Wednesday, October 2, 2013

Hadiah Pertama Peraduan Menulis Puisi



BANGI MENGATUR TAMADUN

Seketika ikut mengenang
menyelusuri kembali Bangi
singgahan sementara itu
sempat kujejak pandang,
menyambar dengar
dan mena’kul harian.
Bagai margasatwa punya titir,
ta’bir dan dikir sendiri
terbang melayah, hinggap
atau menciap pada pohonan
doa di tepi jendela
sekitar desasiswa dulu. 

Sesekali lunak sesekali
rusuh. Para pencari
tegar mengulas-banding
Debar apakah atau suara siapa
mengganggu lena mereka.
Ilmu tetap berahsia
atau wanginya menyelinap
mengangkat masa senggang
mengisi kuliah di kampus
memartabat insan.

Di perbukitan cita-cita
di lembah teduhan berkat
kita masih mengira hasrat,
rimba tidak lagi kelam
pemburu tidak lagi ragu
bahawa purnama
menyediakan bijaksana
atau bayang hilang
anak-anak tahu gemilang.

Lebuh raya bandar baharu
nafas warga menggauli waktu
tasik dan hijau melunak udara
urus tadbirkan berbunga cakna
yang berbelanja dijimatkan
yang manfaat dimakmurkan
yang keruh dijernihkan.  
Halangan tetap menggocah
kehidupan tercabar jua; sepakat
adalah penawar bersilih masa 
adalah kekuatan tersembunyi
dalam terang!

Mahu tidak mahu, pastinya
datang dekad ke empat ini
daerah kita bangga, Bangi
akan mengatur tamadun
antara kota berhikmah;
dilestari ilmu dan amal
wangi tersohor merata
membenih jasa.

Zulkaedah 1432.                          
Kelantan.

(Hadiah Pertama Peraduan Menulis Puisi Sempena Sambutan 3 Tahun 
Pengisytiharan Bangi Bandar Ilmu Anjuran YB Dr Shafie Abu Bakar ADUN Bangi)





No comments:

Post a Comment