Tuesday, November 8, 2016

Sajak-sajak ABDULHADI MUHAMAD Dari Antologi PUISI BAHARU MELAYU 1961-1986 (DBP1990)



PANTAI BATU HITAM

Dari sebuah bot pendatang
yang memaku berandamu
menyusur aku 
menemukan keasingan 
antara keindahan
pasir, batu-batu hitam

Riak ombak deru angin 
mematikan kicau burung 
dan ilham perenung
lewat lama berpadu satu
seperti kabus petang
berdakapan
dengan laut tak pernah tenang

Sabut daun-daun dan rumput kejang
mengindah pandang saujana
digerak angin samudera 
laksana perahu nelayan
sekali ketara sekali menghilang
menangkap rezeki dan kebimbangan

Pantai Batu Hitam 
jika batumu itu bertunjang
ke usus laut mempertemukan keraguan
setelah rahsia tidak lagi rahsia

Jangan tanya bagaimana punca
rinduku menjelma tiba-tiba
kerana seluruh kesempurnaanmu jua
sesekali tidak semunya nyata

Pantai Batu Hitam
engkau pengejek penyindir
mencemburui kedamain ingatan
dengan sepoi-sepoi angin lucumu
sehingga seluruh kudrat kemanusiaanku
terpaku dan tertipu
seperti jinaknya ikan-ikanmu
menyelinap di sebalik batu

Pantai Batu Hitam
seolah-olah engkaulah musuh baik hati itu
membenar aku berlalu
tapi kauserang bertalu-talu.

Besrah,
September 1979.
Dewan Sastera, Disember 1979 


URIR CHAR

Badai yang dikirim-Nya ke darat ini berpusar
dengan petaka. benua bersembunyi tertulis kini
tintanya hitam mengidam airmata
Tuhan, Kaubangunkan lautan mengkhabarkan 
           murka apakah 
seluruh pekik terbenam di dasar raung
bumi tiba-tiba berkabung:
ada sentak terakhir di Urir Char!
ada nafas tergelepar di Urir Char!

Mimpi berlambak pada kabut, gemuruh menyesak
nyawa yang hanyut. Tenggelam reput, menghitam 
daerah neraka basah ini melemas keluhan
memulas harapan
: hingga ingatan seluruh, mengetuk haluan
  Bahtera Nuh

Air merempuh dari lantai gelora menerpa lewat 
jendela, halilintar mencengkam jeritan;
seekor ular besar menjerut leher Urir Char
tangan menggapai kaki melonjak nafas terdesak
sang maut menebarkan jala rusuhnya dari
pedalamn perutnya, ular besar itu lagi
mengerat lingkar di rusuk Urir Char.

Mei 1985
Dewan Sastera , November 1985.



No comments:

Post a Comment