun dan rumput kejang
mengindah pandang saujana
digerak angin samudera 
laksana perahu nelayan
sekali ketara sekali menghilang
menangkap rezeki dan kebimbangan

Pantai Batu Hitam 
jika batumu itu bertunjang
ke usus laut mempertemukan keraguan
setelah rahsia tidak lagi rahsia

Jangan tanya bagaimana punca
rinduku menjelma tiba-tiba
kerana seluruh kesempurnaanmu jua
sesekali tidak semunya nyata

Pantai Batu Hitam
engkau pengejek penyindir
mencemburui kedamain ingatan
dengan sepoi-sepoi angin lucumu
sehingga seluruh kudrat kemanusiaanku
terpaku dan tertipu
seperti jinaknya ikan-ikanmu
menyelinap di sebalik batu

Pantai Batu Hitam
seolah-olah engkaulah musuh baik hati itu
membenar aku berlalu
tapi kauserang bertalu-talu.

Besrah,
September 1979.
Dewan Sastera, Disember 1979 


URIR CHAR

Badai yang dikirim-Nya ke darat ini berpusar
dengan petaka. benua bersembunyi tertulis kini
tintanya hitam mengidam airmata
Tuhan, Kaubangunkan lautan mengkhabarkan 
           murka apakah 
seluruh pekik terbenam di dasar raung
bumi tiba-tiba berkabung:
ada sentak terakhir di Urir Char!
ada nafas tergelepar di Urir Char!

Mimpi berlambak pada kabut, gemuruh menyesak
nyawa yang hanyut. Tenggelam reput, menghitam 
daerah neraka basah ini melemas keluhan
memulas harapan
: hingga ingatan seluruh, mengetuk haluan
  Bahtera Nuh

Air merempuh dari lantai gelora menerpa lewat 
jendela, halilintar mencengkam jeritan;
seekor ular besar menjerut leher Urir Char
tangan menggapai kaki melonjak nafas terdesak
sang maut menebarkan jala rusuhnya dari
pedalamn perutnya, ular besar itu lagi
mengerat lingkar di rusuk Urir Char.

Mei 1985
Dewan Sastera , November 1985.