Thursday, September 17, 2009

Dunia Buku: Negeri di Bawah Bulan - Berita Harian Jumaat 18/9/2009



Pautan Berita di Sini

Dunia Buku: Negeri di Bawah Bulan
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Kumpulan puisi Abdulhadi Muhammad muatkan 75 karya berteras Islam

KUMPULAN Puisi Negeri di Bawah Bulan karya Abdulhadi Muhamad, menghimpunkan 75 puisi segar bernafas Islam dengan memanfaatkan latar agama, metafora tajam, renungan alam dan iktibar sirah serta sejarah sebagai teladan, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai penyair mapan tanah air.

Abdulhadi memang dikenali penyair yang akrab dengan nafas Islam sehingga tidak hairan Negeri di Bawah Bulan itu mewah dengan aroma din seperti Sajak Sesudah Purnama yang menyusuri perjalanan pendek, tetapi bererti dari Ramadan ke satu Syawal kerana ia sarat dengan pengabdian kepada Allah yang mengizinkan pengembara melaluinya.

Perjalanan hidup manusia sama ada dalam alam yang sama atau perpindahan ke alam abadi sering mendapat perhatian penyair seperti yang diperlihatkan dalam puisi, Tunggu Sekejap dengan pemilihan diksi yang indah, ‘Berbicara selok jalan kelok pulang / kita tanya penghuni alam. Arah mana / mata angin ke daratan atau / kita rancang pelayaran baru / berbekal santun beralas rindu.

Puisi Kepada Bomoh Hujan yang dimulakan dengan baris ‘Per: Menangguhkan Hujan’ meminjam format surat rasmi, membuka dan menutup puisi dengan gaya humor, tetapi falsafah di tengah-tengahnya sarat dengan unsur alamiah serta kemanusiaan.

Unsur alamiah dan kemanusiaan itu sudah tentu bertolak daripada pemerhatian penyair terhadap alam yang sangat halus seperti yang diperlihatkan dalam puisi, Dua Puisi Tentang Kemarau dan Sajak Kaki Bukit yang menggunakan metafora tajam.

Ketajaman pemerhatian penyair dalam menggambarkan alam bukanlah satu-satu kekuatannya, sebaliknya deria sama dimanfaatkan terhadap sirah umat terdahulu khususnya kisah nabi dan rasul seperti puisi Jalan Bersimpang yang menyuguhkan pertembungan manusia Qabil dan Habil, puisi Ulul Azmi yang mengangkat mukjizat Nabi Ibrahim serta puisi Ashabul-Kahfi.

Bukan hanya sirah yang menjentik naluri kepenyairan, sebaliknya sejarah bangsanya turut menguasai rasa puitisnya dengan mempersoalkan pertarungan Jebat Tuah dalam Sajak Paduka kepada Jebat yang sebenarnya masih mencetuskan dilema kepada kita terhadap watak manakah yang paling benar.

Abdulhadi juga cenderung memanfaatkan format tulisan yang secara zahirnya tampak kaku, tetapi dihidupkan dengan pemilihan diksi dan penerapan falsafah hidup seperti yang dilakukannya pada puisi Telegram, sekali gus mengangkat tazkirah kehidupan yang sementara.

Rasa cinta pada negerinya itu bukan saja terserlah pada puisi yang judulnya diangkat sebagai tajuk buku, iaitu Negeri di Bawah Bulan, bahkan tumpah pada puisi, Ziarahilah Kelantan yang menggunakan gaya ‘propaganda’ dan boleh dipindahkan ke bentuk brosur pelancongan, sekiranya pihak berkuasa negerinya membuka mata terhadap dunia sastera di Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Meskipun penyair itu selesa di negerinya di Pantai Timur, pengalaman merantau sebagai penuntut ilmu di Kolej Islam Klang (KIK) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau kembali bermusafir ke ibu kota, menjentik rasa sensitiviti kepenyairan terhadap gejala sosial dan telatah manusia kota seperti puisi Nostalgia Ke XXXIV, Di Pipi Kiosk Ibukota dan Sajak Banjir Kilat.

Kadangkala Abdulhadi sedikit nakal dalam berpuisi, tetapi ia masih dibatasi rasa manusia yang pemalu seperti puisinya, Sajak Pulau Seratus yang bermula dengan baris ‘Tempat kita gugurkan cinta dan sperma itu/ perlahan-lahan subur memisah daratan, air kian/ marak dan berhempas dengan pulau-pulau.’

Sesekali penyair turut merentasi sempadan keselesaan sehingga puisinya seolah-olah menerawang untuk meninjau-ninjau kemanusiaan di dunia luar seperti dalam puisi, Dari Dengus Dendam Berpukau dengan Bayang-bayang, Pretoria, Asap Aparteid dan Kota Bam.

Rasa kemanusiaan di dunia luar itu sangat dalam terasa apabila penyair mengungkapkan puisi, Terima Kasih, Tuhan, sekali gus menyelak makna ketuhanan di sebalik malapetaka tsunami.

Dalam kembara abid ke Tanah Suci, Abdulhadi turut merakamkan pengabdian itu dalam bentuk puitis seperti puisi Sepohon Doa di Jabal Rahmah, Tidak Kelihatan Lagi dan Di Masjid Ji’ranah.

INFO: Negeri di Bawah Bulan

* Penyair: Abdulhadi Muhamad
* Penerbit: Pustaka Dewan Puisi (PDP)
* Tebal: 88 halaman
* Bintang: ***** (5)

Anak didik Maahad Muhammadi Lelaki

ABDULHADI Muhamad anak kelahiran Kampung Humalanas Takbai, Narathiwat, Selatan Thailand, pada 1954, menuntut di Maahad Muhammadi Lelaki (MML), Kota Bharu sebelum meneruskan pengajian ke Kolej Islam Klang (KIK) dan melanjutkan pengajian dalam bidang Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bakat kepenyairannya mula diasah di MML melalui wadah Badan Bahasa dan Persuratan Melayu (BBPM) yang turut melahirkan penyair Kelantan seperti Abham TR, Mazli Husma, M Yarisman Kelantan dan Abdul Hadi Yusof, manakala bakat itu semakin tajam di KIK apabila puisinya diulas di Utusan Zaman.

Di UKM, Abdulhadi menubuhkan Grup Pemuisi UKM (GPUKM) pada 1977 bersama-sama Azmi Yusoff, Nawawee Muhammad, Haron AH, Maswan Salleh dan A Rahman Ali, iaitu setahun selepas karya sulungnya, Terbaring Kehormatan, disiarkan di Mingguan Timur.

Latar belakang pendidikan yang akrab dengan pendidikan Islam dan bahasa Arab mendedahkannya kepada karya kesusasteraan Arab dan Islam, sehingga nuansa Islam tertumpah ke karya Abdulhadi sendiri.

Sebelum Negeri di Bawah Bulan, beliau sudah pun menerbitkan dua kumpulan puisinya, iaitu Ruang Dalam pada 1986 dan Racun Abadi (2001), selain puisinya turut tersiar di antologi puisi seperti Puisi-puisi Bangi pada 1978; Perubahan (1988); Sayang Ottawa Airnya Sejuk (1989); MengenangMu (1989); Di Atas Mimbar Merdeka (1989); Kamar Kecil (1991); Taman Bahasa Ibunda (1993); Nyanyian Kembara (1999) dan Sebening Sinar (2005).

Abdulhadi turut menyertai Ratib 1,000 Syair yang diterbitkan pada 2005, manakala puisinya turut termuat dalam Paluh yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Russia pada 1996.

Beliau yang turut menganggotai Penyajak Mutakhir Malaysia (Penyair); Pertubuhan Angkatan Penyair Kelantan (PAPK); Persatuan Penulis-penulis Kelantan (PPK) itu, pernah memenangi hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1985; Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 dan 1986/87 serta Sayembara Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena 1989.

No comments:

Post a Comment