Thursday, October 3, 2013

......sambungan NAWAWEE MOHAMMAD Mengulas NDB ABDULHADI MUHAMAD



5. Kesan perjalanan jauh
Beberapa sajak, kesan daripada perjalanan jauh Abdulhadi terungkap melalui “Sepohon Doa di Jabal Rahmah” (hlm. 53), “Di Masjid Ji’ranah” (hlm. 55), “Bertamu di Pekan Beaufort” (hlm. 63), “Tiba Pagi di Kundasang” (hlm. 62), dan “Kenangan di Debak” (hlm. 67), ikut memberi kelainan fikiran penulisnya terhadap tempat-tempat tertentu yang pernah dikunjungi.
Melalui sajak “Di Masjid Ji’ranah”, Abdulhadi tidak menggambarkan tentang bagaimana lukisan atau bentuk masjid tersebut sewaktu dia mengunjunginya. Sebaliknya dia mengimbaskan peristiwa sejarah ribuan tahun silam dengan mata batinnya menceritakan bagaimana dan mengapa masjid itu pertama awal dibangunkan Rasulullah di Ji’ranah itu:
“Kelihatan mereka membahagi rampasan/
sesudah pertempuran/
sepulangan dari Hunain//
………………………………
` terbangun masjid kenangan miqat Rasulullah/
bersolat, niat umrah selepas Fathu Makkah/
………………………………

Perlukisan sejarah yang kerap diimbaskan dalam bentuk sajak, sebagaimana juga melalui sajak “Sepohon Doa di Jabal Rahmah” yang disebut Abdulhadi sebagai “Bukit peristiwa/bukit di padang perkenalan.” (hlm. 53), selalunya berjaya meninggalkan kesan yang lebih bermakna, dan mampu pula mengangkat nilai sesebuah sajak itu.
Tambahan
Sajak-sajak lain yang tidak kurang tajam dan sinis tetapi sangat berkesan untuk difikirkan ialah “Sajak Negeri di Bawah Bulan 2” (hlm. 82), “Sehabis Ikhtiar” (hlm. 83), “Memilih Warna” (hlm. 78), “ Selamat Siang Ibu Tunggal” (hlm. 65), “Sajak kepada Ibu Tunggal) (hlm. 68), dan sajak “Nafsu Anjing” (hlm. 69).
Melalui sajak “Sehabis Ikhtiar”, Abdulhadi menempelak kehampaan dan nasib Malaysia dalam isu Pulau Batu Putih. Sajak ini, walaupun pendek tikamannya amat menyengat dan memedihkan rasa Melayu:
Pulau Batu Putih.//
Rumah api tiada jalur gemilang berkebar/
Jauh hati sampai bila kita bersabar.//
Pulau terlepas/
Batu terhempap/
Putih mata.//
Dalam sajak “Sajak Negeri di Bawah Bulan 2” pula, secara tersirat amat terasa tentang sejauh mana kecintaan penulis terhadap pemerintahan berkerajaan berteraskan Islam masa kini di Kelantan. Penuh sedar Abdulhadi menyuratkan:
Walau langsir warna berbeza/
adukan biru air laut menenang sukma/
hijau batang bemban menyejuk mata/
……………………………….
Walau angin panas dicelahi jalur jemalur/
mentari menusuk mesra pohon-pohon/
namun renjisan hujan petang nantai/
menyubur kembali tumbuhan jati//
………………………..
Nada yang hampir sama terpancar juga melalui sajak “Memilih Warna”. Sajak ini terasa sebagai suatu kesinambungan daripada sajak “Sajak Negeri di Bawah Bulan 2” apabila Abdulhadi menyebut:
“Carilah warna lain/
fikirkan jangan serupa maknanya/
kalau tidak hijau usaha ragu-ragu/
asal jangan diharu-biru//”
Ungkapan bernada begini sangat diingati setiap lima tahun sekali, kerana ia amat berkaitan dengan kelangsungan pemilihan besar negara. Lagipun sebarang ungkapan berkait unsur warna; terutama apabila dia menyebut:
“Hijau telah banyak pada segala hidup/
pada daunan atau serabut rumput/
upaya diragut, diancam atau diugut//
Biru langit tampak jauh/
walau asalnya bukan begitu/
biru lautan di depan mata/
jernih air tiada warna/
………….……………..
kehendakmu biru segala/
usah rusuh dirasuk rasa/
usah selalu bergajah meta//
Pilihlah cahaya tenang/
lembut tidak garang/
tidak menyesal kemudian.//”
tetap tidak terlepas daripada tekaan berunsur politik berpihak.
Manakala sajak “Selamat Siang Ibu Tunggal”, dan “Sajak kepada Ibu Tunggal”, merupakan adunan nasihat dan rasa simpati penulis terhadap nasib golongan berkenaan. Walaupun Abdulhadi bersimpati dengan nasib mereka, namun sebagai individu dalam masyarakat Muslim, dia tetap merasa bertanggungjawab menyatakan sikapnya dalam bentuk nasihat:
…………………………….
ibu tunggal memang senang/
bersendirian/
setelah berangkat lelaki tercinta/
……………………………….
Sebagai wanita, balu pula/
pandai-pandailah kita/
memilih wartna di hadapan mata/
mengejar lokasi dan aksesori//
Urutlah hidup dengan uji dan kaji/
menimbang kos dan emosi//
Lebihkan akrab dengan zikir/
sambil menerima jatuhnya takdir//
Hujung jalan masih jauh/
langkah perlu diteruskan/
……………..
Antologi sajak Negeri di Bawah Bulan ini adalah kumpulan buku sajak perseorangan Abdulhadi Muhamad yang ketiga selepas Ruang Dalam (1986), dan Racun Abadi (2001).
Kesimpulan
Sajak-sajak Abdulhadi Muhamad sepanjang yang dapat ditelaah sehingga ini; walaupun tidak banyak, dan tidak setanding jumlah sajak penulis-penulis lain seangkatan dengannya di Pantai Timur, seperti Abdul Hadi Yusof, Haron AH., Hilmi Rindu, apa lagi Leo A.W.S, namun kekuatan sajak-sajaknya ketara terserlah semenjak awal penglibatan. Semenjak itu hingga terkini dengan Negeri di Bawah Bulan, penguasaan bahasa sajak-sajaknya hampir seimbang antara unsur kreatif dan amanat yang hendak dinyatakan. Ungkapan-ungkapannya jelas, mudah ditanggap dan di sana-sini disokong frasa-frasa baharu yang puitis dan harmonis. Terkesan daripada kemampuan itu barangkali, memungkinkannya lebih awal berbanding teman-temannya yang lain untuk menerima Hadiah Karya Sastera Malaysia dalam dua sesi penilaian berturut-turut melalui sajak-sajaknya “Urir Char” (1984/85), dan “Di Meja Makan” (1986/87).
Lampiran
Hikayat Keris Sebilah”
Sebilah keris tanpa sarung
seorang warga emas berusia 62 tahun
rupanya pendekar tidak pernah bertarung
masuk gelangang, kuda-kuda tidak dipasang
namun terasa diri selalu mendapat menang
Mencari ketuanan dalam rumah sendiri
sering berteriak memugar mencanang
tiang lantai dindingnya kukuh belaka
pintu dan jendela sentiasa terbuka
tilam dan bantal nikmat selesa
takkan keris disanjung hilang tajamnya
Sesekali melagukan senandung warisan
anak cucu cicit dibiar bermain api
harta pusaka hak istimewa jangan dijual beli,
kini perlahan beralih milik demi kemajuan
demi nafsu, amalan agama mengengsot hilang
Budaya, bahasa warisan dijajah semula
tidak aneh jika kuburan nanti tidak bernama
aduh, tanah taman menghijau bertukar warna
Pak Kaduk asyik bertepuk, terselak kain
sabungan menang tetapi milik orang lain.
Lebai Malang berpeluh menongkah arus
perut lapar kesal tenaga makin lenguh.
Pak Pandir menjerang air buat mandian
anak mati, lalu menyusu kera di hutan.
Si Luncai lemas bersama labu di pelukan
biarkan. Biarkan keturunan menangis panjang.
Akhirnya keris terlucut dari genggaman
menikam berdarah ibu kaki sendiri
akal tersimpai kemas menyesali untung rugi.
Abdulhadi Muhamad
20 Mei 2008
“Kau terimalah lamaran itu”
Kau terima sajalah lamaran itu, Nisah
usia 37-mu beransur tanpa nikah-nikah
usah kauikut hati budak-budak remaja
terlalu memilih pasangan ibarat peniaga
memilih pembeli. Barang akan usang
ringgit tidak bertukar tangan.
Sekali-kali kau bukan lilin mencair diri
menelaah ilmu, menyebar psikologi dan sosiologi
lima tahun memiliki Ph.D
tetapi gagal menjadi bini
banyak perkara kau rugi.
Lamaran lelaki itu kau terimalah, Nisah
dia askar, sarjan. Sudah tentu tampan
walau tidak menawanmu, usianya lebih kurang
mengenali dia rakan sejabatan, sedia berbakti
kepada Negara. Tentu setia berkhidmat
untuk rumah tangga
Usah tunggu lamaran Dato’, orang besar atau duda kaya
mereka sibuk menegak kuasa dan menjuta harta
paginya mungkin menguap di luar negara
tengah hari hidangan bukan nasi
petang mengejar bola dan lubang
malam kau isterinya tetap keseorangan.
Prof. Madya Dr.Manisah,
kelak umurmu menjangkau 40
usah terlalu sukar memikirkan soal jodoh,
jiwa ragamu tiada lelaki tiba menyentuh
asyik berkuliah, gah di depan mahasiswa
lupa malang diri boleh digelar ‘andalusia’
Terima sajalah lamaran itu
mencari rukun di kampus baru
jauh bezanya hidup sendirian
ada suami dan kau berstatus suri
mengecap bahagia dengan putera-puteri
ikut perintah Tuhan, turut sunnah Nabi.
Abdulhadi Muhamad
21 Disember 2007
“Sehabis ikhtiar”
Pulau Batu Putih
Rumah api tiada jalur gemilang berkibar
Jauh hati sampai bila kita bersabar
Pulau terlepas
Batu terhempap
Putih mata.
Abdulhadi Muhamad
23 Mei 2008

Pengulas: NAWAWEE MOHAMMAD

No comments:

Post a Comment