Thursday, October 3, 2013

Penyair Nawawee Mohammad Menyorot NEGERI DI BAWAH BULAN


ABDULHADI MUHAMAD Dengan Negeri Di Bawah Bulan: Mengajak Melayu Berfikir
By NAWAWEE MOHAMMAD • December 2, 2009
PA010295
Sekurang-kurang terdapat lima catatan panjang yang pernah saya penuhkan dalam beberapa halaman kosong daripada buku sajak Negeri di Bawah Bulan (2008) karya Abdulhadi Muhamad. Semua catatan itu saya tuliskan secara berasingan dalam tempoh beberapa waktu apabila terkesan, dan sebaik-baik sahaja selesai membaca mana-mana sajak di dalamnya.
Kelima-lima catatan tersebut saya tuliskan dalam tempoh yang agak lama antara satu dengan yang lain, dan tidak secara berurutan. Bahkan bacaan kali pertama, saya hanya memilih mana-mana sajak yang menarik perhatian. Selebihnya ditinggalkan untuk disambung pembacaan kali kedua, ketiga, dan seterusnya, walaupun jumlah sajak di dalam buku itu 75 buah sahaja. Hal demikian sering saya lakukan apabila membaca mana-mana buku sajak seseorang penulis.
Ketika meneliti sekali lagi catatan-catatan tersebut selepas dibiarkan dalam tempoh waktu yang agak lama, tergerak pula untuk mengangkat dan mengolah semula pandangan awal saya daripada kelima-lima catatan tersebut sebagai kesan pembacaan pertama terhadap sajak-sajak Abdulhadi itu.
Berikut adalah pengolahan semula gabungan idea pembacaan yang dibuat secara berperingkat-peringkat itu:
1. Ketajaman kata
Ketajaman kata-kata dan sindiran sinis daripada sajak-sajak di dalam Negeri di Bawah Bulan di tangan Abdulhadi sangat terasa. Di sana sini, dia mengajak bangsanya untuk sama-sama berfikir tentang nasib masa depan Melayu dan sekalian anak cucunya.
Perlakuan para pemimpin negara yang dilihat sangat tidak cerdik misalnya, jelas terungkap pandangannya melalui sajak “Hikayat Keris Sebilah” (hlm.80). Dia melihat para pemimpin masih bercakap tentang ketuanan. Padahal sikap itu bagi Abdulhadi, seolah-olah “Mencari ketuanan di rumah sendiri.”. Satu tindakan yang kurang bijakasana.
Hal demikian baginya, sangat tidak wajar sama sekali. Dengan ungkapan penuh sinis dan tajam, Abdulhadi menulis:
“Mencari ketuanan di rumah sendiri/
sering berteriak memugar mencanang/
tiang lantai dindingnya kukuh belaka/
pintu dan jendela sentiasa terbuka/
tilam dan bantal nikmat selesa/
takkan keris disanjung hilang tajamnya.//
………………………….
Anak cucu cicit dibiar bermain api/
harta pusaka hak istimewa jangan dijual-beli,/
kini perlahan beralih milik demi kemajuan/
…………………………………………
Budaya, bahasa warisan dijajah semula/
tidak aneh jika kuburan nanti tidak bernama/
……………………………..
Pak Kaduk asyik bertepuk, terselak kain/
sabungan menang tetapi milik orang lain/
Lebai Malang berpeluh menongkah arus/
…………………………..
Sajak “Hikayat Keris Sebilah” ini, walaupun terasa amat sinis, amanatnya tetap bertujuan menimbulkan keinsafan. Sebagai pembaca Melayu, mustahil terlepas daripada rasa kebimbangan berpanjangan tentang nasib bangsa sendiri yang kian hari kian hilang maruah diri lantaran para pemimpin sebangsa yang dilihat hanya mementingkan pangkat, kuasa dan keselesaan hidup. Konon negara kekal maju, padahal sangat banyak hak sendiri terlepas ke tangan orang lain.
2. Perlukisan hidup aman
Melalui sajak yang berjudul “Sajak Negeri di Bawah Bulan” (hlm.79) iaitu sajak yang mengilhamkan judul buku ini, kelihatan sangat jelas melukiskan situasi rakyat hidup aman di bawah sebuah pemerintahan berteraskan Islam. Sajak tersebut tenang dan jujur melukiskan tentang kenyataan masyarakat Kelantan dan nuansa keislaman:
“Pantai Cahaya Bulan sejahtera/
daratannya dipupuk angin aman,/
anak negeri diajar ingatkan Tuhan.//
……………………………….
Kita mahu jadi umat terbaik/
keluar menemui manusia lain/
menyuruh mereka kepada makruf/
mencegah mereka berbuat mungkar/
memohon Allah membuka hati setiap tamu/
ampunilah, sungguh mereka masih tidak tahu.//
Abdulhadi juga, dengan rendah diri sebagai anak Kelantan melukiskan suara rayu tetapi menebalkan rasa keperkasaan seorang Melayu Kelantan yang mempunyai keunggulan jati diri. Melalui bahasa yang lembut tetapi bermakna dan mengesankan, melalui sebuah sajak panjang “Ziarahilah Kelantan” (hlm. 59) amat dirasakan hakikat kehidupan rakyat dan masyarakat Islamnya:
Jika kamu Melayu, ziarahilah Kelantan ini/
negeri kurang maju tetapi cukup jati diri/
…………………………………….
Dimasinkan budu, dimaniskan madu/
Diperkasakan agama dan diperkayakan seni/
…………………………………….
menyahut cabaran, tidak akan lari/
demi maruah dijaga hingga rela mati//
…………………………..
Tanah kami terbentang menerima datang/
Bagai meja makan sedia ikhlas untuk tetamu/
………………………………….
Jika kamu Melayu ingatlah Kota Bharu/
Kota berbudaya, penghuni kasihkan kemesraan/
………………………………………….
jenguk dampingilah kami di negeri Kelantan/
……………………………
Suara Abdulhadi lewat sajak ini adalah suara seluruh rakyat Kelantan yang mempunyai jati diri dan sentiasa bersyukur dengan limpah rahmat-Nya kerana walaupun dilihat mundur, tetapi tetap “Mengisi merdeka di bumi ibu kandung.”, “Tidak seperti lain negeri”, dan selama-lama hingga ke anak cucu rakyatnya mempunyai sikap “Pantang tunduk , dan lebih baik menjihad korban.”
Selepas diteliti dan dikesani perkembangan bahasa sajak-sajak Abdulhadi semenjak awal penglibatannya menulis, lenggok dan langgam bahasa dua buah sajak ini, iaitu “Ziarahi Kelantan” dan “Hikayat Keris Sebilah”, terasa kurang asli, kerana ketara tidak seimbang antara unsur kreatif dan amanat yang hendak diluahkan. Kedua-dua sajak terserbut lebih mementingkan pernyataan emosi; lebih daripada tanggungjawab seni sajak.

3. Keadilan dan kezaliman kuasa politik
Tentang keadilan, kezaliman dan kuasa politik penguasa negara bagi Abdulhadi dilihat sebagai sesuatu yang amat menyentuhkan perasaan kemanusiaan rakyat. Apabila kisah ngeri Altantuya Shaaribun dilukiskan semula melalui bahasa sajak, pembaca diberitahu bahawa kisah tragis itu seperti digelapkan oleh kuasa politik sebagaimana disebut melalui sajak “Bukan Budaya Kami” (hlm. 73):
“Bukan budaya kami menembak dan meletup orang/
Altantuya Shaaribun berkecai jasadnya di Tanah Melayu/
sebilah keris terhunus menghilang kisah malu.//
……………………………………
Kecaian jasadnya bahan saksi terkecil mahkamah/
Tidak mampu memerangkap penjarah.//
Orang keselamatan, wajar menyelemat bukan menjahat/
…………………………….
Siapa menahan jerat, siapa pula terperangkap./
Model wanita Mongolia, seorang insan diganasi/
tanpa belas kasihan tanpa upaya cerita.//
……………………………………………
Haiwan lebih jujur memberitahu:
“Memang ia makanan aku.”
Mengimbas kisah yang menyayatkan ini, hati manusia mana tidak tersentuh dengan kezaliman yang berlaku, dan bagaimana kiranya jika mangsa itu sebahagian daripada darah daging dan ahli keluarga sendiri? Alangkah!
4. Andalusia atau andartu
Sajak “Kauterimalah Lamaran Itu” (hlm. 75) sangat baik untuk difikirkan oleh golongan andalusia; akronim “anak dara larut usia”. Golongan ini dilabelkan juga sebagai ‘andartu” iaitu akronim daripada “anak dara tua”.
Golongan andalusia atau andartu; satu-satunya ahli masyarakat yang harus dipertanggungjawabkan oleh semua pihak. Mereka tidak harus dilihat sebagai golongan yang tidak bernasib baik semata-mata. Sebaliknya mungkin di kalangan mereka itu sendiri merasa selesa dan amat merdeka kerana ditakdirkan tergolong sebagai wanita yang bernasib baik kerana tidak dibebani oleh tanggungjawab sebagaimana lain-lain wanita; sebagai ibu, dan sekali gus sebagai pembantu dalam sesebuah rumah tangga.
Jikalau sebaliknya, maka ketidaknasibaikan mereka itu harus dilihat; mungkin berpunca daripada sikap mereka itu sendiri yang dianggap “memilih” kerana rata-rata golongan andalusia atau andartu di negara ini terdiri daripada wanita berkerjaya, hingga sesetengah pula sudah tidak merasa penting lagi dengan kehadiran lelaki sebagai suami dalam hidup mereka.
Sehubungan itu, Abdulhadi melalui sajak “Kau Terimalah Lamaran Itu”, dilihat sangat berkaitan dengan perkembangan golongan tersebut pada hari ini. Roh sajak ini sesungguhnya sangat jujur dan berterus terang maksudnya. Hal ini kerana, jika perkembangan penambahan golongan tersebut makin besar, tidak mustahil suatu hari nanti masyarakat dan negara akan menghadapi kesan negatif yang sukar diatasi.
Apa yang berlaku akhir-akhir ini, makin ramai dan makin banyak jawatan dalam masyarakat dikuasai golongan wanita. Kerjaya kaum wanita dilihat semakin menguasai banyak bidang yang sebelumnya disandang kaum lelaki. Wanita hari ini bukan lagi bersifat pembantu kepada golongan lelaki. Sebaliknya, penguasa ke atas ramai lelaki. Hal ini tidak harus dipandang ringan, kerana wanita tersebut kebanyakan pula terdiri daripada golongan anadalusia atau andartu yang harus diberi jalan keluar untuk mengurangi jumlahnya.
Abdulhadi melalui sajak itu sangat jelas memberi nasihat. Walaupun jodoh pertemuan seseorang itu di tangan Tuhan, namun ikhtiar, bersikap positif, mempunyai konsep nilai Islam dan merasa diri perlu kepada kehidupan berumah tangga sebagai menyambut unjuran Islam dan sunnah Nabi, adalah sangat penting.
……………………
Usah kau ikut hati budak-budak remaja/
terlalu memilih pasangan ibarat peniaga/
memilih pembeli, barangan akan usang/
ringgit tidak bertukar tangan.//
………………………………
Lima tahun memiliki Ph.D/
tetapi gagal menjadi bini/
banyak perkara penting kau rugi.//
…………………………
Nasihat daripada banyak sudut tentang hidup sangat jelas dalam sajak ini, dan wajar direnung kembali oleh golongan yang disebut Abdulhadi. Oleh itu, pembaca kalangan Andalusia atau andartu tidak harus rasa tersindir dengan sajak ini. Sebaliknya mereka harus berterima kasih kepada Abdulhadi kerana keikhlasan suara berunsurkan nasihat untuk berkongsi simpati atas nasib mereka itu di samping mencadang untuk terbaik jalan keluar:
“Usah tunggu lamaran Dato’, orang besar atau duda kaya/
mereka sibuk menegak kuasa dan menjuta harta/
paginya mungkin menguap di luar Negara/
tengah hari hidangan bukan nasi/
petang mengejar bola dan lubang/
malam kau isterinya tetap keseorangan.//
……………………………..
Asyik berkuliah, gah di depan mahasiswa/
lupa malang diri boleh digelar ‘andalusia”//
Sajak ini benar-benar menusuk perasaan dan menginsafkan. Sebagai bapa, suami dan guru, tentunya Abdulhadi penuh rasa tanggungjawab manusiawi jika perkara demikian menimpa keluarga darah dagingnya sendiri. Keihklasan itu barangkali, dia seperti merayu daripada kemungkinan tidak melewati andalusia:
“terima sajalah lamaran itu/
merencana rukun di kampus baru/
jauh bezanya hidup sendirian/
ada suami dan kau berstatus suri/
………………………………
Dilihat dari sudut pemahaman, maksud yang tersirat melalui bahasa sajak yang diungkapkan secara puitis terasa jauh lebih terkesan berbanding dengan penyampaian dalam bentuk prosa; cerpen, novel mahupun buku-buku karangan biasa. Hal ini kerana, sifat sajak itu sendiri dibumbui oleh unsur-unsur bahasa sastera yang hidup dan beremosi sifatanya. Maka demikian setelah menghayati sajak “Kau Terimalah lamaran Itu” di tangan Abdulhadi Muhamad.

................(bersambung)

No comments:

Post a Comment