Monday, April 20, 2009

Dari Tapang Ke Tanjung Malim: Perjalanan Jauh 1


Khamis 16.4.2008 kami sekeluarga berlepas dengan Hyundai Trajet menuju ke Tanjung Malim melalui Rantau Panjang, Bukit Bunga, merentasi banjaran Titiwangsa, Gerik menyusur lebuh raya-tol terus ke Tanjung Malim bersempadan Selangor Darul-Ehsan. Kami tiba jam 12.005tengah malam/pagi di rumah anak di Proton City, kawasan perumahan baru yang tersusun indah.

Alhamdulillah suasana negeri Perak Darul-Ridhuan zahirnya ternyata aman, walaupun dikatakan demam politiknya masih belum kebah. DUN negeri Perak masih belum stabil. Kecoh 'rampasan kuasa kerajaan di bawah Dr Zambry/BN' dan kejayaan Pas menambah undi pada PRK 7 April masih belum reda.

Aku tiba di Proton City meninggalkan daerah sendiri setelah lama tidak 'berjalan jauh' pasca discaj dari hospital setahun sebulan yang lalu. Syukur perjalanan berlangsung baik dan afiat. Perjalanan sebegini boleh meredakan tekanan (jika ada). Anak sulungku dah lama menjemput kami ke rumah barunya di Proton City. Syukur...akhirnya kami tiba juga. Ahmad Zulfiqar Shah, anak sulungku itu bertugas di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim sejak setahun lalu. Beliau bertugas di jabatan Pendidikan Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UPSI.

pameran alam selepas bukit bunga

melaksana asar di rantau panjang lalu
menyisir perkebunan, desa dan redup petang
cemas selekoh sebelum tiba di bukit bunga

terhidang aneka senyum dan barangan
bukan termurah bagai harga sempadan
melainkan teka muslihat menjolok harga

pameran semesta di kiri kanan pandang
titiwangsa membanjar penat dan kantuk
samar pohonan doa di cecelah kabut
ada senja ada kelam tiba menghadang

lebuhraya menaik dan menjunam sayup
belum tentu meninggalkan sebu dan gugup.

20 rabiul-akhir 1430


No comments:

Post a Comment