Saturday, October 5, 2013

ATAR SERIBU BUNGA - Satu Proses Kreatif



Majlis Bicara Karya Dewan Bahasa dan Pustaka 16 Mac 2013
ATAR SERIBU BUNGA – Satu proses kreatif. 
ABDULHADI MUHAMAD
Prolog:

Sajak adalah sejenis wacana kreatif yang menggunakan seni nukilan atau pengucapan yang berfungsi untuk menyampaikan pemikiran dan amalan budaya masyarakat.  Sajak juga berupa wadah pengucapan intelektual, perasaan dan pengalaman secara indah dan seni.  Melalui sajak, akan terserlah idea dan fikiran penyair / penulis yang pada umumnya bertanggungjawab mencetuskan kebaikan dan kebijaksanaan melalui pengucapan atau catatannya. Maka penyair / pembaca akan berasa begitu terkesan tatkala membaca hasil karyanya itu.

Sajak terbentuk dari kalimat / bahasa dengan cara tertentu, suatu upaya gaya yang jelas, segera dan terkadang memikat pembaca.  Kekuatan sajak biasanya bergantung pada penggunaan majas atau metafora yang membuatkan makna bahasanya pelbagai dan berkuasa menjentik minda.  Metafora membolehkan penyair berdaya untuk menyatakan perkaitan, menyatakan perasaan dan fikiran, di samping menolong pembaca melihat benda-benda konkrit dan abstrak dalam gaya yang berseni.

*
Buku Kumpulan ATAR SERIBU BUNGA  ini mengandung 110 buah sajak adukan hasil karya dari pelbagai suasana, pengalaman dan latar pengkaryaan saya. Jumlah itu menghimpunkan sajak-sajak pilihan dalam jangka hampir tiga dekad. 

Sesuai dengan nama/kalimat “ syair’ atau ‘syu’ur ” (Bah. Arab) yang bererti sentuhan rasa maka punca terhasilnya idea untuk melakar kata-kata pada sesebuah sajak/puisi/syair/poem atau apa jua sebutannya; tentu memiliki latarnya. Apabila berlaku sentuhan rasa setelah mengalami pergaulan, pergeseran, penglihatan hingga membawa kepada perenungan maka muncul cetusan kata-kata hingga terbinanya sajak.

Seseorang penyajak/penyair memiliki sentuhan rasa yang ‘berhuruf’ dan berfrasa yang istimewa. Dia mudah tersentuh hati bila melihat, menonton apa lagi kalau membaca. Banyak melihat perilaku massa sekitar, menonton gerak-geri alam yang serba takjub dan membaca pemikiran manusia lain / antarabangsa melalui akhbar, majalah atau buku-buku ilmu mereka. Ini akan mengindahkan lagi dunia kreatif kita. Semuanya akan menjadi cermin bagi mengisi indah sesebuah sajak.

Itulah antara jawaban saya dengan mudah, jika ditanya bagaimana  anda memperolehi ilham? Bagaimana pula prosesnya hingga menjadi sebuah sajak? Buku kumpulan sajak ASB akan menyatakan sebahagian jawabannya.

**
Sebanyak 110 sajak di dalam kumpulan ini dan saya bahagikan hasil karya/catatan tersebut kepada dua bab berasingan: Atar Seribu Bunga (51 sajak) dan Angin Paksa (59 sajak).  Pembahagian adalah menurut penyesuaian jodol serta maksud isi sajak-sajak yang dipilih.  Ada juga sajak-sajak yang membawa tema yang saling berkaitan dan ada yang tidak. Ungkapan pengalaman peribadi, gambar diri, unsur ketuhanan, agama, perjalanan, fenomena alam, pensejarahan, peperangan, masalah sosial dan  politik tercetak mengisi beberapa halaman tersendiri.

Semua catatan itu pada mulanya saya kumpulkan secara berasingan dalam tempoh beberapa waktu apabila terkesan. Sudah tentu dalam tempoh yang agak lama itu terdapat corak pengkaryaan yang berbeza dari segi tanggapan, susunan, pemilihan diksi / frasa dan sebagainya. Dalam tempoh sedemikian sudah tentu ada beberapa buah sajak yang kelihatan semacam tangkap muat dan tidak secara berurutan.

 Jodol Atar Seribu Bunga terpilih dari jodol seuntai sajak yang ada di dalam bab mula-mula (halaman 24). Menatap tajuknya saja sudah terhidu sedikit kewangian semacam lambang bagi keharuman suasana, kemesraan kasih dan kelembutan hati sebagai suami:

Seekor lebah
menyelinap sesat ke bawah telekungmu
deru angin tengahari itu mencantas rusuh kalbu
masa tetap emas bermutu

Zaujati, atar seribu bunga
seribu bunga menyediakan kelunakan
lunak hidangan wangi kasih kita.

Terasa ada keindahan bila menukil perihal peribadi dalam sajak-sajak: Dari Perjalanan Pertama, Doa Seorang Siswazah, Doa Pesakit, Gambar Diri 1&2, Keramat, Bila Berada Di Batas ini, Menyambut Datang Bulan dan:
………………….
Angin sepoi-sepoi basah
Minda melarat awan
Sepertiga malam
Siang lama terkilas
Dikurung bibir bertahmid
Alhamdulillahi Rabbi
Jauhkan daku dari petaka
Apa yang Kaucipta kunikmati serba
                             ( Pohonan Doa hal 33)   

Sudah tentu di dalam bahagian pertama  Atar Seribu Bunga’ ini juga  dihimpunkan sajak-sajak yang tergarap dari hasrat mahu berdekatan dengan Maha Pencipta, dengan kekerdilan diri mahu meluah keyakinan dengan menyurat: Di Atas Sejadah, Masih Ada Tamu, Peluklah Daku, Kita Berada Di Batas Ini, Mencari Tenang, Meneruskan Perjalanan dan Mengukur Suhu Pagi dll. antaranya:
Siang malam yang saling bergilir
Singgah sekejap bermuhasabah
Demikian telah setahun lebih
Kurnia-Mu untukku singgah
Kembali menemui diri
Menangguk resah
Berlemas juga
Mengharap
Reda.
                (Pujian Buat-Mu Ya Allah  hal 53)
   Di dalam bahagian ini juga ikut serta ialah sajak-sajak tentang  kasih sayang dan hubungan mesra sesama alam dan kemanusiaan. Saya catatkan sajak-sajak yang didekasikan kepada isteri, bonda dan sahabat: Daun Jarak Yang Lagi Gugur, Atar Seribu Bunga, Di Bawah Perak Bulan, Jika Bukan Bonda, Pasrah Dan Cinta dan:

Usia lagi berbaki. Puisi kulakar tanpa jemu
Bicara sesekali terlanjur, memanaskan sanubari
Namun kita mesrai kembali, melentur aturan hakiki
Zaujati, kita ungkap kelunakan.kita cerap bahagia
Tanah air api angin ketara milik bersama ke tahap ini
Namun Tuhan Maha Pengasih mengurniakan nikmat abadi.
                             (Selamat Malam Zaujati hal 45) 


(....... bersambung)

No comments:

Post a Comment