LELAKI TUA DAN BERPENYAKIT
Setelah dirinya dituakan oleh usia
dan diuzurkan pula oleh penyakit
lelaki itu seringkali berpindah
dari rumah derita ke hospital sengsara
Semasa terlantar di rumah
dia disuapkan kasih sayang
oleh isterinya yang sabar
semasa terlantar di hospital
dia disuntik ubat dan rawatan kemanusiaan
oleh juru rawat dan doktor pakar
Sudah bertahun-tahun
tubuhnya lumpuh, hatinya luluh
sudah bertahun-tahun
dia menyimpan impian untuk sembuh
Pada suatu subuh
sedang azan berkumandang oleh mua'azin
tercabutlah nyawa dan roh
dari jasad lelaki itu
maka berakhirlah penderitaanya di dunia
yang pernah dialami bersama
oleh isterinya. jururawat dan doktor
Kesabaran isterinya teruji lagi oleh kematian
sementara kepakaran jururawat dan doktor
telah dibataskan oleh kekuasaan Allah.
WADI LETA S.A
Kota Bharu, Kelantan.
KISAH MENULIS: PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH
5 years ago
No comments:
Post a Comment