Selain itu, di
dalam bahagian ASB ini terdapat sajak-sajak yang saya juruskan kepada perirasa
kemanusiaan seperti: Dari Catatan Nota
Kaki, Doa Pesakit, Kenapa Masih bersia-sia, Setelah Terhukum, Tidak Jadi
Menunggu Malam dll. Tentang keindahan alam ciptaan Allah sajak-sajaknya: Serupa Nahar Tahun Lalu, Malam Akhirnya
Tiba, Gerbera Jasmesonii, Pameran Alam Selepas Bukit Bunga, Kota Hujan dll.
Terdapat sajak memperkatakan nilai-nilai perjuangan hidup antaranya: Merdeka
Dari Dunia, Dia Enggan Membela, Dunia Sudah Tahu, Tiada Jalan Bersimpang Di
Hadapan dll. Sajak-sajak Atar Seribu
Bunga, Cuaca Sejuk Di Kamar Menunggu, Panas Asing Di Luar Terminal, Di Masjid
Miqat Makani, Doa Sebelum Berangkat, Di Kota Kunjungan iii, Dari Jalan Awaly adalah catatan sirah perjalanan ketika
menunaikan ibadat haji dan umrah. Mengingati jurusan yang tiada mungkin kita
lupa iaitu perkara kematian, saya langsung bersajak: Rumah Sakit Umum, Doa Pesakit, Sekarat 2, Sekarat 3 dan Sekarat 4:
…………………………………………….
Perlahan memisahkan ikatan, ia telah hadir
Tanpa mungkir dia menepati gilir
Langit yang jauh semakin hampir
Melunasi takdir
Setelah terkepung dia pun bersilih
Ke ruang yang lain. Setelah bergelisah
Dia pun berpisah ke ruang dalam
Tidak diketahui bahasa apa di sana
menyambung sepinya
Atau bergelisah lagi.
(Sekarat 4 hal 38)
***
Bahagian kedua, Angin
Paksa menghimpunkan 59 sajak yang terhasil dari sentuhan rasa setelah
mengecami hal ehwal persekitaran yang lebih global. Iklim dunia yang sentiasa
berdegup dan beronar semacam memikat saya untuk mencetak sajak-sajak tentang
kelam-kabut politik, peperangan, penaklukan sehingga kepada muslihat jahat
kuffar terhadap bumi muslimin. Cengkaman Serbia di bumi Bosnia Herzegovina (Exodus Ramadan, Genocide, Periuk Api),
perang Kimia di Halabja, serangan Amerika Syarikat terhadap Iraq, perjuangan
orang Acheh (Khabar Dari Seberang,
Orang-orang Perahu), kebangkitan orang Pattani (Peribumi Malang) dan Palestin vs regim Zionist Yahudi.
Antara Umpan dan Mangsa, Gadis Palestin Mati, Gaza, Gaza 2,
Gaza Menangis Lagi, Intifadhah 2, Mereka Yang Terusir, Revolusi Pisau, Sidang
Sia-sia, Gerah 22 Hari Gaza Kita Dikejami dll adalah sajak-sajak simpatis
terhadap kegawatan yang tidak kunjung reda di tanah air Palestin akibat
penderaan regim Zionist Yahudi khusus di Ghazzah @ Gaza.
……………………………………………
Dengan keras kepala
Dia mengangkat kisah
silam
Bangsanya dan tujuh
Negara
Mengganas hampir
setengah abad
Mereka di Tebing
Barat dan Gaza
Tidak menyambut
meriah
Damai bererti kawasan
rampasan
Pulang ke tangan yang
empunya.
(Sidang Sia-sia hal 83)
Sajak-sajak Jala Puaka Di Halabja, Kalendar Tahun Lepas 1991, Baghdad 9 Mac 2003,
Alaf Baru Dua Kuasa Binasa, Desert Storm, Episod Di Teluk 2001, Pencabulan 2,
Kembang Merah, Tidak Kunjung Selesai dan Sergah Sepasang Kasut. Itu semua adalah terhasil akibat
pertelagahan perang di Iraq. Namun kunjungan mantan Presiden AS George W Bush
ke Baghdad pasca-kejatuhan Iraq, dia dibaling kasut oleh seorang rakyat
Iraq:
Seakan laju jet
pejuang
Tujuh tahun merejam
Baghdad
Sekonyong kasut tertanggal
Dari kaki Muntadhar
al-Zaidi
Menerjah kepala Bush
Pada sidang media
Terakhirnya,14
Disember
Lontaran terpuji itu
Ucapan selamat jalan
buatnya
Kenangan sehayat
durjana
Itu haiwan pemangsa
Amerika.
(Sergah Sepasang Kasut hal 135)
Saya nukilkan di dalam sebahagian
sajak di bahagian Angin Paksa ialah
suara kemanusiaan, bersimpati dengan negara-negara dan rakyatnya yang terlibat peperangan, serangan, pencabulan dan
penindasan. Sudah tentu kita ikut resah sebagaimana golongan rakyat marhein
muslimin yang disukarkan oleh kehendak @ angin ego pihak berkuasa walau di mana
mereka berada sama ada di Palestin, sempadan Lebanon, Bosnia, Halabja,
Filipina, Pattani atau Acheh Darus-salam. Kita mengungkap rasa simpati,
prihatin dan ada tanggungjawab bersama membantu mereka.
Sajak-sajak lain
di dalam bahagian Angin Paksa ini , adalah sajak-sajak berkaitan petaka/bencana
alam akibat gempa bumi, tsunami dan banjir. kemusnahan diri, perasaan dan harta
benda: Peristiwa kemusnahan bersejarah tsunami Disember 2004 meninggalkan kesan
besar pada alam dan diri manusia. Fenomena alam demikian saya rakamkan
bersajak: Olhe Lhe Di Kuta Raja, Daulat Alam, Meratapi Datang Nargis, Dunia
Ini Katanya, Dongeng Korupsi, Kasta Minda, Persembahan Terakhir dll.
…………………………….
Mencakar lena siang
Gelung Hindi memugar pantai
Siapa memapah gelombang
Siapa menduga
Siapa mendaulat alam
Siapa menunaikan kewajipan?
Teguran tiba hujung tahun
Pentas benua tersentak tergamam
Tabir belum sempat dijatuhkan.
(Daulat Alam hal 125)
Beberapa sajak,
kesan ibadah dan ziarah ke Tanah Suci terungkap
melalui Di Kota Kunjungan III, Atar Seribu Bunga, Di Masjid Miqat
Makani, Ziarah 3, Laut Siam Terbentang dll antaranya:
Kenderaan pun
Mengangkat jejak penghabisan
Lapangan Subang lagi mengecil
Lantang pesawat meluncur hasrat
Ke awan rendang sanggul angkasa
Sebu diri mengapung aras tinggi
Sayap imbang mengepak siang
Tuhan Maha Tinggi
Kami bergantung di tangan kudrat-Mu
Kami terkepung dalam lingkung iradat-Mu
Mencantum peribadi menghala rumah-Mu
Termalah. Kami datang.
(Doa Sebelum Berangkat hal
14)
Antara motif yang
sering menarik perhatian penulis dalam berkarya ialah pendekatan kerohanian
baik secara langsung atau berlapik. Getusan ucapan kerohanian kita berasa lebih
selesa bila berdepan dengan alam dan telatahnya. Kita hayati alam ini, hidup
ini sebagai kurnia bagi kita dampingi Maha Pencipta, Maha Pengasih, Maha
Penyayang itu.
Banyak sajak di
dalam ASB ini saya kaitkan dengan kuasa /Qudrat, kehendak/Iradat Allah Taala.
Kita tidak boleh lari dari ikatan iman, akidah kita. Kita jadikan Dia rujukan
kembali sebagai dambaan sanubari, walau dalam apa keadaan sekalipun. Walaupun saya nyatakan juga sajak-sajak
berunsur politik lokal/antarabangsa, sosial, fenomena/keindahan alam,
pensejarahan, nostalgia diri, perjuangan misalnya; namun tidak lupa akan amanah
selaku penulis agar beramal soleh dalam berkarya. Apa jua yang kita ucap atau
sepatah yang dicatat, apatah lagi buat bacaan umum; semuanya akan dikira baik
buruknya dan pasti akan dibalasi Allah.
Sajak-sajak lain
yang terhidang di dalam buku Atar Seribu Bunga ini, mengajak peneliti untuk dikongsi-fikirkan
bersama.
Antologi
sajak “ Atar Seribu Bunga” (2012) ini adalah kumpulan buku sajak perseorangan
saya yang ketiga selepas “Ruang Dalam” (1986), “Racun Abadi (2001), Negeri di
Bawah Bulan (2008) dan ABRAR (2011).
No comments:
Post a Comment