Wednesday, September 2, 2009

Sasterawan Sabah Amil Jaya Kembali Ke Rahmatullah.

Amil Jaya Kini Telah Tiada

KOTA KINABALU: Negeri Sabah kehilangan seorang lagi putera terbaiknya dalam bidang bahasa dan sastera selepas pemergian Sasterawan Negeri, Datuk Haji Ismail Abbas,70 atau lebih dikenali sebagai Amil Jaya di Kampung Tenghilan Tuaran, lewat petang Rabu.
Beliau merupakan mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sebelum bersara pada tahun 1994. Amil Jaya dilahirkan pada 5 November 1939 di Kampung Pirasan Kota Belud.Selepas tamat darjah lima di GPS Tenghilan, beliau dilantik sebagai guru di Sekolah Sukarela Rakyat (NVS) Kampung Wangkod, Tenghilan, SRK Selupoh Tuaran sebagai guru besar (1966-1968) dan kemudian memasuki Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur (1969-1970),Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim Perak (1970-1972).

Selepas itu, Ismail Abbas menjadi pensyarah Di Maktab Perguruan Gaya sehingga 1974 sebelum menyertai Biro Kesusasteraan Borneo Cawangan Sabah hingga tahun 1976.

Kemudian apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah diwujudkan di Sabah, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penyelidik, Ketua Unit Sastera, Timbalan Pengarah dan kemudian sebagai Pengarah DBP Cawangfan sabah pada tahun 1994.

Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1982.
Ismail Abbas lebih dikenali sebagai Amil Jaya dalam lapangan kebahasaan dan kesusasteraan, Beliau mul menulis pada tahun 1958 dan menghasilkan puluhan cerpen, serta beberapa buah novel antaranya Cerah (DBP:1076), Ngayau (DBP:1979) dan Bagaton (DBP:1987).
Beliau juga menghasilkan tiga buah novel remaja Yanti Si Anak laut (1986), Herwan Anak Kembara (1989) dan Periuk Kera Raksasa (1992). Kumpulan Puisi dan cerpennya terhimpun dalam Antologi Suatu Amanah dan kumpulan cerpen Berhati Nabi Berwajah Ibu (1972) dan Haram (1969).
Sasterawan ini merupakan Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah (1990) dan penerima SEA Write Award (1992) dari Kerajaan Thailand, Tokoh Pujangga dari UPSI dan menerima anugerah darpada Kerajaan Negara Brunei Darussalam kerana jasanya dalam Kesusasteraan Melayu.
Dalam gerakan bahasa dan sastera, beliau terlibat dalam Persatuan Penulis Sabah (PERPESA), Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) dan pernah menjadi Yang Di Pertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA) selain menjadi Ahli Jawatankuasa Penuh Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Jenazah akan dikebumikan esok di tanah kelahirannya di Kota Belud


No comments:

Post a Comment