Maaf sdr Rosli K. Matari, aku masukkan dua sajakmu di sini.
Sajak-sajak yang baik tidak sepatutnya kau sepah-sepahkan merata. Sang anai-anai tidak pernah ambil tahu apakah RM, sajak-sajak atau sarapan harian mereka.
ROSLI K. MATARI
AKU
Tidak ada manusia lain
di pantai ini,
kecuali diriku.
Kususur pasir panjang
sambil kubayangkan
aku ini Adam.
Hari inilah aku tercipta
dan pertama kali melihat
laut, langit, dan pohon.
Kelmarin aku belum ada
tidak terdengar olehku
bunyi ombak itu.
Tidak terasa olehku
sentuhan angin ini,
bertiup di mana-mana.
Bahkan aku tidak tahu
kulit kerang dan rhu
pernah wujud di sini.
Tuhan,
aku percaya Kau Pencipta
kerana aku baru ada.
31 Dis 1997
ROSLI K. MATARI
KUNANG-KUNANG
(Buat anakku Sharihah)
Dahulu, di sini ada belukar
Menghijaukan usia
Seakan-akan hidup ini
Masih panjang
Dan akan selalu indah.
Daun-daun kuning, perang
Merah, dan coklat
Sesekali hijau
Luruh selepas tengah hari,
Menambah cantik pada alam.
Sesekali angin menderu,
Membawa bujuk dan janji
Agar aku tidak pergi.
Girang di sini, sebebas sungai,
Sehingga jauh ke hujung tanjung.
Sayup sedikit, hutan bukit
Juga sesekali melambai-lambai
Memanggil aku datang
Mengisi malam, mengerdip cahaya
Agar sunyi juga berhak menjadi indah.
Kini, tidak ada lagi si pokok berembang
Cengkerik menangis
Belukar rata, bukit dikikis
Papan tanda berderet-deret, megah tercegat
Burung hantu itu, tiada pulang lagi.
Ke manakah aku harus pergi?
3 Okt 09
(belum pernah tersiar)
lama kawe tak baca sajak matari dan sajak demo.merayau dalam blog ni menimbulkan rasa nak menulis semula.kawe nak tulis dalam blog sajak yang banyak terbiar.insyaalah,salam
ReplyDelete